SKIPS: SMI Hidayah Johor Bahru Raih 5 Bintang, 7 Lagi Diiktiraf 4 Bintang

PUTRAJAYA – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah, Johor Bahru berjaya meraih penarafan 5 bintang untuk Sijil Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada keseluruhan 37 buah sekolah menengah agama swasta yang dinilai oleh Bahagian Pendidikan Swasta, KPM untuk sijil berkenaan.

Kejayaan SMI Hidayah, Johor Bahru menerima pengiktirafan itu diumumkan dalam sebuah Majlis Penyampaian Sijil SKIPS Kategori Sekolah Menengah Agama yang telah berlangsung di Kompleks KPM pada Khamis di sini.

Pengetua SMI Hidayah, Johor Bahru, Seri Juli Emas Wati Adnan berkata, pemeriksaan dan penilaian SKIPS berkenaan bagi Kategori Sekolah Menengah Agama untuk tahun 2023 telah dilaksanakan bermula bulan Mac hingga Jun tahun lalu.

Antara aspek utama yang telah dinilai secara teliti dalam beberapa fasa termasuklah Unit Hal Ehwal Murid, Unit Kurikulum dan Unit Kokurikulum sekolah.

Fasa pertama bermula dengan penilaian kendiri SKIPS oleh pihak sekolah sendiri sebelum diteruskan dengan fasa kedua yang melibatkan verifikasi dan pengesahan SKIPS daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya Bahagian Pendidikan Swasta, KPM.

Dapatan SKIPS berkenaan kemudiannya dianalisis sebelum akhirnya diumumkan keputusannya semalam.

Selain Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru, turut menerima penarafan sama ialah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, menjadikan hanya 2 buah sekolah ini daripada keseluruhan 37 buah sekolah yang dinilai, berjaya meraih penarafan 5 bintang berkenaan untuk tahun 2023.

Daripada jumlah itu juga, 24 daripadanya turut menerima penarafan 4 bintang SKIPS. Antaranya, Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi, Sekolah Menengah Al-Azhar Jitra, SMI Al-Amin Gombak, SMI Al-Amin Kemaman, SMI Al-Ikram Pulau Pinang, SMI Al-Islah Sungai Petani dan Sekolah Menengah Hira’ Jeram menjadikan keseluruhan 7 buah sekolah menengah rangkaian Musleh turut menerima pengiktirafan 4 bintang.

Sementara itu, 6 buah sekolah menengah agama swasta lagi menerima penarafan 3 bintang SKIPS dan bakinya menerima pengiktirafan 2 bintang SKIPS.

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad yang terlibat dan semua pihak atas pengiktirafan berkenaan.

Turut hadir, Pengetua SMI Hira’ Jeram merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM), Isharuddin Ismail, Pengetua SMI Al-Azhar Jitra, Mohd Syahir Ismail, Pengetua SMI Al-Amin Gombak, Alia Md Nazir, Guru Besar-Guru Besar, Penolong Kanan-Penolong Kanan Sekolah dan guru-guru.

BERITA

SERI KEMBANGAN – Sebahagian besar daripada 2,413 calon dari 39 buah Sekolah Rendah Islam (SRI) rangkaian Musleh menerima keputusan Syahadah

BERITA

GOMBAK – Idea inovasi yang menggabungkan teknologi tenaga solar dan kelestarian hijau membawa tiga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Islam

BERITA

SERI KEMBANGAN – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan ucapan tahniah dan rasa bangga atas pencapaian ‘Ayshah Sakeenah Abdullah Khairi dari Sekolah Rendah

BERITA

KUALA KUBU BHARU – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru berjaya memenangi tempat kelima bagi kategori Sekolah Menengah dalam

BERITA

KUCHING – Tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Kuching berpeluang menyertai International Sarawak Bridge & Mapping Challenge

BERITA

CYBERJAYA – Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah, Sg. Petani salah sebuah sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), mencatat rekod