Hala Tuju Pendidikan Lestari Masa Depan

Ibu-bapa mempunyai  harapan yang berbeza  terhadap hasil pembelajaran  anak-anak setelah melalui alam persekolahan.

Mungkin sebahagian ibu bapa berharap anaknya  memperolehi pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya melanjutkan pendidikan sehingga peringkat tinggi dan akhirnya mendapat pekerjaan yang selesa.

Sebahagian ibu bapa lain pula berharap anaknya mempunyai ciri sahsiah dan akhlak yang terpuji  dan tidak gusar jika  prestasi akademiknya rendah dibandingkan dengan rakannya.

Sebahagian ibu bapa lain pula berharap keseimbangan berlaku, anaknya cemerlang dalam bidang akademik dan dalam masa yang sama, menonjolkan ciri-ciri unggul dalam akhlak dan peribadinya.

Hasil pendidikan seperti yang dihasratkan oleh  ibu bapa bergantung kepada hala tuju sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak.  Dalam hubungan ini, hala tuju sistem pendidikan negara telah melalui  beberapa fasa.

Pada tahun 50-an proses pendidikan pada umumnya adalah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlandaskan kepada hafalan. Pencapaian pembelajaran diukur melalui peperiksaan awam. Gred diberikan berasaskan respons murid kepada soalan peperiksaan yang diberikan pada penghujung persekolahan.

Pendekatan pengajaran ketika itu  berasaskan kaedah latih tubi. Pencapaian murid diukur berdasarkan prestasi menjawab soalan peperiksaan dalam masa tertentu.

Kaedah pendekatan sistem persekolahan ketika itu berkait rapat dengan kemajuan sosio-ekonomi negara. Negara memerlukan bilangan tenaga kerja yang cekap, mahir dan efisien segera. Sistem pendidikan begini dapat memenuhi kehendak industri.

Pada tahun 60-an, berikutan dengan reformasi pendidikan di seluruh dunia, para pendidik dan penggubal dasar pendidikan negara merasakan bahawa keupayaan murid menguasai kemahiran dengan cekap semata-mata tidak mencukupi. Penekanan kepada kefahaman adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid bukan sahaja perlu menguasai kemahiran tetapi juga mesti memahami apa yang dipelajari.

Ketika itu banyak perdebatan berlaku dalam kalangan para pendidik mengenai sama ada kefahaman perlu ditekankan dahulu diikuti dengan kemahiran ataupun sebaliknya kemahiran diperlukan untuk mencapai kefahaman. “Makna” dalam pembelajaran mula diberi penekanan dalam proses PdP. Kebermaknaan pendidikan menjadi teras utama dalam PdP.

Pada era 80-an pula para pendidik mula prihatin terhadap peranan pendidikan dalam membentuk manusia. Dalam banyak hal, proses pendidikan telah banyak melahirkan para cerdik pandai dalam pelbagai bidang. Namun terdapat juga pelajar cemerlang dalam persekolahan tetapi  tidak mempamerkan sikap atau ciri peribadi yang dihasratkan oleh sistem pendidikan kita.

Ketika itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan mula disuratkan sebagai hala tuju proses pendidikan. Nilai murni mula diterapkan dalam proses PdP.

Tetapi kehendak sosio-ekonomi menyebabkan pencapaian prestasi pelajar masih merupakan fokus utama pendidikan. Penerapan nilai murni tidak mendapat peranan utama. Pencapaian lebih diutamakan dan kemenjadian atau pembinaan akhlak dan sahsiah hanya sebagai sampingan semata.

Untuk mendepani cabaran terkini, negara memerlukan hala tuju pendidikan yang lebih konsisten dan lestari.

Pengalaman jelas menunjukkan bahawa hasil pembelajaran yang digariskan daripada pernyataan falsafah adalah lebih utama. Negara sudah pasti tidak memerlukan rakyat yang bijak dan berketerampilan tetapi dalam masa yang sama mementingkan diri sendiri, menimbulkan gejala sosial, menyalahgunakan ilmu dan kuasa, serta melakukan salah laku rasuah.

Sebaliknya kita memerlukan rakyat yang mempunyai sifat yang seimbang dan harmonis dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sahsiah seperti ini adalah lebih utama, konsisten dan lestari, seperti yang tertera di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ini memberi implikasi bahawa kita harus memberi penekanan kepada kemenjadian murid sebagai teras utama pendidikan. Pendidikan negara harus ditalakan sebagai proses berterusan kemenjadian manusia  yang bermula di peringkat sekolah.

Adalah wajar untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat penilaian semula hala tuju pendidikan negara dengan menerapkan  Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan lebih mantap.  Usaha ini perlu bermula dengan mentakrifkan  “…insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,..”.

Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali
Ahli Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan IKRAM Musleh

BERITA

SERDANG – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2026 pada Sabtu, 20 Jun 2026, sebagai medan

BERITA

SERI KEMBANGAN – MUSLEH merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid sekolah rangkaiannya yang telah mengharumkan nama sekolah dalam Minecraft Education Challenge

BERITA

JOHOR BAHRU – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru mencatat pencapaian cemerlang apabila berjaya mengharumkan nama negara

BERITA

SHAH ALAM – Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang diumumkan sebagai Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) Cemerlang bagi kategori Anugerah

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah Ipoh, salah sebuah sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad melakar kejayaan membanggakan apabila dinobat

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam I-Musleh menyerlah di pentas pendidikan negara apabila salah seorang pendidiknya, Natasha Faradilla Jamil, diumumkan sebagai