Bangi – “Perancangan kokurikulum perlu lebih teliti kerana melibatkan waktu selepas persekolahan. Kalau PdPc mudah, ada jadual sejak awal tahun sehinggalah pentaksiran akhir tahun. Begitulah juga sepatutnya unit kokurikulum,” ujar Ketua Unit Kokurikulum IKRAM Musleh merangkap Pengerusi KRS Musleh, Mejar KRSM Tuan Abd Rahaim bin Md Isa semasa berucap di Muzakarah Sekretariat KRS Musleh dan Penolong-Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rangkaian IKRAM Musleh pada 18 Januari lalu di Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Bangi.
“Proses pentarbiahan ini harus ‘disengajakan’, supaya kita sedar dan faham rasionalnya. Sebagai contoh nak hantar murid sertai pertandingan, ia perlu dirancang, tidak boleh spontan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa Unit Kokurikulum sekolah perlu bergerak maju seiring dengan perkembangan Pendidikan Abad ke-21 (PAK21) dengan meneroka bidang dan ruang baru agar wujudnya jalan dan peluang untuk kepentingan murid sekolah rangkaian yang rata-ratanya tidak berpeluang menyertai acara serta program seperti sekolah biasa.
Abd Rahaim turut menegaskan bahawa tugas sebenar seorang Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini hakikatnya amat berat namun harus dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilunaskan.
“Hakikatnya, tanggungjawab sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum ini adalah tugas yang sangat berat. Melainkan jika kita anggap tugas itu satu amanah yang harus dilaksanakan, maka kita akan rasa ringan kerana kita sedang menjalankan satu amanah untuk membentuk generasi rabbani, melalui pentarbiahan, kepimpinan dalam kokurikulum dan KRS Musleh.”
Di samping itu, salah satu resolusi yang telah digariskan di akhir muzakarah menyatakan bahawa potensi murid harus dibangun secara berterusan. Maka atas sebab itu, Unit Kokurikulum perlu diperkasakan fungsinya sebagai wadah pembangunan kepimpinan murid; menjayakan semua aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; menguruskan 5M secara efektif dan efisyen; mengukuhkan hubungan dan jaringan di peringkat antarabangsa; dan menjayakan projek dana peringkat nasional.
Selain itu, muzakarah yang dihadiri oleh 43 orang Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rangkaian IKRAM Musleh seluruh Malaysia itu turut membincangkan beberapa perkara lain, antaranya takwim program bagi tahun 2020, mengemaskini data, dan pembentangan berkaitan carta organisasi dan punca kuasa.
Turut diumumkan dalam muzakarah berkenaan ialah produk terkini Unit Kokurikulum IKRAM Musleh iaitu Buku Rujukan Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM) edisi ke-3 bagi penggunaan kadet Tahun 5 dan Tahun 6. Buku tersebut telah siap untuk digunakan dan dipromosikan ke seluruh sekolah rangkaian.
Dalam perkembangan yang berkaitan, gabungan penasihat dan 4 orang Jurulatih Utama (JU) Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra) juga telah berjaya menghasilkan sebuah buku rujukan umum berkaitan memanah tradisional dan akan diterbitkan tidak lama lagi.
Sumber berita: KRS Musleh