Ekspedisi Gunung Sibayak Warnai LKD17, Program Kepimpinan Belia dan Cabaran Lapangan Berimpak Tinggi

SUMATERA UTARA — Program Latihan Kader Du’at Siri Ke-17 (LKD17) berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan pengisian bermakna, menghimpunkan peserta lepasan SPM terpilih dari rangkaian sekolah Musleh Integrated Education Berhad (MUSLEH) seluruh Malaysia. Program pembangunan kepimpinan belia Islam ini menampilkan gabungan modul tarbiah, latihan daya tahan, serta aktiviti lapangan berimpak tinggi termasuk pendakian Gunung Sibayak di Indonesia.

Dianjurkan oleh Kader Du’at Musleh di bawah naungan IKRAM Muda Malaysia dengan kerjasama Sektor Tarbiah, Centre of Learning Excellence (CLE), MUSLEH, program ini merupakan antara program intensif pembinaan kader muda yang konsisten dianjurkan sejak 2009, khusus bagi membentuk pelapis kepimpinan mahasiswa dan aktivis dakwah masa depan.

Seramai kira-kira 109 peserta terpilih dari 14 buah Sekolah Menengah Islam rangkaian MUSLEH seluruh negara menyertai program tiga minggu ini bermula 17 Januari lalu di Iman D’Semungkis, Selangor bersama barisan fasilitator dan jawatankuasa pelaksana, melalui pelbagai komponen latihan seperti daurah kefahaman sebagai individu Muslim, diskusi halatuju pengajian tinggi, forum tokoh, aktiviti ukhuwah, serta modul ketahanan fizikal dan mental.

Perasmian Pembukaan di Medan Suntik Inspirasi

Pembukaan minggu ke-2 program di Medan telah disempurnakan oleh Ketua IKRAM Muda Malaysia, Saudara Khairul Anuar Kamaruddin, yang menekankan kepentingan membina generasi muda berprinsip, berwawasan dan berjiwa khidmat.

Beliau mengingatkan peserta bahawa kepimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi amanah pembentukan diri dan masyarakat.

Tegasnya, anak muda hari ini perlu dibina untuk memahami tanggungjawab, memiliki disiplin serta berani dalam membuat perubahan dan LKD bertindak sebagai ruang latihan untuk membentuk kekuatan dalaman tersebut.

Pendakian Gunung Sibayak Uji Ketahanan dan Kerjasama Pasukan

Antara pengisian paling mencabar dan mencuri perhatian ialah pendakian Gunung Sibayak, yang turut disertai oleh Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Saudara Mohd Hafiz Abd Hamid bersama para peserta pada 27 Januari lalu.

Aktiviti pendakian yang berakhir sekitar jam 9.00 pagi waktu tempatan itu menjadi platform latihan praktikal kepimpinan lapangan, pengurusan risiko, komunikasi kumpulan serta daya tahan fizikal. Peserta diuji dalam situasi sebenar untuk membuat keputusan, menyokong rakan sepasukan dan mengurus emosi ketika berdepan cabaran.

Pihak penganjur menyifatkan modul ini sebagai pendekatan “experiential learning”; pembelajaran melalui pengalaman sebenar, yang mempercepat proses pembentukan karakter dan jati diri.

Fokus LKD17: Kepimpinan, Tarbiah dan Hala Tuju Sebagai Mahasiswa

LKD17 dirangka khusus sebagai jambatan peralihan daripada alam persekolahan ke alam universiti.

Modul program memberi fokus kepada:

  • Pengukuhan kefahaman Islam yang menyeluruh dan sejahtera
  • Pembinaan jati diri dan disiplin peribadi
  • Kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan
  • Pendedahan awal kehidupan kampus dan aktivisme mahasiswa
  • Pembentukan peribadi qudwah (contoh teladan) dalam masyarakat

Peserta juga didedahkan dengan sesi perkongsian tokoh dan interaksi bersama mahasiswa dari Institusi Pengajian Awam/Swasta (IPTA/IPTS) bagi memberi gambaran realiti serta cabaran sebenar dunia pengajian tinggi.

Majlis Perasmian Penutup

Majlis penutup LKD17 telah dirasmikan pada 7 Februari lalu oleh Pengurus Besar CLE, Dr. Kamaliah Nordin, yang menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan peserta dan komitmen penganjur membina ekosistem latihan kepimpinan belia Islam secara sistematik.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa generasi muda perlu melihat peranan diri melangkaui kejayaan peribadi.

Katanya lagi, ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang LKD ini bukan untuk disimpan, tetapi untuk dimanfaatkan. Kepimpinan sebenar lahir apabila kita memilih untuk memimpin dengan nilai, berkhidmat dengan ikhlas, dan membawa manfaat kepada ummah.

Beliau turut menggesa peserta agar meneruskan momentum tarbiah dan latihan diri secara berterusan apabila melangkah ke alam universiti.

Dalam pada itu, majlis itu yang kembali berlangsung di Iman D’Semungkis, Selangor turut dihadiri Penasihat Kader Duat Musleh (KDM) merangkap Ketua Sektor Tarbiah, CLE, MUSLEH, Dayang Norhayani Amir.

Platform Strategik Lahirkan Pelapis Kepimpinan Muda

Sehingga kini, program Latihan Kader Du’at telah melahirkan ramai alumni yang aktif dalam kepimpinan kampus, kerja sosial dan gerakan dakwah belia. Penganjuran siri ke-17 ini mengukuhkan lagi peranan LKD sebagai platform strategik pembangunan kepimpinan belia Islam berasaskan nilai, ilmu dan amal.

Warga Musleh berharap kesinambungan program ini akan terus menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang berdaya tahan, berfikrah jelas dan bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.

Instagram: @latihankaderduat

BERITA

SERDANG – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2026 pada Sabtu, 20 Jun 2026, sebagai medan

BERITA

SERI KEMBANGAN – MUSLEH merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid sekolah rangkaiannya yang telah mengharumkan nama sekolah dalam Minecraft Education Challenge

BERITA

JOHOR BAHRU – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru mencatat pencapaian cemerlang apabila berjaya mengharumkan nama negara

BERITA

SHAH ALAM – Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang diumumkan sebagai Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) Cemerlang bagi kategori Anugerah

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah Ipoh, salah sebuah sekolah rangkaian Musleh Integrated Education Berhad melakar kejayaan membanggakan apabila dinobat

BERITA

IPOH – Sekolah Rendah Islam I-Musleh menyerlah di pentas pendidikan negara apabila salah seorang pendidiknya, Natasha Faradilla Jamil, diumumkan sebagai