SERI KEMBANGAN, — Keputusan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) 2025 bagi seramai 2,132 calon daripada 34 buah pusat peperiksaan Sekolah Rendah Islam rangkaian Musleh telah diumumkan secara rasmi pada Isnin, 3 November lalu.
Pengumuman yang dibuat bermula jam 11.00 pagi itu disambut dengan penuh keterujaan apabila calon-calon menerima keputusan masing-masing, sebahagiannya diiringi oleh ibu bapa dan guru-guru yang hadir memberikan sokongan.

Secara keseluruhan, sebanyak 34 buah Sekolah Rendah Islam rangkaian Musleh mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.42 bagi SPPIM (SRI) 2025, menunjukkan peningkatan prestasi berbanding 1.47 pada tahun sebelumnya yang melibatkan 35 buah sekolah rendah.
Dalam perkembangan berkaitan, enam daripada lapan subjek menunjukkan peningkatan prestasi pada tahun ini berbanding pencapaian tahun lalu.
Antaranya, subjek Akidah yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 dengan gred purata 1.19 berbanding 1.29 pada tahun sebelumnya dan subjek Hafazan al-Quran yang turut mencatat peningkatan konsisten apabila gred purata bertambah baik sebanyak 0.29 kepada 1.46 berbanding 1.75 pada tahun lalu.
Pada masa sama, subjek Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan gred purata 1.57 pada tahun 2025, berbanding 1.62 pada 2024 dan 1.72 pada 2023, sekali gus menggambarkan kemajuan yang stabil dalam penguasaan ilmu bahasa tersebut dalam kalangan murid.
Turut menunjukkan peningkatan, subjek Fekah dengan gred purata 1.27 pada tahun ini berbanding 1.34 pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, dua subjek yang menunjukkan penurunan yang tidak ketara berbanding pencapaian pada tahun lalu ialah subjek Akhlak dengan gred purata 1.21 tahun ini, berbanding 1.18 pada tahun 2024, dan subjek Sirah dengan penurunan sebanyak 0.01 kepada 1.35 berbanding 1.34 pada tahun sebelumnya.
Selain itu, subjek Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Musleh yang turut menunjukkan peningkatan dengan gred purata 1.11 berbanding 1.17 pada tahun lalu dilihat tidak mengekalkan 100 peratus kelulusan pada tahun ini.
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Guru Besar, guru-guru dan murid Tahun 6 atas pencapaian cemerlang dalam SPPIM (SRI) 2025.
Menurut Ketua Sektor Pentaksiran, Puan Zunaidah Yacob, sejak sekian lama mendukung falsafah pendidikan Musleh, keputusan saban tahun ini bukan sekadar cerminan kepada keupayaan akademik murid, tetapi juga sebagai indikator keberkesanan pendekatan pendidikan bersepadu yang menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan kemahiran hidup.
“SPPIM bukan hanya menilai tahap penguasaan ilmu, tetapi turut melihat sejauh mana nilai dan adab murid terpancar dalam proses pembelajaran. Apapun, kita sama-sama bersyukur dengan peningkatan yang dicatatkan dan berterima kasih kepada semua pendidik yang terus istiqamah membimbing generasi pewaris ummah ini,” ujar beliau.
SPPIM (SRI) merupakan pentaksiran berasaskan sekolah yang dijalankan bagi menilai kemenjadian murid secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, sahsiah, kemahiran dan spiritual.
Pentaksiran ini terdiri daripada peperiksaan bertulis (40 peratus) dan penilaian berterusan (60 peratus) melalui pelbagai bentuk aktiviti seperti kerja kursus, projek, latihan amali, ujian lisan, ujian hafazan serta pentaksiran konstruk murid yang dilaksanakan sepanjang tahun.
