Kuala Lumpur – Program seumpama ini sangat bermakna untuk diri saya, begitu ungkap Lee Han Yang, 17, pelajar dari Sekolah Tinggi Kuen Cheng sewaktu menyertai Pertandingan Seni Kolaj sempena Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Dong Jiao Zong, Tamil Foundation dan Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) yang dihadiri kira-kira 500 orang Sabtu lalu di sini.
“Saya berpeluang untuk berkongsi idea dan pandangan dengan pelajar-pelajar berbangsa Melayu dan India yang semestinya datang daripada latar belakang kehidupan dan budaya yang berbeza sambil bekerjasama dalam menyiapkan karya kolaj kumpulan kami,” lanjut beliau lagi.
Sementara itu, Aisyah Fasihah Kamal Bhareen, 16, dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak pula berkongsi perasaan gementarnya apabila para peserta pertandingan diasingkan mengikut kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang berlainan bangsa pada permulaan pertandingan.
“Saya berasa agak gementar kerana bimbang tidak dapat berkomunikasi dengan baik sesama ahli kumpulan tetapi selepas saling berkenalan, rupanya sangat seronok berbual dengan mereka,” ujar Aisyah sambil tersenyum.
Pertandingan Seni Kolaj yang telah berlangsung pada sebelah pagi itu membawa tema “Keterangkuman dan Pendidikan Bahasa Ibunda” dan aktiviti ini dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dengan kira-kira 50 penyertaan daripada setiap kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asal dari sekolah-sekolah menengah di sekitar Selangor. Selain itu, 15 orang pelajar sekolah menengah dan 40 orang pelajar sekolah rendah rangkaian IKRAM Musleh turut hadir memeriahkan karnival berkenaan. Turut hadir, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Pengarah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020.
Sebelum itu, beberapa aktiviti lain juga turut berlangsung sepanjang karnival berkenaan dan para tetamu yang hadir berpeluang untuk mencuba serta merasai pengalaman bermain pelbagai jenis permainan tradisional Melayu, Cina, India dan Orang Asal yang disediakan oleh pihak penganjur termasuklah congkak atau bagi masyarakat India dipanggil ‘palangguli’, batu seremban, cabaran menggunakan kayu penyepit, membuat thoranam dan kolam yang terkenal dalam kalangan masyarakat India serta jak renoi yang terkenal dalam kalangan masyarakat orang asal. Selain itu, turut disediakan ruang mencuba teknik menulis kaligrafi pelbagai kaum seperti, khat, tulisan jawi serta menulis kaligrafi Cina dan Tamil dengan kehadiran pengajar-pengajar teknik menulis khat dan kaligrafi profesional.
[Pelajar berbangsa India mencuba aktiviti cabaran menggunakan kayu penyepit yang menjadi budaya masyarakat berbangsa Cina.]
Karnival turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kalam berirama daripada 3 buah sekolah yang masing-masingnya mewakili bangsa Melayu, Cina dan India selepas Pertandingan Seni Kolaj tamat pada jam 12.00 tengah hari.
Kamarul Bahyah Mustafa, 48, salah seorang tetamu yang hadir bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun dari Kuantan, Pahang berkata, “Program seperti ini sangat bagus dalam memberikan pendedahan awal kepada anak-anak tentang kepelbagaian bangsa yang terdapat di Malaysia dan keunikan setiap daripadanya. Minda anak-anak akan lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian ini dan kita seharusnya sama-sama berbangga menjadi rakyat Malaysia.”
Beliau turut menyarankan agar kesedaran hidup berbilang bangsa serta rasa tanggungjawab mengekalkan keamanan dan keharmonian negara ini dipupuk sejak kecil lagi.
Karnival yang berakhir pada jam 1.30 petang itu diakhiri dengan ucapan penutup daripada Hj. Zaid Bin Kamaruddin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), salah satu rakan strategik penganjur. Beliau menyifatkan karnival ini sebagai satu usaha murni yang patut dibanggakan bersama dan diteruskan lagi pada masa akan datang. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa Pertubuhan IKRAM Malaysia itu turut memuji usaha pihak penganjur dalam menjayakan karnival serta berharap mesej perpaduan yang dibawa bersama dapat dicontohi oleh semua pihak.
Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak penganjur Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 juga akan mengadakan acara utama pada 21 Februari 2020, Jumaat ini bermula jam 8.00 pagi bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwo, Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti menarik juga akan dibawakan kepada orang ramai seperti Forum Belia yang akan menampilkan saudari Khadijah Khalid daripada IKRAM Muda selaku moderator dan panelis-panelis belia yang lain. Acara utama berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching dan dijangkakan akan tamat pada jam 12.00 tengah hari.
Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah diumumkan oleh UNESCO untuk diperingati di seluruh dunia pada 21 Februari sebagai pengiktirafan antarabangsa kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh semenjak tahun 1952 apabila sebilangan penuntut Universiti Bangladesh terbunuh di Dhaka ketika menyertai Gerakan Bahasa Benggali. Pengisytiharan itu datang dalam bentuk resolusi yang sebulat suara diterima pakai di ibu pejabat UNESCO di Paris pada bulan November 1999.