Perutusan Hari Murabbi Musleh

Perutusan Hari Murabbi Musleh
16 Mei 2024
“Murabbi Unggul Peneraju Reformasi Pendidikan Musleh”

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini.

Kita juga seharusnya bersyukur kerana diberi peluang menyempurnakan amanah kita sebagai pendidik sepanjang tahun lepas hingga kini. Saya merakamkan Selamat Hari Murabbi kepada semua pendidik warga Musleh di seluruh negara.

Para murabbi yang saya muliakan,

Kita amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982, bukan sahaja telah menjadi lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan institusi pendidikan kita kini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi pendidikan tersohor negara.

Saya merakamkan Jazakumullah Khairal Jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para muallimin dan muallimat, para pendidik, para murabbi-murabbiah, yang telah bertungkus lumus serta berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini. Moga-moga Allah SWT melimpahkan sebaik-baik ganjaran kepada para murabbi. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

Para murabbi yang dikasihi,

Tema Murabbi Unggul Peneraju Reformasi Pendidikan Musleh dipilih sebagai tema sambutan Hari Murabbi pada tahun ini. Tema ini mengiktiraf guru sebagai nadi dalam sistem pendidikan Musleh.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, unggul membawa maksud melebihi atau mengatasi yang lain (baik, bijak, cekap), terbaik, teristimewa. Oleh itu murabbi unggul harus mempunyai keperibadian, penguasaan ilmu serta kemahiran yang membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang cemerlang dan mempunyai impak yang bermakna ke atas kehidupan diri, anak didik dan rakan sekerja.

Di samping itu, murabbi unggul juga harus mempunyai penampilan dan perwatakan yang baik, mempunyai kecerdasan sosial yang membolehkannya berinteraksi dengan positif dalam semua keadaan. Sikap berfikiran terbuka untuk mendengar masalah murid dan berusaha membantu menyelesaikannya boleh membentuk  kepercayaan murid, dan seterusnya menjadikan murabbi unggul sebagai qudwah hasanah.

Pendeknya, komunikasi guru-murid yang baik serta sifat yang prihatin, rahmah dan berempati adalah aspek-aspek yang perlu di dibangunkan dalam diri seorang murabbi unggul.

Para murabbi yang dikasihi sekalian,

Murabbi unggul adalah peneraju reformasi pendidikan Musleh. Ayat ini menekankan dan mengiktiraf bahawa tanpa murabbi unggul, reformasi pendidikan yang kita hasratkan hanya akan tinggal di atas kertas sahaja. Peranan peneraju ini membawa maksud bahawa para murabbi unggullah yang memimpin dan memastikan pelaksanaan reformasi pendidikan Musleh  agar kita mampu membawanya ke tahap yang lebih mantap, bringing it to the next level.

Kita sangat bersyukur pendidikan yang kita bawa telah mencapai pengiktirafan masyarakat sebagai pendidikan bertaraf cemerlang dengan sekolah-sekolah kita telah mendapat pelbagai anugerah. Dan yang terbaharu adalah pengiktirafan standard kualiti SKIPS untuk sekolah-sekolah menengah kita. Tahniah dan syabas diucapkan. Anugerah dan pengiktirafan standard kualiti ini bermaksud bahawa pendidikan yang kita tawarkan adalah cemerlang.

Namun kita tahu bahawa kita tidak boleh alpa dengan kejayaan yang telah kita capai. Dunia pendidikan bergerak pantas. 

Perubahan atau reformasi juga merupakan suatu kewajipan yang perlu kita mulakan walau di tahap mana kita berada, sekiranya kita ingin Allah memberikan kita kecemerlangan dan menghindarkan kesulitan dalam setiap  perkara yang kita usahakan.

            Firman Allah SWT yang bermaksud,
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah Ar-Rad:11)

Dari masa ke semasa, kita telah sama-sama melakarkan peta perjalanan reformasi pendidikan yang ingin dibawa. Ada yang berbentuk penambahbaikan yang sedikit, tetapi ada kalanya, perubahan yang mengesani hampir kesemua aspek sistem pendidikan kita.

