Menyemarakkan Pembelajaran Bermakna

Kuala Lumpur – “Pendidikan yang bermakna mestilah menjelaskan hala tuju kehidupan murid-murid. Murid-murid yang dididik harus mendapat visi tentang kehidupan mereka melalui pendidikan itu sendiri,” ujar Puan Hajah Kamaliah Noordin, Timbalan Pengerusi IKRAM Musleh dalam pembentangan utamanya yang bertajuk Sekolah Rahmah: Ke Arah Pendidikan Yang Lebih Bermakna di sini semalam sempena Kolokium Kebangsaan Pendidikan Islam 2019 yang berlangsung sejak 21 Disember lalu yang telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli lembaga pengelola sekolah, pengetua-pengetua, guru besar-guru besar, para guru dan ibu bapa. 

“Antara hala tuju yang perlu dijelaskan seperti yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri, dalam surah At-Tahrim, ayat ke-6, Allah telah berfirman supaya kita menjaga diri dan keluarga daripada neraka dan bahan bakarnya. Persoalannya, adakah pendidikan yang kita laksanakan di sekolah memberikan hala tuju untuk murid-murid menjaga diri mereka dunia dan akhirat? Inilah yang perlu kita nilai kembali. Jika anak-anak ini selepas tamat persekolahannya di tingkatan 5, namun mereka masih tidak ada visi yang jelas tentang kehidupan mereka pada masa akan datang, ini adalah sesuatu perkara yang sangat tidak memberangsangkan,” jelas beliau.

Beliau juga berkata bahawa pendidikan bermakna itu mesti membawa kepada pengislahan diri. Murid-murid harus sentiasa terinspirasi untuk merubah diri mereka ke arah yang lebih baik. Seperti yang disebutkan oleh Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman ayat ke-16 yang bermaksud; Wahai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara baik sekalipun seberat biji sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau di bumi; ia tetap akan dilihat oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas).

“Dalam ayat ini, Luqman bukan hanya memberikan nasihat kepada anaknya bahkan dia juga memberikan harapan. Jika ada antara murid-murid kita yang bermasalah, adakah pendidikan kita hari ini memberi harapan kepada mereka atau kita buang mereka?” tanya beliau.

Beliau turut mengupas secara terperinci mengenai ciri-ciri pembelajaran bermakna di sekolah dan perbezaannya dengan pendidikan bermakna.

“Sesuatu pembelajaran itu bukan hanya menerangkan tentang fakta tetapi murid-murid boleh mentafsirkan fakta yang telah mereka pelajari kepada realiti dan apabila kita berbincang tentang nilai, murid-murid itu sendiri boleh menterjemahkannya dan mengaitkannya dengan tindakan dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian.”

Selain itu, beliau juga menjelaskan konsep sekolah rahmah yang sedang di bawa oleh IKRAM Musleh di sekolah-sekolah kepada semua yang hadir.

“Rahmah ini adalah konsep kepunyaan orang Islam seluruhnya. Bukan milik kerajaan dan bukan juga retorik politik hari ini. Sebaliknya, konsep rahmah ini sudah ada sejak zaman Rasulullah lagi dan tetap ada hingga sekarang. Konsep inilah yang kita harus pegang sampai bila-bila,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, acara ini diadakan bertujuan untuk menyediakan satu platform bagi semua pihak berkongsi ilmu tentang aplikasi strategi pedagogi terkini, berkongsi amalan terbaik guru-guru dalam PdPc yang mengaplikasikan pedagogi terkini, berkongsi kajian penyelidikan ilmiah yang mampu merealisasikan transformasi pendidikan terkini serta berkongsi kajian tindakan yang sinonim dengan transformasi dan inovasi dalam pendidikan IR 4.0.

Sehari sebelum itu, acara yang berlangsung selama 2 hari ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. Acara ini telah mengumpulkan kira-kira 20 kertas kerja berkaitan pendidikan Islam dan telah dibentangkan oleh kesemua penyelidik yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh dan juga guru-guru jemputan dari sekolah-sekolah kebangsaan yang lain. Pada sebelah malamnya pula, berlangsung ceramah perdana yang bertajuk Maqasid Syariah dan Konsep Rahmah oleh Ustaz Haji Alias Othman dan telah disiarkan secara langsung di laman facebook rasmi IKRAM Musleh bermula pada jam 8.00 malam.

Sementara itu, di sebelah pagi hari kedua, Dr. Shahrizal Sunar, pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai telah menyampaikan pembentangan utamanya yang bertajuk “Augmented and Virtual Reality Application in Education” dan pada sebelah petangnya telah diserikan lagi dengan perkongsian khas daripada Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Pusat Pendidikan Al-Hidayah Perak, Tuan Haji Abdul Hashim Bin Abdul Karim PMP, AMN, AMP, mengenai 8 Prinsip Pengurusan yang Berkualiti bagi Mencapai Visi dan Misi Sekolah IKRAM Musleh.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM merangkap Pengerusi IKRAM Musleh, Prof. Dr. Omar bin Yaakob, dan Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor.

Kongsikan...

Bincangkan...