IQRA: Sistem Pentaksiran Menilai Kemenjadian Murid

Seri Kembangan – IKRAM Musleh melalui Bahagian Penyelidikan dan Pembangunannya (R&D) yang diketuai oleh Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali telah membangunkan sebuah program pentaksiran antarabangsa yang dinamakan International Quality Range Assessment atau disebut sebagai IQRA.

“Kami percaya bahawa keputusan peperiksaan ialah penunjuk kepada output pendidikan tetapi bukan hasil kepada sistem pendidikan. Hasil sistem pendidikan sangat berkait rapat dengan kemenjadian murid-murid itu sendiri. Siapa yang mereka jadi ialah hasil daripada pendidikan. Apa yang mereka capai dalam peperiksaan dan gred yang diperoleh itu pula ialah penunjuk kepada output pendidikan. Jadi tumpuan tidak harus terhenti pada gred yang murid dapat tetapi juga jenis manusia yang bagaimana mereka akan jadi,” Ketua Projek IQRA, Dr. Khodori Ahmad berkata demikian dalam sebuah program Islamic Education Talk Series (IETS) yang bertajuk “International Quality Range Assessment (IQRA): The Holistic and Integrated Assessment for Insan Rabbani” yang dianjurkan oleh International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dengan kerjasama IKRAM Musleh semalam.

Beliau menjelaskan bahawa sisi kemenjadian murid ini merupakan suatu aspek yang sangat penting dalam pendidikan namun sering diabaikan atau dilupakan kerana fokusnya lebih terarah kepada gred atau keputusan peperiksaan murid-murid.

“Kita lupa bahawa kemenjadian murid merupakan hasil akhir yang ingin kita peroleh daripada pendidikan. Cuma persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan kemenjadian dan apakah ciri-ciri kemenjadian murid? Maka atas sebab itu, sekumpulan pakar dari Bahagian R&D IKRAM Musleh, bekerjasama dengan pakar pentaksiran pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Lembaga Peperiksaan Malaysia telah memulakan projek IQRA ini pada 2017 untuk mereka bentuk penerangan tentang prestasi kebolehan anak-anak kita sebagai manusia dalam perjalanan pendidikan mereka,” lanjut beliau.

Dr. Khodori yang juga merupakan Presiden Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (GaPIM) itu turut menjelaskan bahawa IQRA dibina dan disediakan sebagai sebuah sistem pentaksiran yang menyeluruh dan bersepadu untuk menilai hasil kemenjadian murid dalam pendidikan Islam.

“Program IQRA ini unik kerana ia membangunkan item pentaksiran yang tidak dikaitkan secara langsung dengan kurikulum sekolah. Item tersebut direka bentuk untuk mentaksir sejauh mana murid pada akhir pendidikan, telah mencapai hasil pendidikan yang diingini dari segi mengaplikasikan pengetahuan mereka kepada situasi kehidupan sebenar dan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik dalam masyarakat,” jelasnya.

IQRA yang kini telah memasuki fasa kedua penyelidikannya ialah suatu bentuk tinjauan yang berterusan. Negara yang mengambil bahagian dalam tinjauan boleh membandingkan prestasi murid mereka, dalam bentuk grafik dari semasa ke semasa dan menilai kesannya ke atas polisi pendidikan sesebuah negara. Pada fasa pertama kajian, seramai 904 orang murid mengambil bahagian dalam tinjauan dan penemuannya dilaporkan dalam International Association for Educational Assessment Conference ke-43 pada tahun 2017 di Batumi, Georgia.

BERITA

KULIM – Dua murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Islah Sg. Petani, Muhammad Syahmi Mohd Zaki dan Yusuf Fansuri Mohammad Hafiz,

BERITA

SITIAWAN – Seramai 50 pegawai Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh menerima pentauliahan pangkat Leftenan Muda KRS Musleh selepas menamatkan Kursus

BERITA

KUALA TERENGGANU – Alhamdulillah, Guru Besar Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Kerteh, salah sebuah sekolah rendah dalam rangkaian MIEB, Puan

BERITA

SINTOK – Sekolah Rendah Islam (SRI) Hidayah Johor Bahru, salah sebuah sekolah rendah dalam rangkaian Musleh Integrated Education Berhad (MUSLEH),

BERITA

MELAKA – Sekolah Rendah Islam (SRI) I-Musleh, salah sebuah sekolah rendah Islam rangkaian MUSLEH, terus mengukir pencapaian membanggakan apabila menerima

BERITA

SUBANG JAYA – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah Johor Bahru melalui pasukan robotiknya, GUIDANCE, berjaya meraih Johan Grand Sumo Rumble