SERDANG, 8 Ogos – Seramai hampir 300 warga Institusi Pendidikan IKRAM meliputi guru, pelajar dan pihak pengurusan sekolah seluruh negara telah berhimpun dalam majlis Hari Anugerah Musleh (HARUM) 2026 yang berlangsung di Auditorium Radin Umar, Universiti Putra Malaysia pada hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) itu menjadi wadah untuk mengiktiraf kecemerlangan, menghargai sumbangan serta menyemarakkan budaya apresiasi dalam kalangan warga insitusi pendidikan di bawah rangkaian MUSLEH.
Dengan temanya, Menggilap Potensi, Membina Legasi, HARUM 2026 bukan sekadar menjadi ruang meraikan penerima anugerah, tetapi turut menggambarkan komitmen MUSLEH untuk membangunkan sebuah ekosistem pendidikan yang memberi perhatian kepada pembinaan generasi masa hadapan dengan nilai-nilai murni dan pendidikan berkualiti.
Dalam ucapannya, Pengurus Besar Centre for Learning Excellence (CLE), Dr. Kamaliah Noordin, berkata bahawa pengiktirafan terhadap kecemerlangan murid, guru mahupun sekolah, menggambarkan perkembangan usaha bersama dalam melaksanakan amanah pendidikan untuk membangun jiwa insan dengan acuan Rabbani.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MIEB, Prof. Dr Omar Yaakob, dalam amanatnya menekankan bahawa setiap individu mempunyai potensi yang tersendiri untuk dikembangkan dan dimanfaatkan.
Dalam konteks pendidikan, usaha menggilap potensi bukan semata-mata untuk menghasilkan pencapaian, tetapi membentuk individu yang mampu menggunakan ilmu, bakat dan keupayaannya untuk memberikan manfaat kepada agama, masyarakat dan negara agar pencapaian yang diraih hari ini tidak terhenti pada diri seseorang, sebaliknya diteruskan melalui nilai, ilmu dan sumbangan yang dapat memberi manfaat kepada generasi seterusnya.

Majlis kemudiannya disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden IKRAM Malaysia, Tuan Haji Jusni Yusoff.
HARUM 2026 menyaksikan 37 kategori anugerah yang merangkumi 129 penerimaan, melibatkan 35 pelajar, 20 guru serta lebih 30 sekolah penerima.


Antara anugerah kemuncak yang mencuri tumpuan termasuklah Anugerah Tokoh Pelajar Unggul 2026 yang diberikan kepada Fatih Mohd Faizal, alumni Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru bagi kategori banin dan Mawadda Abu Bakar, alumni Sekolah Menengah Agama Riyadatul A’mal bagi kategori banat.
Turut diraikan, 20 penerima Anugerah Murabbi Inspirasi sebagai penghargaan kepada para pendidik yang telah memberikan sumbangan bermakna dalam membimbing dan membangunkan potensi pelajar.
Pada masa sama, MUSLEH turut mengiktiraf pencapaian sekolah-sekolah rangkaiannya dalam kecemerlangan Ilmu Syariah serta kecemerlangan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam pelbagai mata pelajaran meliputi bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan.
Selain sesi penyampaian anugerah, HARUM 2026 turut menampilkan sesi khas, TED Talk Testimonial Alumni oleh Abdullah Zubayr Mohd Aizaini, alumni Sekolah Rendah Islam (SRI) Hidayah Johor Bahru dan SMI Hidayah Johor Bahru.
Perkongsian beliau yang bertajuk “The Art of Becoming: Building Resilience and Steering Purpose” membawa para hadirin menyelami persoalan berkaitan daya tahan, kegagalan, keyakinan diri dan tujuan hidup.
Perkongsian tersebut turut mengetengahkan kepentingan menjadikan Allah sebagai tujuan dan kompas dalam kehidupan, di samping terus membina kemampuan untuk menghadapi cabaran serta ketidakpastian yang mendatang.

Kehadiran alumni dalam majlis tersebut memberikan satu dimensi tersendiri kepada aspirasi pendidikan Musleh. Ia memperlihatkan bahawa pendidikan tidak semestinya berakhir apabila seseorang meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya nilai dan pembentukan yang diperoleh boleh terus dibawa dalam perjalanan kehidupan.
Bagi pihak penganjur, pengiktirafan yang diberikan melalui HARUM 2026 bukan sekadar meraikan siapa yang mencapai keputusan terbaik atau mencatat pencapaian tertinggi tetapi sebaliknya menjadi ruang untuk menghargai pelbagai bentuk usaha dan potensi yang terdapat dalam ekosistem pendidikan.
Seorang pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam hafazan diraikan. Begitu juga pelajar yang menyerlah dalam kepimpinan, sukan, kreativiti, kokurikulum, sahsiah dan khidmat masyarakat. Para guru yang membimbing turut diberikan penghargaan, manakala sekolah yang berusaha memperkukuh pencapaian akademik dan pendidikan Islam turut diiktiraf. Kesemuanya menggambarkan satu kefahaman bahawa kecemerlangan mempunyai pelbagai wajah.
Dalam konteks inilah penganjur terus membawa aspirasi pendidikan Islam yang bukan sekadar mahu melahirkan pelajar berilmu dan berdaya saing, tetapi insan yang mempunyai nilai, tujuan dan kesedaran terhadap amanah kehidupan.
HARUM 2026 akhirnya menjadi satu daripada ruang untuk melihat sebahagian daripada perjalanan tersebut.
Di sebalik 37 anugerah yang disampaikan, terdapat usaha para guru, sokongan ibu bapa, komitmen pihak pengurusan sekolah serta kesungguhan para pelajar yang bersama-sama membentuk pencapaian tersebut.
Lebih jauh daripada sebuah pentas penghargaan, ia menjadi peringatan bahawa potensi perlu digilap dengan ilmu, dibentuk dengan nilai dan diarahkan kepada tujuan yang benar. Daripada potensi yang dibangunkan hari ini, diharapkan lahir generasi yang bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan, tetapi mampu meneruskan legasi pendidikan Islam dalam membina insan Rabbani yang memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan ummah.
