SERI KEMBANGAN – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) menerima kunjungan akademik daripada wakil Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) dan institusi pendidikan dari Batam, Indonesia semalam, di sini.
Kunjungan berkenaan antara lainnya adalah bagi pihak delegasi mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang sistem pendidikan Musleh serta pelaksanaannya dalam konteks pendidikan akademik dan agama di Malaysia.
Berlangsung pada jam 10.30 pagi, kunjungan itu disertai oleh Muhammad Faizal A. Ghani dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya serta Profesor Dr. Albert Efendi Pohan, Penyelaras Program Pengurusan Pendidikan, Universitas Riau Kepulauan merangkap Pengarah Pondok Pesantren An Ni’mah, Batam, Indonesia.
Pihak MIEB diwakili oleh Pengurus Besar, Dr. Noor Liyana Mohd Nor dan Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor serta Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kurikulum, Centre for Learning Excellence, Rohida Jamaludin.
Antara aspek yang menjadi tumpuan termasuk pendekatan integrasi pendidikan Islam dengan kurikulum akademik arus perdana, pengurusan kurikulum, pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pembangunan sahsiah murid.

Selain itu, kunjungan ini turut membuka ruang perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan Islam antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dari aspek pengurusan institusi pendidikan dan pelaksanaan kurikulum.
Menerusi kunjungan ini, delegasi berpeluang mendapatkan gambaran lebih jelas tentang pendekatan pendidikan Musleh, manakala perkongsian yang berlangsung diharapkan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak serta membuka ruang kepada pengukuhan jaringan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