Contohnya, kita telah membawa beberapa transformasi dalam kurikulum, sama ada yang berkaitan dengan isi kandungan seperti domain pembelajaran dan silibus SPIS SMI yang baharu, berkaitan dengan pedagogi seperti personalised learning dan pembelajaran digital.

Kita juga telah meminta sekolah-sekolah menambahbaik sistem sokongan demi meningkatkan santunan kepada kesejahteraan diri murid dan guru.

Dan yang terkini, perombakan struktur pengurusan di peringkat nasional dan negeri telah dilaksanakan dengan terbentuknya Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), bertujuan untuk memperkemaskan dan melicinkan pengurusan semua urusan berkaitan institusi pendidikan kita, baik peringkat pra-sekolah, sekolah rendah atau menengah. Ianya juga adalah untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan murabbi kita terjaga.

Para murabbi yang diraikan,

Di antara reformasi besar yang diusahakan ialah membangunkan sistem pendidikan berkonsepkan Sekolah Rahmah merangkumi aspek-aspek kurikulum, kaedah dan teknik pengajaran, pembelajaran dan pentarbiahan, pentaksiran dan pengurusan. Murabbi unggul yang bersifat dan berjiwa rahmah, antara tunjang utama bagi membina sekolah rahmah dan melahirkan generasi rabbani.

Inilah antara aspirasi perubahan yang kita ingin laksanakan. Pastinya banyak lagi langkah-langkah reformasi yang bakal kita rancang dan usahakan. Walau bagaimanapun, perubahan yang kita sudah laksanakan atau yang bakal dilaksanakan, tidak akan mempunyai impak yang positif dan bermakna sekiranya tidak diterajui dan didukung oleh para murabbi semua.

Justeru, sempena sambutan hari Murabbi ini, marilah sama-sama kita berazam untuk berusaha segigih mungkin untuk kita memastikan semua perubahan ke arah yang lebih baik dapat kita laksanakan dengan cemerlang.

Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Makkah, tetapi dengan jihad juang dan niat yang tulus dan  bila kamu diperintahkan berjihad maka hendaklah kamu patuhinya.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim)

 Para murabbi yang diraikan,

Usaha gigih para murabbi menentukan kejayaan anak didik. Bak kata pepatah, apa yang ditanam, itulah yang dituai. Justeru, sebagai murabbi unggul yang berilmu dan berkeperibadian tinggi, marilah kita laksanakan tanggungjawab mendidik anak murid dari hati yang ikhlas untuk melahirkan anak didik yang baik lagi bijaksana. Didiklah mereka dengan

kasih sayang kerana didikan dengan kasih sayang dapat mewujudkan kepercayaan dan sentiasa memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi seorang insan berjiwa rabbani.

Di tangan seorang murabbi unggul, akan lahirlah generasi yang berupaya menebarkan cahaya kebaikan di tengah masyarakat. Teruslah bersabar dalam mendidik generasi ini. Ummah memerlukan generasi yang menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah serta berakhlak mulia, yang akhirnya membawa kepada rahmatan lil ‘alamin kepada semua.

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.”
(S. Ali-Imran:139)

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
(Al-Baqarah: 286)

Marilah kita berdoa mudah-mudahan kita akan terus bersemangat memainkan peranan berimpak tinggi dalam membangunkan sistem pendidikan Musleh, melahirkan generasi rabbani dan seterusnya memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah. Semoga Allah SWT memberkati dan meredai apa jua usaha para murabbi semua, baik di sekolah mahupun di dalam masyarakat.

Selamat Menyambut Hari Murabbi Musleh 2024.

Murabbi Unggul Peneraju Reformasi Pendidikan Musleh

Jazakumullahu khairal jaza’

Profesor Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB)

Kongsikan...

Bincangkan...