NGO, SEKOLAH SWASTA DAN SEKOLAH TAHFIZ MENGGESA SUPAYA DIBOLEHKAN BEROPERASI SECARA BERSEMUKA DENGAN KADAR SEGERA

Interview 1

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
2 Disember 2020 / 16 Rabiulakhir 1442H

NGO, SEKOLAH SWASTA DAN SEKOLAH TAHFIZ MENGGESA SUPAYA DIBOLEHKAN BEROPERASI SECARA BERSEMUKA DENGAN KADAR SEGERA

Satu memorandum (dilampirkan) yang disokong oleh 98 buah sekolah swasta dan 16 buah NGO telah dihantar kepada YB Menteri Kanan Pendidikan, YB Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Ekonomi dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, menggesa dengan tegasnya supaya kerajaan membenarkan sekolah swasta beroperasi secara bersemuka di negeri atau kawasan yang telah ditamatkan PKPB atau di kawasan yang tidak dikenakan PKPB. 28 buah sekolah antarabangsa dan tadika juga turut memberi sokongan kepada Memorandum ini.

Memorandum mengambil maklum keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai penutupan semua sekolah termasuk sekolah swasta pada 9 November 2020. Menurut pekeliling  yang sama, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.

Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama. Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Memorandum juga mengambil maklum bahawa keputusan KPM yang membenarkan sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat dibenarkan beroperasi selepas PKPB/PKPD tamat dengan mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu KPM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN).

Pada 26 November, KPM juga telah membenarkan  tadika swasta di negeri atau kawasan yang telah ditamatkan PKPB atau di kawasan yang tidak dikenakan PKPB beroperasi semula.  Walau bagaimanapun, sekolah swasta masih tidak dibenarkan beroperasi.

Hakikatnya, sekolah swasta sentiasa akur dengan arahan-arahan pihak kerajaan, KPM dan KKM khususnya berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sekolah swasta terpaksa ditutup dan guru tidak dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka seperti biasa. 

Atas rasa amanah dan bertanggungjawab, sekolah swasta telah menjalankan pelbagai inisiatif dan inovasi dalam proses pendidikan termasuklah PdP, program Tahfiz, program kokurikulum dan program pentarbiahan pelajar secara dalam talian.

Hampir kesemua inisiatif dan inovasi tersebut dilaksanakan dalam talian semenjak tarikh mula PKP pada 18 Mac 2020 sehingga sekarang. Jelasnya guru-guru bukan sahaja menjalankan tugas mengajar, malah lebih daripada itu.

Sekolah swasta juga telah akur dengan arahan bahawa mana-mana institusi tidak dibenarkan memberhentikan pekerjanya, malah pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan pemberhentian pekerja tidak dilakukan.

Bukan mudah untuk  sekolah swasta memberhentikan guru, mengelakkan daripada membayar gaji guru atau mengurangkan gaji, apalagi apabila mereka tetap ditugaskan untuk menjalankan aktiviti  PdP walaupun secara dalam talian.

 

Penutupan sekolah swasta secara bersemuka telah memberi implikasi  kepada  pembelajaran murid seperti berikut:

a. Murid ketinggalan PdP disebabkan beberapa masalah seperti tiada capaian Internet, kos capaian Internet yang membebankan, tiada peranti atau peranti yang tidak sesuai, tiada sokongan ibu bapa, suasana yang tidak sesuai bagi PdP di rumah dan lupa pelajaran kerana tiada ulang kaji.

b. Murid terjebak dengan aktiviti tidak berakhlak dan tidak bermoral kerana mereka dapat akses kepada dunia Internet dan tiada kawalan ibu bapa.

c. Kemenjadian sahsiah murid kurang berkesan menjadikan mereka malas, kurang berdisiplin, terjejas kesihatan dan tidak bermotivasi.

 

Pengoperasian sekolah swasta juga terjejas seperti berikut:

a. Kelestarian dan kelangsungan (survival) sekolah terancam akibat ibu bapa yang tidak membayar yuran pengajian sekolah kerana murid tidak bersekolah.

b. Pertambahan tekanan kerja (work stress) ke atas guru kerana beban dan cabaran besar bagi penyediaan dan penyampaian kelas secara dalam talian dari rumah.

c. Mata pencarian guru-guru dan kakitangan sokongan di sekolah swasta terancam dengan pengurangan gaji dan kemungkinan sekolah di tutup.

Kebanyakan sekolah swasta menghadapi cabaran aliran tunai yang sangat kritikal dengan  purata penyusutan pendapatan 50 hingga 70 peratus. Adalah dikhuatiri penutupan yang berterusan akan menyebabkan banyak sekolah terpaksa menutup operasi, mengakibatkan guru-guru hilang pekerjaan dan pelajar-pelajar terpaksa mencari tempat belajar alternatif.

Memorandum menegaskan bahawa pembukaan sekolah swasta perlu mengikut budi bicara dan tanggungjawab Lembaga Pengelola Sekolah masing-masing dengan mengambil kira peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh MKN, KPM dan KKM, tanpa terikat dengan jadual persekolahan sekolah-sekolah kebangsaan.

Oleh kerana sekolah swasta ini mempunyai autonomi di bawah bidang kuasa Lembaga Pengelola masing-masing, maka mereka berupaya untuk mengawal selia pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) masing-masing.

 

Prof Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Lampiran: Memorandum Benarkan Sekolah Swasta Beroperasi

Kongsikan...

Bincangkan...