SERI KEMBANGAN – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) telah menganjurkan “Focus Group Discussion (FGD): Revisit Insan Rabbani 2025” bagi menilai semula dan memantapkan kembali kerangka Insan Rabbani Musleh, teras kepada falsafah pendidikan bersepadu yang dilaksanakan dalam rangkaian sekolah Musleh pada Rabu lalu, di sini.
Program yang bermula seawal jam 9 pagi itu menjadi wadah penting bagi menilai kesesuaian dan keberkesanan konsep Insan Rabbani dalam konteks semasa pendidikan Islam, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan terhadap dimensi dan indikator utama agar kekal relevan dengan perubahan sosial, teknologi serta cabaran global.
Pada masa sama, program ini turut menghimpunkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada ahli akademik, pentadbir, guru dan wakil komuniti bagi memperteguh hala tuju pembangunan modal insan berasaskan nilai rabbani.
Dipengerusikan oleh Ketua Sektor Penyelidikan dan Pembangunan MIEB sendiri, Prof. Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali, tiga panelis utama telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan dalam sesi kali ini yang memberi tumpuan kepada aspek falsafah, cabaran pelaksanaan serta penyesuaian nilai rabbani dalam realiti pendidikan kontemporari.
Ahli panel terdiri daripada Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hj. Othman, Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia, Dr. H. Saidul Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Office for Educational Development (MOED), Dr. Alaa Hosni.
Turut hadir dalam perbincangan, beberapa lagi tokoh-tokoh pendidikan termasuk Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Prof. Dr. Nooh Abu Bakar, Dr. Hanizah Hamzah, Ustazah Maznah Daud dan Dr. Khodori Ahmad.
Hadir sama, Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh, Hj. Hasan Hushin, Dr. Kamaliah Noordin, Hj. Khailani Abdul Jalil, Dr. Muhammad Azhar Zailaini, Hj. Che Mazlan Saad, Prof. Dr. Ainol Madziah Zubairi, Prof. Dr. Ismail Ahmad dan Dr. Afriadi Sanusi.
Menurut Prof. Dr. Noor Azlan, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Musleh meneguhkan semula kefahaman dan pelaksanaan pendidikan bersepadu.
“Kerangka Insan Rabbani perlu terus hidup dalam budaya organisasi dan amalan pendidikan, bukan hanya kekal sebagai dokumen falsafah. Kita mahu memastikan nilai-nilai rabbani diterjemah dalam tindakan, sikap dan cara mendidik,” ujarnya.
Selain itu, perbincangan interaktif yang berlangsung kemudiannya membuahkan banyak pandangan bernas dan cadangan strategik, termasuk keperluan memperkukuh dimensi pentaksiran nilai, latihan guru serta penyelarasan kurikulum dengan visi Insan Rabbani yang holistik.
Sesi diakhiri dengan rumusan oleh pengerusi dan penyampaian cenderahati kepada ahli panel. Secara keseluruhannya, sesi perbincangan ini berjaya menjadi medan intelektual yang memugar semula arah pendidikan Musleh dalam memastikan sistem pendidikan bersepadu ini terus melahirkan insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beradab, berjiwa hamba dan berperanan sebagai khalifah di bumi.
