HULU LANGAT – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) melalui Sektor Tarbiah, Centre of Learning Excellence telah menganjurkan Program Daurah Tingkatan 3 pada 29 November hingga 1 Disember lalu bertempat di Kem Latihan dan Rekreasi Sungai Congkak di sini.
Program ini dirangka dan dijalankan secara tahunan sebagai salah satu inisiatif utama dalam melahirkan kepimpinan pelajar berteraskan tarbiah dan nilai rabbani, selaras dengan pendekatan pendidikan holistik yang diamalkan oleh rangkaian sekolah Musleh.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Hal Ehwal Mahasiswa (HEMA) Seremban merangkap Penolong Setiausaha IKRAM Negeri Sembilan, Akhma Azizi.
Dalam ucapannya, beliau menggariskan kepentingan kesinambungan proses tarbiah sebagai asas dalam pembentukan kepimpinan pelajar yang berwibawa. Beliau turut menekankan bahawa budaya dakwah dan akhlak yang mantap merupakan ciri utama yang perlu disemai dalam diri murabbi pelajar bagi membolehkan mereka memimpin komuniti sekolah secara berkesan.
Program berkenaan menghimpunkan wakil pelajar Tingkatan 3 dari 11 buah sekolah menengah rangkaian Musleh seluruh Malaysia berbanding keseluruhan 20 buah sekolah seperti yang dijadualkan akibat faktor cuaca buruk. Kehadiran Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru seramai 24 orang pelajar menjadikan delegasi tersebut antara kumpulan penyertaan terbesar pada penganjuran kali ini.
Perhimpunan ini turut menjadi platform interaksi antara murid dari pelbagai daerah dan latar sekolah, sekali gus memperkukuhkan jaringan ukhuwwah serta kerjasama antara bakal pemimpin pelajar sekolah-sekolah rangkaian Musleh.
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta mengikuti siri pengisian yang dirangka secara strategik merangkumi aspek kerohanian, pembinaan gaya fikir, pembangunan karakter dan latihan kepimpinan.
Sesi forum alumni menampilkan para alumni jemputan dengan tajuk “Suara Dari Harapan” manakala sesi wacana utama telah disampaikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, Mohd Hafiz Abd Hamid. Melalui pelbagai sudut pandang, para peserta telah diberikan pencerahan mengenai keperluan mengurus diri sebagai murabbi, mengekalkan disiplin rohani, berinteraksi dengan penuh adab serta memahami peranan kepimpinan dalam konteks dakwah di sekolah.
Selain itu, peserta turut terlibat dalam Misi Kembara yang bertujuan mengasah kemahiran membuat keputusan, keupayaan berkomunikasi, serta kemampuan bekerjasama dalam situasi yang mencabar. Melalui pengalaman ini, peserta didedahkan kepada realiti kepimpinan yang memerlukan daya tahan, perancangan rapi dan kebolehan menilai keadaan secara menyeluruh.
Pada hari terakhir program, para peserta telah sepakat dalam merumuskan resolusi sebagai komitmen bersama selepas program.
Resolusi tersebut antara lainnya menekankan pemerkasaan aspek rohani, pengukuhan hubungan kekeluargaan serta penjagaan adab dalam komuniti sekolah.
Turut hadir sepanjang program, Ketua Sektor Tarbiah, Centre of Learning Excellence, Dayang Norhayani Amir.
Secara keseluruhan, Daurah Tingkatan 3 Musleh 2025 menjadi wadah penting dalam mempersiapkan generasi murabbi pelajar yang lebih mantap dari segi pemikiran, disiplin dan akhlak.
Dengan tema “Langkah Bermula”, program ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan kepimpinan pelajar Musleh yang bukan sahaja cemerlang dari sudut sahsiah dan rohani, tetapi turut berupaya menggalas tanggungjawab memimpin dan mengemban beban dakwah di sekolah dan komuniti dengan penuh amanah dan integriti.
