Orhan Ghazi Juarai Universal Robotic Challenge Malaysia 2022

Gombak – Orhan Ghazi Hafizulfahmi, 14, dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak (SMIAAG), di sini, mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan apabila muncul sebagai juara dalam pertandingan Universal Robotic Challenge Malaysia 2022 (URC2022) bagi kategori Senior 13-16 tahun. Turut memenangi 2nd runner up bagi kategori sama, Muhammad Mohammad Yassir, 14 dari SMIAAG sementara 1st runner up dimenangi oleh Mandy Lee En Ting dari SMK Bintulu, Sarawak.

Kemenangan itu membolehkan Orhan yang merupakan anak didik guru dan juga mentor, Farah Hanani Mohamed Shah membawa pulang plak kemenangan, sijil penyertaan dan satu set robotik ArtecRobo manakala Muhammad membawa pulang plak kemenangan, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

“Seluruh pasukan robotik sekolah dan pihak sekolah tentunya, sangat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang telah diraih dan berharap dapat mara ke peringkat antarabangsa mewakili negara yang dijangka akan berlangsung pada September nanti,” ujar Farah Hanani yang juga merupakan guru reka bentuk dan teknologi di SMIAAG.

Menurut beliau lagi, URC2022 kali ini mempertandingkan dua divisyen secara dalam talian iaitu Idea Challenge dan Robotic Game Challenge. Bagi divisyen Idea Challenge, para peserta perlu menggunakan set robotik ArtecRobo manakala bagi divisyen Robotic Game Challenge, tidak melibatkan penggunaan set teknologi robotik secara fizikal.

“Orhan dan Muhammad menyertai divisyen ke-2 yang dipertandingkan iaitu Robotic Game Challenge yang mana peserta dikehendaki untuk melakukan pengaturcaraan robotik menggunakan perisian di platform ArtecRobo dan perlu melepasi halangan dan menyelesaikan 20 tugasan bermula daripada tahap mudah (easy) hingga ke tahap sukar (advance) bertemakan konsep pemanduan selamat (Driving Safely). Halangan dan tugasan tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh 120 minit dan peserta dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan tugasan yang dapat disiapkan, kecepatan masa dan keselamatan,” jelas beliau.

URC2022 yang telah memasuki tahun ke-4 penganjurannya itu dikendalikan oleh Tech Up dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGKT) Nilai dan telah disertai oleh pelajar sekolah rendah dan menengah berusia 9-16 tahun dari seluruh negara. Pendaftaran pertandingan telah dibuka pada 25 April yang lalu dan ditutup pada 10 Jun.

Di samping itu, pertandingan yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian tersebut menyaksikan 60 peserta mara sebagai finalis bagi kategori Senior 13-16 tahun dan 81 finalis bagi kategori Junior 9-12 tahun sebelum keputusan pemenang pertandingan diumumkan di laman facebook rasmi Tech Up semalam. Turut tersenarai dalam 81 finalis bagi kategori Junior 9-12 tahun, Mi’mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak dan Nur Hannah Aleesya Ainuddin dari Sekolah Rendah Islam Hira’ Klang.

URC ialah pertandingan robotik antarabangsa untuk pelajar sekolah rendah dan menengah. Pertandingan ini dianjurkan bagi membolehkan mana-mana pelajar bersaing tanpa mengira tahap kemahiran, memperdalam minat kanak-kanak dalam robotik dan teknologi sambil mereka berkongsi pengetahuan dan berusaha menyahut cabaran.

Kongsikan...

Bincangkan...