KOTA DAMANSARA – Sekolah Rendah Islam (SRI) I-Musleh mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih Perak dan Gangsa dalam dalam kategori Robomission Rookie Primary (Private School) sempena penyertaan mereka dalam National Robotic Open Challenge (NROC) 2026 yang berlangsung di Universiti SEGi pada Sabtu, 14 November lalu.
Pertandingan robotik yang berlangsung di peringkat kebangsaan anjuran Universiti SEGi ini menghimpunkan sebanyak 17 kumpulan peserta dari pelbagai negeri bagi memperlihatkan kreativiti, kemahiran teknikal serta keupayaan inovasi dalam bidang robotik.
Dalam pertandingan tersebut, kedudukan tempat kedua (Silver) diraih oleh kumpulan yang dianggotai Luqman Al-Hakim, Muhammad Al-Fateh dan Muhammad Fatih, kesemuanya dari Tahun 6, SRI I-Musleh.
Sementara itu, kumpulan yang terdiri daripada Sofea Zarra Batrisya, 12 dan Abdullah Zubayr, 12 serta Fathul Ilham, 11 berjaya memperoleh Bronze (tempat ketiga).
Selain dua pencapaian utama tersebut, penyertaan SRI I-Musleh turut membuahkan hasil apabila tiga lagi kumpulan lain, masing-masing memperoleh tempat kelima, kelapan dan ketiga belas bagi kategori sama.
Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan murid dalam pertandingan seumpama ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah turut mengasah pemikiran kritis, kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta keupayaan bekerjasama dalam pasukan.
Di samping itu, pengalaman bersaing bersama peserta dari pelbagai negeri menjadi ruang pembelajaran bermakna untuk murid membina keyakinan diri, menguji idea dan menimba pengalaman baharu dalam bidang teknologi.
Musleh Integrated Education berhad merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua murid yang mengambil bahagian, guru pembimbing dan warga sekolah.
NROC merupakan pertandingan robotik yang menyediakan platform kepada murid untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang robotik melalui cabaran berasaskan teknologi. Penyertaan dalam pertandingan ini turut memberi pendedahan kepada aspek reka bentuk, pengaturcaraan, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan, selaras dengan pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sumber: Facebook Sekolah Rendah Islam I-Musleh Melaka
