Perutusan: Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH

Perutusan: Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
16hb Mei 2022
“Guru Tunjang Sekolah Rahmah”

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد،

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya SWT – amiin.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah diberi peluang menyambut Hari Murabbi IKRAM Musleh 2022 walaupun dalam keadaan berjaga-jaga kerana COVID-19 masih melanda tanah air kini.

Kita juga amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982, bukan sahaja telah menjadi lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan institusi pendidikan IKRAM (IPI) mampu bersaing dengan institusi pendidikan tersohor peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan  Jazakumullah Khairal Jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para muallimin dan muallimat, para pendidik,  para murabbi murabbiah, yang telah bertungkus lumus serta berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini. Moga-moga Allah SWT mengurniakan ke atas para murabbi ganjaran yang setimpalnya. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

Para murabbi yang dikasihi,

Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al Anbiyaa’: Ayat 107)

Oleh itu, usaha gigih perlu dilakukan secara berterusan agar suasana rahmah mencakupi setiap aspek kehidupan dan dengan itu memudahkan pembangunan insan yang mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Dalam sistem Pendidikan IKRAM Musleh, konsep Sekolah Rahmah perlu dihidupkan, bertujuan membina dan melahirkan Insan Rabbani. Sistem Pendidikan yang merangkumi aspek-aspek kurikulum, instruction (kaedah dan teknik pengajaran, pembelajaran dan pentarbiahan), pentaksiran dan pengurusan, hanya boleh dijayakan dengan cemerlang jika ia mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak.

Insan Rabbani yang ingin dibangunkan oleh IKRAM Musleh memiliki 11 konstruk seperti berikut:

  1. jasmani yang cergas,
  2. rohani yang teguh,
  3. qalbu yang sejahtera,
  4. akidah yang benar,
  5. ibadah yang betul,
  6. akhlak yang mulia,
  7. pengetahuan yang luas dan kefahaman yang mendalam,
  8. hikmah yang ketara,
  9. pengurusan dan kepimpinan yang berwibawa,
  10. dakwah yang istiqamah dan
  11. rahmatan lil ‘alamin.

Manakala konsep Sekolah Rahmah yang ingin dibangunkan oleh IKRAM Musleh memiliki  empat nilai asas iaitu:

  1. keadilan (al-adaalah) dan kesaksamaan,
  2. saling menghormati,
  3. menghargai kepelbagaian manusia dan budaya
  4. peluang yang samarata.

Di antara tunjang utama bagi membina dan melahirkan Insan Rabbani dan bagi mewujudkan konsep Sekolah Rahmah ialah para murabbi.

Para murabbi perlu melaksanakan proses pentarbiahan dengan penuh rahmah dan membangunkan sepenuhnya segala potensi anak didik.

Proses pentarbiahan akan membina dalam diri anak didik keimanan dan ketaqwaan, sifat taqarrub ilallah, budaya-budaya berdoa, bertaubat dan memohon keampunan Allah serta tazkiyatun nafs. Proses membangunkan sepenuhnya potensi anak didik pula akan menjadikan mereka mampu berperanan dengan berkesan dalam keluarga, masyarakat, negara, ummah dan manusia sejagat.

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi”. (Hadis riwayat Bukhari)

Para ibu bapa mentarbiah anak mereka di rumah. Para murabbi pula memainkan peranan mentarbiah anak didik di sekolah.

Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Surah Al-Ankabuut: 69)

Terapkan sifat mujahadah fi sabilillah dalam diri anak didik. Allah SWT akan bersama mereka dan akan mengurniakan mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Berilah kepada anak didik ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat kerana ilmu dan kemahiran itu akan disebarluaskan dan dimanfaatkan olehnya kepada orang lain. Dan jangan sekali-kali memberi ilmu dan kemahiran yang munkar kerana ia juga akan disebarluaskan dan diamalkan olehnya kepada orang lain.

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami.”  (Hadis riwayat Ahmad) 

Tanamkan dalam diri anak didik adab dan akhlak sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  Ajarlah mereka beradab dengan semua – misalnya dengan orang yang lebih muda, orang yang lebih tua dan alim ulama.

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Budayakan dalam diri anak didik agar membalas amal kebajikan orang lain dengan amal kebajikan; walaupun sekadar berdoa untuk orang berkenaan.

Ummah memerlukan generasi yang menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah, akhlak mulia yang akhirnya membawa kepada rahmatan lil ‘alamin kepada semua.

Mudah-mudahan kita akan terus berkobar-kobar semangatnya, memainkan peranan besar dalam membangunkan sistem pendidikan Islam, melahirkan generasi rabbani seterusnya memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah.

Semoga Allah SWT memberkati dan meredai usaha-usaha para pendidik semua, baik di sekolah mahupun dalam masyarakat.

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH 2022.

Jazakumullahu khairal jaza’
Profesor Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kongsikan...

Bincangkan...