METRA Musleh Jayakan Grand Shooting Zon Utara Sempena Hari Sukan Negara 2025

ALOR SETAR – Program Grand Shooting Pasukan Badan Beruniform Zon Utara anjuran Persatuan Memanah Tradisional Musleh (METRA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Sekretariat Pusat Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh telah berlangsung dengan penuh meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, bersempena dengan Sambutan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Kebangsaan bagi Zon Utara pada 4 Oktober lalu.

Program ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, serta anggota pasukan badan beruniform dari pelbagai sekolah di sekitar Zon Utara. Turut menyerikan acara ialah penyertaan istimewa daripada wakil luar negara, termasuk peserta dari Thailand yang mewakili Assalam Traditional Archery Club.

Sebagai organisasi yang konsisten memperjuangkan warisan sukan tradisional, METRA Musleh berperanan penting dalam memartabatkan memanah tradisional sebagai sukan berteraskan nilai warisan, disiplin, dan spiritual. Melalui program Grand Shooting ini, METRA Musleh berhasrat memperkukuh kefahaman dan kemahiran peserta dalam seni memanah sambil menyemai semangat kesukanan serta perpaduan antara pasukan badan beruniform di peringkat sekolah.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tuan Mohd Khairul Syafiq Azzmi yang hadir mewakili Pengarah JPN Kedah. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada METRA Musleh atas inisiatif menganjurkan program yang mampu menarik minat pelajar terhadap sukan tradisional sambil membentuk sahsiah positif dan semangat berpasukan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penolong Pegawai PPD Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar, Rosidi Abd Razak, Presiden Assalam Traditional Archery Club Thailand, Mr. Khaled Hayisa-e, Pengerusi Sekretariat Pusat KRS Musleh merangkap Penasihat METRA, Lt. Kolonel KRS Abd Rahaim Md Isa serta Pengerusi METRA Musleh, Ustaz Kamaruzaman Che Ya.

Menurut Ustaz Kamaruzaman, penganjuran Grand Shooting ini bukan sahaja menjadi wadah memperkasa kemahiran memanah tradisional dalam kalangan pelajar, malah turut mendidik mereka tentang nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti fokus, ketenangan dan keikhlasan dalam setiap perbuatan. Beliau turut menegaskan bahawa semangat kesukanan dan disiplin yang diterapkan melalui aktiviti sebegini seharusnya menjadi asas dalam membentuk generasi muda yang berjiwa kuat, berakhlak dan berwawasan.

Dalam pada itu, Tuan Mohd Khairul Syafiq Azzmi turut menyatakan harapan agar Grand Shooting Pasukan Badan Beruniform ini dijadikan program tahunan yang diteruskan dengan kerjasama strategik antara METRA Musleh dan JPN Kedah, bagi memperluas penyertaan serta memberi peluang kepada lebih ramai pelajar mendalami seni memanah tradisional.

Kejayaan penganjuran Grand Shooting Pasukan Badan Beruniform Zon Utara ini jelas membuktikan komitmen METRA Musleh dalam mengangkat martabat sukan warisan bangsa sebagai wadah pembangunan sahsiah dan jati diri generasi muda. Semoga usaha ini terus mendapat sokongan semua pihak dalam merealisasikan impian melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek melalui seni sukan tradisional yang penuh nilai dan makna.

BERITA

KUALA LUMPUR – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan ucapan tahniah kepada Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Riyadatul A’mal, Kuala

BERITA

SUNGAI PETANI – Seramai 21 orang guru dari institusi pendidikan, rendah dan menengah dalam rangkaian Musleh di zon utara diraikan

BERITA

KLANG – Alhamdulillah, Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ (SMITQ Hira’) melakar kejayaan membanggakan apabila pasukan Maryam

BERITA

SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru agar perbincangan mengenai keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 tidak

BERITA

KULIM – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah Sg. Petani, Muhammad Syahmi Mohd Zaki dan Yusuf Fansuri Mohammad Hafiz,

BERITA

SITIAWAN – Seramai 50 pegawai Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh menerima pentauliahan pangkat Leftenan Muda KRS Musleh selepas menamatkan Kursus