Perutusan: Sempena Hari Murabbi Musleh 2025

Perutusan Hari Murabbi Musleh
16 Mei 2025
“Murabbi Pemacu Pendidikan Rabbani”

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas petunjuk dan rahmat-Nya ke atas kita sehingga kini.

Hari ini adalah hari yang bermakna, di mana kita mengiktiraf usaha, dedikasi dan pengorbanan para murabbi, insan barakah yang menjadi tunjang kepada pendidikan dan pembinaan tamadun bangsa. Tema Hari Murabbi tahun ini, Murabbi Pemacu Pendidikan Rabbani, amat bertepatan dengan peranan pendidik sebagai murabbi, bukan sahaja dalam penyampaian ilmu, tetapi juga
dalam pembentukan akhlak, spiritual dan nilai-nilai murni generasi masa hadapan.

Para murabbi yang saya muliakan,

Seorang murabbi tidak hanya mengajar dengan akal, tetapi memupuk jiwa dengan kasih sayang dan keikhlasan. Dalam usaha mendidik anak-anak bangsa, murabbi menjadi contoh teladan yang menunjukkan jalan menuju kebenaran, yang bukan hanya sekadar mencipta kejayaan akademik, tetapi juga menyemai dimensi kemanusiaan Rabbani yang menjadi asas kepada keberkatan hidup.

Kita amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982, bukan sahaja telah menjadi lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan institusi pendidikan kita kini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi-institusi pendidikan tersohor dalam negara.

Saya merakamkan Jazakumullah Khairal Jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para muallimin dan muallimat, para murabbi dan murabbiah, yang telah bertungkus lumus serta berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini. Moga-moga Allah SWT melimpahkan sebaik-baik ganjaran kepada kalian. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Melalui keikhlasan dan dedikasi, anda menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan murid-murid kita. Dalam era yang penuh cabaran ini, tanggungjawab anda semakin berat, tetapi percayalah bahawa peranan anda sangat mulia dan penting.

Para murabbi yang dikasihi,

Tema Murabbi Pemacu Pendidikan Rabbani dipilih sebagai tema sambutan Hari Murabbi pada tahun ini. Tema ini mengiktiraf pendidik sebagai nadi dalam sistem pendidikan Musleh sekaligus memartabatkan pendidikan Rabbani.

Pendidikan Rabbani merujuk kepada pendekatan pendidikan yang berasaskan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, dan akhlak yang tinggi, dengan tujuan membentuk individu yang taqarrub (dekat) dengan Allah SWT dan menjalankan tanggungjawab sebagai hamba serta khalifah di muka bumi. Ia menekankan pembelajaran yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah, serta menghubungkan
setiap aspek kehidupan dengan Rabb (Allah SWT).

Konsep ini bertujuan melahirkan generasi yang memiliki aqidah yang kukuh, akhlak yang mulia, dan pemahaman yang lurus, serta mampu membina keluarga bertaqwa, menyebarkan kedamaian dan kesejahteraan dalam masyarakat. Pendidikan Rabbani juga mengutamakan pembangunan insan melalui elemen jasmani, rohani, dakwah, dan pengurusan.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 79:

“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmah serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya”.

Para murabbi yang dikasihi sekalian,

Pendidikan Rabbani adalah pendidikan yang datangnya daripada Rabbul ‘Alamin, Tuhan sekalian alam. Pada hari ini secara praktikalnya pendidikan itu mestilah berasaskan al-Quran dan hadis. Tidak cukup dengan menjadikan kedua-duanya sebagai asas sahaja, tetapi juga sebagai motivasi untuk terus belajar. Akhirnya ilmu-ilmu yang dipelajari sama ada ilmu-ilmu teras Islam, Sains,
Matematik, teknologi dan muamalat akan menjadi asas untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Pendidikan Rabbani sangat bergantung kepada para murabbi. Murabbi menjadi pemacu utama dalam membimbing murid ke arah memahami tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Beberapa aspek penting yang boleh menjadikan seorang Murabbi lebih efektif dalam membimbing generasi masa depan:

  1. sentiasa memperbaharui niat ikhlas lillahi taala dalam mendidik demi kejayaan dunia dan akhirat.
  2. memiliki ilmu yang kukuh tentang Al-Quran dan Sunnah serta bagaimana ia diterapkan dalam kehidupan seharian.
  3. memahami peranan sebagai pendidik bukan hanya untuk akademik tetapi juga membimbing jasmani, rohani dan akhlak pelajar.
  4. mendidik dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
  5. membantu murid memahami bahawa menuntut ilmu bukan untuk kejayaan dunia sahaja, tetapi juga untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah dengan mengaitkan pembelajaran dengan nilai-nilai Islam dan tanggungjawab kepada masyarakat.
  6. memanfaatkan teknologi dan pendekatan interaktif bagi meningkatkan kefahaman murid.
  7. menjadi mentor dalam kehidupan murid.
  8. konsisten dalam proses pendidikan rabbani, istiqamah dalam membimbing, memotivasi dan mentarbiah murid.

