KUALA LUMPUR – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Kamaruzaman Che Ya yang akan mewakili Malaysia sebagai atlet memanah tradisional, bersama Lt. Kol. KRS Abd Rahaim Md Isa selaku pegawai pengiring kontinjen Malaysia ke Kejohanan Memanah Tradisional Dunia WTAF 2026 di Ulsan, Korea Selatan.
Kedua-duanya dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 lewat malam ini sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sekitar jam 6.20 pagi keesokan harinya.
“Penyertaan ini merupakan peluang untuk menguji kemahiran dan pengalaman dalam pertandingan di peringkat antarabangsa, selain membawa nama Malaysia dalam arena memanah tradisional dunia,” ujar Lt. Kol. KRS Abd Rahaim ketika ditemui hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kejohanan Memanah Tradisional Dunia Ulsan, Korea 2026 (WTAF 2026 Korea Ulsan World Traditional Archery Championship) akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 4 November 2026 di Lapangan Memanah Antarabangsa Munsu, Ulsan.
Dianjurkan oleh World Traditional Archery Federation (WTAF) dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaan Korea, kejohanan ini dijangka menghimpunkan kira-kira 700 peserta dari 38 buah negara, termasuk 58 peserta dari kontinjen Malaysia.

Sepanjang kejohanan, Ustaz Kamaruzaman yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra) Malaysia dan para peserta akan bersaing dalam empat kategori jarak memanah tradisional, iaitu 30 meter, 70 meter, 90 meter dan 145 meter bagi acara individu serta berpasukan.
Pada masa sama, jadual pertandingan turut merangkumi latihan rasmi dan upacara pembukaan pada 30 Oktober, pusingan kelayakan dari 31 Oktober hingga 2 November, pusingan kalah mati pada 3 November, serta pusingan akhir dan majlis penyampaian hadiah pada 4 November.
Sehubungan itu, pihak pengurusan MIEB mendoakan agar segala urusan perjalanan dan pertandingan Ustaz Kamaruzaman, Lt. Kol. KRS Abd Rahaim serta keseluruhan kontinjen dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik dan berjalan lancar sepanjang berada di Korea Selatan.
Kedua-dua delegasi dijadualkan pulang ke tanah air pada 6 November depan.
Sumber foto: Facebook Abd Rahaim Md Isa
