Sambutan Luar Biasa Penyertaan 7th International Eco Nature Run 2023

SERDANG – Memasuki kali ke-7 penganjurannya, International Eco Nature Run (IENR) telah berlangsung meriah dengan kehadiran seramai 2600 peserta dari seluruh negara di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), pada Sabtu.

Selain diadakan secara bersemuka dengan cabaran larian sejauh 6km, acara tersebut turut diadakan secara maya bermula 15 Ogos lalu dan dijadualkan akan berakhir pada 30 September depan, lewat dua minggu dari tarikh asal kerana sambutan penyertaan yang luar biasa bagi kategori itu, iaitu telah mencecah sebanyak 40 ribu penyertaan.

Sementara itu, seiring dengan kemeriahan sambutan Hari Malaysia ke-60 yang jatuh pada hari sama, IENR2023 yang dianjurkan oleh Sektor Kokurikulum, Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) dan Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRS Musleh) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Syamsul Tahrin Mohd Tahir mewakili Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh Tseow Suan.

Para peserta yang datang dari segenap pelusuk tanah air, juga dari negara Thailand dan Indonesia, mula membanjiri sekitar kawasan pintu pelepasan larian seawal jam 6 pagi sementara para peserta yang beragama Islam tiba lebih awal untuk bersiap menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Mereka kemudiannya berkumpul untuk mendengar taklimat acara pada jam 7 pagi dan membuat persediaan regangan badan sebelum para peserta dilepaskan secara berperingkat pada jam 7.30 pagi oleh wakil YB Menteri Belia dan Sukan, Syamsul Tahrin mengikut kategori acara larian yang dipertandingkan iaitu sebanyak 12 kategori.

10 pemenang terbaik bagi setiap kategori membawa pulang pingat dan sijil penyertaan serta cenderamata manakala peserta yang lainnya menerima sijil penyertaan.

Mengulas mengenai tema larian tahun ini, Pengarah IENR 2023, Kapten KRSM Rofazlin Jusoh berkata, penganjur masih mengekalkan tema “Back to Nature” yang berkonsepkan membawa peserta melihat kehijauan alam dengan larian di dalam taman.

“Acara ini diadakan untuk memberi peluang kepada semua murid sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyertai program larian di peringkat antarabangsa bagi memenuhi salah satu aspek kemenjadian murid dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” ujarnya.

Tambahnya lagi, penganjur turut berhasrat memupuk budaya gaya hidup sihat, semangat keberanian, membina keyakinan diri dan daya saing murid di peringkat nasional dan antarabangsa selain merapatkan hubungan antara murid, pelajar dan warga pendidik dari dalam dan luar negara melalui jaringan sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi dan orang awam.

Dalam perkembangan sama, acara tersebut turut menawarkan hadiah menarik untuk cabutan bertuah kepada para peserta dengan motosikal model Modenas sebagai hadiah utama cabutan dan lain-lain hadiah bernilai hampir RM10, 000 keseluruhan. Hadiah cabutan bertuah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Sektor Kokurikulum, MIEB merangkap Pengerusi KRS Musleh, Mejar KRSM Abd Rahaim Md Isa selepas tamat acara larian kira-kira jam 9.30 pagi.

Selain itu, pihak penganjur turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, International Center for Educational Excellence (ICEE), Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM), Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT) Indonesia, Assalam Smart School Association (ASSA) Thailand, Majlis Jurulatih KRS Musleh dan Persatuan Alumni KRS IKRAM Musleh (PAKIM).

Turut dirakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Polis Diraja Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Larian Antarabangsa Eco Nature atau “International Eco Nature Run” ini merupakan program tahunan anjuran Sektor Kokurikulum, Musleh Integrated Education Berhad dan Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRS MUSLEH) untuk kali ke-7. Kali pertama acara ini dianjurkan ialah pada tahun 2017 dan seterusnya 2018 dan 2019 di Putrajaya. Pada tahun 2020 sehingga 2022, pihak penganjur mengambil inisiatif melaksanakannya dalam bentuk “Virtual Run” lantaran wabak COVID-19 yang melanda dunia sebelum meneruskannya untuk tahun 2023 dengan mewujudkan kedua-dua jenis larian.

Kongsikan...

Bincangkan...