Alhamdulillah, kita sangat bersyukur pendidikan yang kita bawa telah mencapai pengiktirafan masyarakat sebagai pendidikan bertaraf cemerlang, dengan sekolah-sekolah kita telah mendapat pelbagai anugerah. Tahniah dan syabas diucapkan.

Para murabbi yang diraikan,

Konsep Sekolah Rahmah adalah salah satu contoh terbaik pendidikan Rabbani kerana ia menekankan nilai kasih sayang, keberkatan, dan pendekatan holistik dalam pembelajaran. Sekolah Rahmah berasaskan prinsip pendidikan Islam yang bukan sahaja memberi penekanan kepada pencapaian akademik tetapi juga kepada pembentukan sahsiah dan akhlak pelajar. Antara ciri utama pendidikan Rabbani dalam Sekolah Rahmah adalah:

  • AMK (Akidah Merentas Kurikulum) iaitu pendidikan berasaskan tauhid, kurikulum dan kaedah pengajaran sentiasa dikaitkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT
  • Murabbi sebagai pembimbing jiwa
  • kaedah pendidikan berteraskan rahmah dan hikmah, mengutamakan kelembutan dalam mendidik dan memberi ruang kepada murid untuk berkembang dengan penuh motivasi.
  • hubungan Pendidik-Murid yang harmoni, komunikasi dan interaksi dalam Sekolah Rahmah menekankan adab, hormat, dan kesejahteraan bersama.
  • pendidikan seimbang dunia dan akhirat

Pendekatan ini sejajar dengan konsep Pendidikan Rabbani, yang memastikan setiap aspek pembelajaran membawa pelajar lebih taqarrub kepada Allah SWT serta membentuk insan yang bertanggungjawab dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, pendekatan yang kita sudah laksanakan ini, tidak akan mempunyai impak yang positif dan bermakna sekiranya tidak diterajui dan didukungi oleh para murabbi semua.

Justeru, sempena sambutan hari Murabbi ini, marilah sama-sama kita berazam untuk berusaha segigih mungkin untuk kita memastikan pendidikan rabbani dapat kita laksanakan dengan cemerlang.

Para murabbi yang diraikan,

Usaha gigih para murabbi menentukan kejayaan anak didik. Bak kata pepatah, apa yang ditanam, itulah yang dituai. Justeru, sebagai murabbi yang berilmu dan berkeperibadian tinggi, marilah kita laksanakan tanggungjawab mendidik anak murid dari hati yang ikhlas dan berhikmah untuk melahirkan anak didik yang baik lagi bijaksana. Didiklah mereka dengan kasih sayang kerana didikan dengan kasih sayang dapat mewujudkan kepercayaan dan sentiasa memberi inspirasi
kepada anak didik untuk menjadi seorang insan berjiwa rabbani.

Di tangan seorang murabbi, akan lahirlah generasi yang berupaya menebarkan cahaya kebaikan di tengah masyarakat. Teruslah bersabar dalam mendidik generasi ini. Ummah memerlukan generasi yang jasmani yang cergas, menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah serta berakhlak mulia, yang akhirnya membawa kepada rahmatan lil ‘alamin kepada semua.

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” (Surah Ali Imran: 139)

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.”(Surah Al-Baqarah: 286)

Para Murabbi yang dihormati,

Pelaksanaan pendidikan rabbani memerlukan kesabaran dan ketabahan. Para rasul telah menunjukkan jalan-jalannya dan telah menunjukkan doa-doa untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT. Doa-doa ini perlu diamalkan supaya pendidikan rabbani ini mendapat keberkatan dan pertolongan Allah SWT. Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zulkifli dan Nabi Muhammad SAW walaupun sedang berdiri di puncak empayar yang sangat besar, mereka tidak berhenti berdoa
kepada Allah SWT siang dan malam.

Oleh itu, marilah kita berdoa mudah-mudahan kita akan terus bersemangat memainkan peranan berimpak tinggi dalam membangunkan sistem pendidikan Rabbani, melahirkan generasi rabbani dan seterusnya memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah. Semoga Allah SWT memberkati dan meredhai segala usaha para murabbi semua, baik di sekolah mahupun di dalam masyarakat.

Selamat Menyambut Hari Murabbi Musleh 2025.
Murabbi Pemacu Pendidikan Rabbani

Jazakumullahu khairal jaza’.

Profesor Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB

BERITA

SERDANG – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2026 pada Sabtu, 20 Jun 2026, sebagai medan

BERITA

SERI KEMBANGAN – MUSLEH merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid sekolah rangkaiannya yang telah mengharumkan nama sekolah dalam Minecraft Education Challenge

BERITA

JOHOR BAHRU – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru mencatat pencapaian cemerlang apabila berjaya mengharumkan nama negara

BERITA

SHAH ALAM – Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang diumumkan sebagai Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) Cemerlang bagi kategori Anugerah

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah Ipoh, salah sebuah sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad melakar kejayaan membanggakan apabila dinobat

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam I-Musleh menyerlah di pentas pendidikan negara apabila salah seorang pendidiknya, Natasha Faradilla Jamil, diumumkan sebagai