KLANG – Alhamdulillah, Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ (SMITQ Hira’) melakar kejayaan membanggakan apabila pasukan Maryam Al-Astrolabi dari institusi itu dinobatkan sebagai johan Kategori CanSat peringkat sekolah dalam Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026.
Kejayaan tersebut sekali gus menyerlahkan potensi pelajar Hira’ dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta teknologi aeroangkasa, di samping kecemerlangan dalam bidang pendidikan Islam dan al-Quran.
Lebih membanggakan, pasukan Al-Zahrawi, pasukan kedua dari institusi sama turut meraih tempat kedua dalam kategori berkenaan, menjadikan dua kedudukan teratas kategori CanSat peringkat sekolah dikuasai oleh pasukan daripada Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Hira’, salah sebuah sekolah menengah dalam rangkaian Musleh Integrated Education Berhad (MIEB).
MRCC 2026 yang berlangsung di Dewan Besar Bandar Baru Seberang Perak, Pasir Salak, menghimpunkan penyertaan pelbagai institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi tempatan serta antarabangsa. Pada peringkat akhir, pertandingan ini melibatkan 104 pasukan, 425 pelajar dan 152 mentor.
Pengetua SMITQ Hira’, Ustaz Isharuddin Ismail dalam kenyataannya menzahirkan kesyukuran atas pencapaian tersebut dengan menyifatkannya sebagai kejayaan bersama seluruh warga Hira’
Pada masa sama, pencapaian bermakna ini turut mencerminkan aspirasi pendidikan bersepadu yang memberi ruang kepada pelajar untuk berkembang secara menyeluruh, bukan sahaja dalam penguasaan ilmu dan pembentukan sahsiah, tetapi juga dalam kemahiran serta bidang ilmu yang relevan dengan keperluan masa hadapan.
MIEB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Maryam Al-Astrolabi, pasukan Al-Zahrawi, para pelajar, guru, mentor serta seluruh warga Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ atas kejayaan yang membanggakan ini.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penerokaan, inovasi dan kecemerlangan pelajar Hira’ dalam bidang STEM dan teknologi, selari dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
Sumber: Bernama
