GOMBAK – Idea inovasi yang menggabungkan teknologi tenaga solar dan kelestarian hijau membawa tiga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Gombak ke pentas Junior Innovathon 2026 Musim Kedua, sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok 50 pasukan terpilih bagi pertandingan tersebut.
Dikenali sebagai ROBOBOY, pasukan ini dianggotai oleh Ayyash Al Fateh Haikal Ambri, Muhammad Hakim Mohamad Haniff dan Muhammad Adam Shazwan Sharifudin.
Mereka mengetengahkan projek inovasi bernama S.H.I.N.E., singkatan bagi Solar Harnessing for Instant Natural Energy.
Projek tersebut menggabungkan idea teknologi tenaga solar dan kelestarian hijau, sekali gus memperlihatkan usaha para pelajar meneroka bidang inovasi serta mengembangkan kreativiti dalam menghasilkan idea yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dalam Episod 4 yang disiarkan menerusi TV1 pada 18 Oktober lalu dan siaran ulangannya di saluran OKEY pada 19 Oktober, pasukan ROBOBY berjaya meraih markah 95.59, menjadikan mereka berada di tempat teratas dalam kategori Sekolah Menengah untuk Episod 4, menewaskan 4 lagi pasukan lain.
Rentetan daripada itu, pasukan ROBOBOY akan turut berentap di pentas akhir Junior Innovathon 2026 Musim Kedua yang akan berlangsung pada 1 November depan.
Seluruh warga Musleh merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan ROBOBOY dan pihak sekolah atas pencapaian ini dan mengharapkan agar pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membudayakan inovasi serta melahirkan pelajar yang peka terhadap keperluan masyarakat dan alam sekitar.
Junior Innovathon yang memasuki Musim Kedua penganjurannya merupakan program anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Program ini bertujuan memupuk budaya reka cipta dan inovasi dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah, di samping memberi ruang kepada generasi muda untuk mengetengahkan idea kreatif serta penyelesaian inovatif terhadap pelbagai isu dan keperluan masyarakat.
