Isu Salah Laku Seksual Pelajar: IKRAM Seru Semua Pihak Main Peranan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius insiden salah laku seksual melibatkan pelajar sekolah yang dilaporkan berlaku baru-baru ini di Melaka.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Dr. Omar Yaakob, menegaskan bahawa kejadian ini mencerminkan krisis nilai yang semakin meruncing dalam kalangan remaja serta memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan daripada semua pihak, bukan hanya sekolah.

“Sekolah bukan satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan. Banyak faktor berpunca dari luar pagar sekolah, termasuk pendedahan tidak terkawal kepada bahan lucah, pengaruh rakan sebaya, kandungan hiburan tidak sesuai umur serta kurangnya pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan gajet,” ujar beliau dalam kenyataan media IKRAM.

Beliau menegaskan bahawa pengawasan ibu bapa perlu lebih aktif selari dengan tanggungjawab memberikan telefon pintar kepada anak-anak. Privasi tanpa pengawasan, katanya, hanya membuka ruang kepada keruntuhan moral yang lebih besar.

IKRAM turut menyeru agar konsep Sekolah Selamat dinilai semula oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dengan memastikan program pencegahan disertai mekanisme penilaian yang jelas dan berkesan.

Selain itu, kerjasama bersepadu bersama agensi seperti PDRM, AADK, Pejabat Kesihatan, MCMC dan pihak NGO perlu diperkasakan semula melalui pendekatan yang lebih berterusan dan berimpak tinggi.

Berhubung isu disiplin pelajar, Dr. Omar menegaskan bahawa pendekatan mendidik mestilah berasaskan kasih sayang (rahmah) dan tanggungjawab moral, bukan keganasan. Yang lebih utama ialah memperkukuh autoriti guru serta garis panduan disiplin yang jelas, adil dan berhemah.

Media sebelum ini melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah.

Terkini, media turut melaporkan tiga lagi pelajar sebuah sekolah di daerah Baling dan seorang bekas pelajar ditahan hari ini kerana disyaki terbabit dalam rogol berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah yang tular di media sosial.

BERITA

KULIM – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah Sg. Petani, Muhammad Syahmi Mohd Zaki dan Yusuf Fansuri Mohammad Hafiz,

BERITA

SITIAWAN – Seramai 50 pegawai Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh menerima pentauliahan pangkat Leftenan Muda KRS Musleh selepas menamatkan Kursus

BERITA

KUALA TERENGGANU – Alhamdulillah, Guru Besar Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Kerteh, salah sebuah sekolah rendah dalam rangkaian MIEB, Puan

BERITA

SINTOK – Sekolah Rendah Islam (SRI) Hidayah Johor Bahru, salah sebuah sekolah rendah dalam rangkaian Musleh Integrated Education Berhad (MUSLEH),

BERITA

MELAKA – Sekolah Rendah Islam (SRI) I-Musleh, salah sebuah sekolah rendah Islam rangkaian MUSLEH, terus mengukir pencapaian membanggakan apabila menerima

BERITA

SUBANG JAYA – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru melalui pasukan robotiknya, GUIDANCE, berjaya meraih Johan Grand Sumo Rumble