KUALA KUBU BHARU – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru berjaya memenangi tempat kelima bagi kategori Sekolah Menengah dalam peringkat akhir National Young Investor Challenge (NYIC) 2026, yang berlangsung di Kolej Yayasan UEM Selangor di sini pada Sabtu, 10 Oktober lalu.
Pertandingan yang mengetengahkan potensi pelajar dalam memahami asas pelaburan melalui pembelajaran secara praktikal itu menyaksikan, pasukan SMI Hidayah Johor Bahru bersaing dengan sembilan lagi sekolah lain, selepas mencatat pencapaian memberangsangkan dalam pusingan pertama pertandingan dengan menduduki tempat ketiga daripada 39 sekolah yang bertanding di seluruh negara bermula 1 Julai hingga 31 Ogos lalu.
Selain itu, NYIC 2026 turut memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk meneroka dunia pelaburan menerusi platform Bursa InvestLab, yang membolehkan setiap kumpulan menguruskan satu akaun dan membuat simulasi pelaburan menggunakan wang maya berdasarkan data sebenar daripada Bursa Malaysia.
Pendekatan ini membolehkan pelajar memahami asas pelaburan dalam persekitaran simulasi, termasuk menilai maklumat pasaran dan mempertimbangkan keputusan pelaburan tanpa melibatkan penggunaan wang sebenar.
Pada masa sama, pengalaman tersebut turut menggalakkan pelajar mengasah pemikiran kritis, membina asas kefahaman tentang risiko, menilai dan membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang relevan selain bekerjasama sebagai satu pasukan.
Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan pasukan SMI Hidayah Johor Bahru dalam NYIC 2026 ini turut mendapat sokongan Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru Berhad (KOPSMIH), yang membantu menaja penyertaan tersebut sejak peringkat awal hingga ke peringkat akhir pertandingan.
Ahli pasukan terdiri daripada empat pelajar Tingkatan 4 sekolah berkenaan iaitu Mohamed Thoufeeq Mohd Shahidan, Muaz Hazim Mazlan, Muhammad Hakim Zuhairi Mohd Ariffanan dan Zarif Iskandar Muhammad.
Semoga pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah dapat membantu pelajar memahami ilmu kewangan secara lebih praktikal dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut mempunyai kemahiran membuat keputusan dan kefahaman kewangan yang relevan untuk masa depan.
