Membentuk Warga dalam Mencorak Masa Depan Negara

SERDANG – “Malaysia Baharu perlu nilai tambah yang lebih lestari iaitu individu dan masyarakat soleh yang mengisi negara kita lalu mengangkat suatu tamadun mulia dan ia memerlukan dakwah Islamiah inklusif rahmatan lil alamin. Persoalannya, di mana kita?” tanya Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia merangkap ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM, Hj Jusni Yusoff kepada lebih 283 hadirin yang terdiri daripada para Pengurus Tarbiah, para pendidik dan staf sekolah-sekolah rangkaian dan rakan IKRAM Musleh di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang hadir dalam Majlis Taklimat Tarbiah IKRAM Musleh (MTTIM) 2018 yang berlangsung pada 1 Disember 2018, Sabtu lalu di Auditorium Rashdan Baba, UPM.

Memetik surah Ali-Imran, ayat 164, beliau turut mengingatkan bahawa para pendidik adalah penyambung risalah dan tugas membangun dan mentarbiah insan adalah satu tugas yang mulia.

“Selain murid-murid, para guru, para kakitangan, para ibu bapa, pembekal-pembekal, jiran-jiran, pihak berkuasa dan sekolah-sekolah lain juga antara kumpulan sasaran dalaman dan persekitaran yang patut kita santuni agar mesej yang kita bawa menerobos ke setiap akar umbi,” tambah beliau lagi dalam slotnya yang bertajuk “Menerobos Akar Umbi: Peranan Amal Dakwah dan Tarbiah Muallimin dan Muallimat di Sekolah Rendah Islam dan Sekolah Menengah Islam.”

Sementara itu, majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang itu turut diserikan lagi dengan ucaptama daripada seorang ilmuan terkenal di dalam dan juga di luar negara, Yang Berbahagia Tan Sri Emeritus Prof. Ulung Dr. Mohd. Kamal Hassan yang bertajuk “Hubungkait antara Ilmu Sains dan Tarbiah Islamiah.”

Dalam ucaptamanya, beliau mengatakan bahawa orang-orang yang mempunyai akal yang murni dan bersih dari kekotoran serta sedar terhadap realiti Hari Akhirat, mereka amat bimbang seandainya pada Hari Akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka akibat daripada aktiviti, kelakuan atau sikap mereka yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT.

“Lantas mereka memohon ampun dan belas kasihan Allah SWT atas kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Sikap ūlū al-albāb saperti itulah yang harus dijadikan model ikutan oleh para ilmuwan yang mendalami ilmu sains.  Sifat-sifat dan sikap sedemikian merupakan natijah daripada tarbiah Islamiah, satu proses pembangunan insan secara holistik dan bersepadu yang berlainan sama sekali dengan proses pendidikan sains sekular dan moden,’ sambung beliau.

Perbincangan menarik mengenai ucaptama yang disampaikan itu dirancakkan lagi dengan perkongsian bermanfaat daripada Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa, Associates Professor Dr. Nur Jannah Hassan mengenai “Sains Tabi’i Dari Pandangan Semesta Al-Qur’an: Suatu Paradigma Penting dan Perlu dalam Tarbiah” bagi meningkatkan kesedaran para pendidik bahawa sains dan tarbiah saling berkait rapat terutamanya dalam membina generasi pada hari ini.

Kemudian, pada sebelah petang pula, Konsultan Pendidikan IKRAM Musleh, Sheikh Abdul Hamed Eliwa meneruskan lagi sesi pertemuan dengan pengisiannya yang santai dan bersahaja bertajuk “Kepentingan Tarbiyah dan Pembinaan Insan.” Beliau menjelaskan mengenai ciri-ciri yang perlu ada dan diamalkan oleh pendidik dalam mendidik generasi Rabbani yang memiliki sepuluh sifat tarbiah sepertimana yang disenaraikan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Majlis ini merupakan program tahunan IKRAM Musleh dan tema yang dibawakan kali ini ialah Murabbi IKRAM Musleh: Daie, Murabbi, Mujahid. Terdapat pelbagai gerai jualan yang dibuka sepanjang majlis berlangsung antaranya gerai jualan buku-buku tarbiah dari Iman Shoppe, One Syabab, Risalah Harmoni, Ukhuwah Corner Books atau IBooks dan juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta gerai-gerai jualan roti, kekacang dan lain-lain.

Kongsikan...

Bincangkan...