Prestasi SPPIM (SRI) 2026 Membanggakan, TKRSM dan Akidah Catat GPMP Terbaik

SERI KEMBANGAN – Sebahagian besar daripada 2,413 calon dari 39 buah Sekolah Rendah Islam (SRI) rangkaian Musleh menerima keputusan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) 2026 yang diumumkan secara rasmi hari ini, 22 Oktober 2026 bermula jam 11 pagi tadi.

Pengumuman keputusan di sekolah masing-masing menyaksikan calon-calon Tahun 6 menerima keputusan yang dinanti-nantikan selepas melalui proses pembelajaran dan pentaksiran sepanjang pembelajaran mereka di sekolah rendah khususnya di tahun akhir persekolahan, dengan sokongan ibu bapa serta guru-guru yang turut meraikan pencapaian mereka.

Peningkatan Calon dan GPS Kebangsaan
Jumlah calon SPPIM (SRI) tahun ini meningkat kira-kira 281 orang berbanding 2,132 calon daripada 34 buah sekolah rendah pada tahun lalu.

Peningkatan ini turut memperlihatkan pertambahan penyertaan sekolah rangkaian dalam pelaksanaan pentaksiran tersebut di sebahagian besar sekolah rendah rangkaian Musleh.

Secara keseluruhannya, pencapaian peringkat kebangsaan tahun ini mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) Kebangsaan sebanyak 1.33.


Pencapaian Individu
Dari segi kualiti pencapaian individu, seramai 1,811 calon atau 75.1 peratus daripada keseluruhan calon yang berdaftar berjaya menguasai gred A bagi sekurang-kurangnya 6 mata pelajaran daripada 8 subjek yang ditaksir sekali gus menunjukkan tiga daripada setiap empat murid Tahun 6 menguasai sebahagian besar bidang pembelajaran dengan cemerlang.

Pencapaian ini berteraskan struktur pentaksiran SPPIM yang menggabungkan 40 peratus penilaian bertulis dan 60 peratus pentaksiran berterusan, merangkumi amali, ujian lisan, hafazan serta perkembangan sahsiah murid, manakala bagi subjek Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM), pentaksirannya dilaksanakan secara 100 peratus amali.

Pendekatan berasaskan penilaian berterusan ini diharapkan dapat terus membantu membimbing potensi murid secara bertahap, bukan sahaja dalam penguasaan akademik malah dalam pembentukan sahsiah sepanjang persekolahan.

Pencapaian Mengikut Sekolah
Berdasarkan analisis pencapaian mengikut sekolah pula, prestasi SPPIM (SRI) 2026 memperlihatkan perkembangan yang berbeza antara sekolah, selaras dengan pencapaian calon dan konteks bilangan murid yang menduduki pentaksiran di setiap sekolah.

Antara sekolah yang mencatat peningkatan GPS berbanding tahun sebelumnya ialah SRI Al-Ikram Tok Bedu, yang mencatat GPS 1.0 berbanding 1.2 pada tahun 2025. SRI Al-Amin Cyberjaya turut menunjukkan peningkatan daripada GPS 1.6 kepada 1.2, manakala SRI Al-Furqan Kuala Kangsar mencatat peningkatan daripada 1.3 kepada 1.1.

Sementara itu, SRI Amal Rintis, Bukit Mertajam menunjukkan peningkatan daripada GPS 2.1 pada tahun 2025 kepada 1.6 pada tahun ini. SRI Al-Amin Kuala Terengganu turut mencatat peningkatan daripada 1.2 kepada 1.1.

Perkembangan positif ini pastinya merupakan hasil ikhtiar bersama warga pendidik dan ibu bapa dalam menyokong pembelajaran anak-anak. Pada masa sama, perbandingan prestasi antara tahun wajar mengambil kira dinamik serta perubahan bilangan calon di setiap sekolah masing-masing.

Penguasaan Mengikut Mata Pelajaran
Dalam pada itu, analisis mengikut mata pelajaran turut memberikan gambaran jelas tentang penguasaan murid dalam pelbagai bidang pembelajaran.

Subjek Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM) merekodkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) terbaik iaitu 1.06, diikuti rapat oleh subjek diniyah utama iaitu Akidah (1.10), Akhlak (1.17), Fekah (1.18) dan Sirah (1.22).

Manakala bagi bidang penguasaan al-Quran dan bahasa, mata pelajaran Al-Quran mencatatkan GPMP 1.28, sementara Bahasa Arab dan Hafazan masing-masing merekodkan pencapaian 1.44 dan 1.63.

Pendidikan Holistik dan Kemenjadian Murid
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Guru Besar, guru-guru, ibu bapa dan khususnya murid-murid Tahun 6 atas usaha serta komitmen yang dicurahkan sepanjang proses pembelajaran dan pentaksiran SPPIM (SRI) 2026.

Pencapaian yang diraih bukan sahaja mencerminkan usaha murid dalam menguasai ilmu, malah menjadi dorongan kepada seluruh warga pendidikan Musleh untuk terus memperkukuh pendekatan pendidikan yang membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

SPPIM (SRI) merupakan pentaksiran berasaskan sekolah yang dilaksanakan bagi menilai kemenjadian murid secara holistik, merangkumi aspek akademik, sahsiah, kemahiran dan spiritual.

Melalui pelaksanaan pentaksiran ini, Musleh terus komited melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu yang baik, tetapi turut menghayati nilai dan adab serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan ummah.

BERITA

GOMBAK – Idea inovasi yang menggabungkan teknologi tenaga solar dan kelestarian hijau membawa tiga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Islam

BERITA

SERI KEMBANGAN – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan ucapan tahniah dan rasa bangga atas pencapaian ‘Ayshah Sakeenah Abdullah Khairi dari Sekolah Rendah

BERITA

KUALA KUBU BHARU – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru berjaya memenangi tempat kelima bagi kategori Sekolah Menengah dalam

BERITA

KUCHING – Tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Kuching berpeluang menyertai International Sarawak Bridge & Mapping Challenge

BERITA

CYBERJAYA – Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah, Sg. Petani salah sebuah sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), mencatat rekod

BERITA

KUALA LUMPUR – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan ucapan tahniah kepada Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Riyadatul A’mal, Kuala