Latihan Kader Duat: Tanam Nilai Empati, Fahami Tugas Dai

SERI KEMBANGAN – Latihan Kader Duat (LKD) generasi ke-15 yang telah bermula pada 20 April sebelum berakhir pada 8 Mei lalu mencatatkan bilangan penyertaan tertinggi dengan penyertaan seramai 128 orang peserta dari sekolah-sekolah menengah rangkaian Musleh.

Seperti sebelumnya, program untuk pelajar lepasan sekolah Musleh yang mengumpulkan semua pemimpin pelajar dari setiap sekolah menengah rangkaian Musleh ini, merentas dua buah negara; Malaysia dan Indonesia.

“Program telah berlangsung selama 3 minggu, bertempat di Hulu Langat, Selangor dan kemudiannya di Medan, Indonesia sebelum berakhir di Bangi, Selangor pada Rabu lepas,” demikian jelas Penasihat Kader Du’at Musleh (KDM), Dayang Norhayani Amir.

Beliau yang turut mengiring para peserta sepanjang program berlangsung berkata, penganjuran program tahunan ini bertujuan untuk memberi kefahaman yang boleh membuahkan tingkah laku yang dihasratkan melalui pelbagai pengisian berbentuk ilmiah serta pengenalan kepada wadah dan relung-relung dakwah.

Katanya, penganjur mengambil pendekatan sedikit berbeza dalam susunan pengisian untuk para peserta tahun ini berbanding tahun-tahun lalu dan berharap agar jiwa-jiwa yang telah mengikuti perjalanan program ini secara langsung mahupun tidak, mampu berusaha menyumbang kembali melalui amal-amal bakti yang baik dan berterusan.

“Kata-kata keramat “we are preachers, not judges” menjadi pegangan atau slogan yang saban tahun digunakan untuk membentuk karakter da’i yang memahami tugasnya,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, program yang merangkumi aktiviti dalaman dan luaran ini turut menguji para peserta dari sudut mental dan fizikal serta keluar dari zon selesa untuk menumbuhkan nilai empati dan simpati terhadap masyarakat.

Selain itu, aktiviti pengukuhan ukhuwah dan semangat persaudaraan juga dititikberatkan sepanjang program ini dijalankan.

Dayang Norhayani mewakili pihak penganjur turut menzahirkan penghargaannya kepada semua peserta dan seluruh jawatankuasa termasuk fasilitator yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan LKD kali ini.

LKD merupakan program tahunan yang telah dirangka oleh Bahagian Tarbiah Musleh dan dikelolakan oleh KDM yang bertindak sebagai agensi di bawah IKRAM Muda Malaysia dengan kerjasama seluruh sekolah-sekolah menengah rangkaian Musleh untuk mengisi keperluan tarbiah para pelajar lepasan SPM sekolah-sekolah Musleh.

BERITA

SERI KEMBANGAN – Centre for Learning Excellence (CLE), Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) melalui Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terus

BERITA

SEBERANG PERAI UTARA, 19 Ogos – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada warga Sekolah Rendah

BERITA

SERI KEMBANGAN, 18 Ogos – Jaringan Pendidikan Islam di peringkat serantau terus diperkukuh apabila Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) menerima

BERITA

SERI KEMBANGAN – Peperiksaan bertulis Sijil Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) bagi Sekolah Rendah Islam (SRI) bermula hari ini mengikut

BERITA

SERDANG, 8 Ogos – Seramai hampir 300 warga Institusi Pendidikan IKRAM meliputi guru, pelajar dan pihak pengurusan sekolah seluruh negara

BERITA

SERI KEMBANGAN – Empat orang delegasi daripada Two Oceans Graduate Institute (TOGI), sebuah institusi pengajian tinggi swasta dari Afrika Selatan