Perutusan: Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH

Perutusan: Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
16hb Mei 2023
“Guru Rahmah Pemangkin Generasi Rabbani”

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini.  Tahun ini kita menyambut Hari Murabbi dalam suasana penuh kesyukuran kerana kita baharu sahaja melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Kita juga seharusnya bersyukur kerana diberi peluang menyempurnakan amanah kita sebagai pendidik sepanjang tahun lepas hingga kini.  Selamat Hari Murabbi saya ucapkan kepada semua pendidik warga IKRAM Musleh.

Para murabbi yang saya muliakan,

Kita juga amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982, bukan sahaja telah menjadi lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan institusi pendidikan IKRAM (IPI) mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan institusi pendidikan tersohor di persada dunia pendidikan negara kita. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan Jazakumullah Khairal Jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para muallimin dan muallimat, para pendidik, para murabbi murabbiah, yang telah bertungkus lumus serta berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini. Moga-moga Allah SWT melimpahkan sebaik-baik ganjaran kepada para murabbi. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

Para murabbi yang dikasihi,

Allah SWT berfirman:”Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya supaya kamu diberi rahmat”. (surah Aali Imran, ayat 132)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah & seluruh Malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. (HR Imam Al Tirmizi)

Sesungguhnya siapakah di antara kita yang tidak mendambakan rahmah Allah SWT dalam kehidupannya? Ya, untuk mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini kita sangat memerlukan hidayah dan rahmah Allah SWT. Namun ada syarat untuk mendapat rahmat Allah SWT ini, antaranya ialah mentaati Allah SWT dan RasulNya dan mengajar kebaikan. Oleh itu, usaha gigih perlu dilakukan secara berterusan agar kita para Murabbi menjadi mereka yang taat dan bertaqwa serta mencorak segenap kehidupan kita berlandaskan Al Quran dan As-Sunnah. Kita berharap suasana dan naungan rahmah mencakupi setiap aspek kehidupan kita. Dengan ini, bukan sahaja kehidupan kita dan keluarga akan bertambah sejahtera, tetapi juga akan membuka laluan yang mudah untuk membangunkan murid-murid rabbaniyun.

Para murabbi yang diraikan,

Rasulullah SAW dan Islam adalah merupakan rahmah untuk seluruh alam. Maka kita wajib menegakkan Islam sebagai satu cara hidup rahmah yang dapat dilihat dan dirasai oleh setiap golongan ciptaan Allah SWT, baik dalam kalangan manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Dalam konteks ini, IKRAM Musleh berusaha membangunkan sistem berkonsepkan Sekolah Rahmah. Sistem Pendidikan yang merangkumi aspek-aspek kurikulum, instruction (kaedah dan teknik pengajaran, pembelajaran dan pentarbiahan), pentaksiran dan pengurusan ini, hanya boleh dijayakan dengan cemerlang jika ia mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak.

Di antara tunjang utama bagi membina dan melahirkan Insan Rabbani dan bagi mewujudkan konsep Sekolah Rahmah, ialah para murabbi, iaitu murabbi yang bersifat dan berjiwa rahmah. Para murabbi perlu melaksanakan proses pentarbiahan dengan penuh rahmah dan membangunkan sepenuhnya segala potensi anak didik.

Proses pentarbiahan akan membina jati diri anak didik, membina keimanan dan ketaqwaan, sifat taqarrub ilallah, budaya-budaya berdoa, bertaubat dan memohon keampunan Allah serta tazkiyatun nafs. Proses membangunkan sepenuhnya potensi anak didik pula akan menjadikan mereka mampu berperanan dengan berkesan dalam keluarga, masyarakat, negara, ummah dan manusia sejagat. Para ibu bapa mentarbiah anak-anak mereka di rumah. Para murabbi pula memainkan peranan mentarbiah anak-anak didik di sekolah.

Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Surah Al-Ankabuut: 69)

Terapkan sifat mujahadah fi sabilillah dalam diri anak didik. Semoga Allah SWT akan bersama mereka dan mengurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat. Guru rahmah, berilah kepada anak-anak didikmu ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat dan boleh dimanfaatkan, agar ilmu dan kemahiran tersebut dapat disebarluaskan kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Guru rahmah, tanamkan dalam diri anak didikmu adab dan akhlak sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  Ajarlah mereka beradab dengan semua, menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang muda.

Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami.”  (Hadis riwayat Ahmad) 

Budayakan dalam diri anak didik agar membalas amal kebajikan orang lain dengan amal kebajikan juga walaupun sekadar berdoa untuk orang berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ummah memerlukan generasi yang menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah serta berakhlak mulia, yang akhirnya membawa kepada rahmatan lil ‘alamin kepada semua.

Marilah kita berdoa mudah-mudahan kita akan terus bersemangat memainkan peranan besar dalam membangunkan sistem pendidikan Islam, melahirkan generasi rabbani seterusnya memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah. Semoga Allah SWT memberkati dan meredai apa jua usaha para pendidik kita, baik di sekolah mahupun di dalam masyarakat.

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH 2023.

Guru Rahmah Pemangkin Generasi Rabbani

Jazakumullahu khairal jaza’

Profesor Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kongsikan...

Bincangkan...