Skudai – “Budaya perkongsian dan pembelajaran melalui orang lain masih lagi kurang berlaku dan mungkin tidak wujud sesama pemimpin pelajar di sekolah. Maka, melalui penganjuran program yang mengumpulkan barisan pemimpin pelajar ini, pihak penganjur berharap ia akan berpotensi menjadi titik tolak kepada budaya perkongsian yang baik dalam kalangan mereka selain sebagai satu usaha mensinergikan gerak kerja kepimpinan pelajar di sekolah dalam menjayakan visi dan misi sekolah,” ujar Pengarah Program Nadwah Kepimpinan Pelajar Musleh 2022, Abdullah Mus’ab Mohd Aizaini mengenai objektif program berkenaan yang telah diadakan pada 15 hingga 17 Julai yang lalu di sini.
Dengan tema “Qiyadah Qudwah, Ummah Mutamakkinah” yang bermaksud Kepimpinan Contoh, Ummah Cemerlang, program yang dianjurkan oleh Bahagian Tarbiah IKRAM Musleh tersebut telah mengumpulkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin pelajar tingkatan 4 dari sekolah-sekolah menengah rangkaian IKRAM Musleh dari seluruh negara yang berpotensi menjadi pemimpin pelajar dalam pelbagai unit, kelab, persatuan dan badan-badan kepimpinan pada tahun hadapan di sekolah masing-masing.
Abdullah Mus’ab yang juga bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru itu turut berkata bahawa barisan pemimpin pelajar perlu mempunyai kefahaman yang betul, motivasi dan kesedaran supaya memiliki momentum beraksi sebagai pemimpin melalui jawatan yang telah diamanahkan dengan sebaiknya.
“Sinergi yang terbina dalam semua badan kepimpinan di sekolah diharapkan dapat melahirkan impak yang besar buat warga sekolah seiring dengan kefahaman, tindakan, koordinasi dan kerjasama yang jitu. Moga-moga kepimpinan yang baik ini akan melahirkan warga sekolah yang baik juga,” lanjutnya.
Selain itu, program 3 hari 2 malam itu turut menyediakan pelbagai bentuk pengisian dan aktiviti menarik kepada para peserta seperti slot diskusi dan pembentangan, latihan dalam kumpulan, pelatihan kemahiran memimpin dan kemahiran merancang, slot perkongsian dan tidak ketinggalan juga aktiviti sukan dan riadah.
Program telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dalam majlis penutupannya Ahad lalu yang telah berlangsung di Dewan P19, Universiti Teknologi Malaysia. Turut hadir, Pengerusi JK Pendidikan IKRAM Negeri Johor, Prof. Madya Dr. Mohamed Ruslan Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SMI Hidayah, Johor Bahru, Hj. Hassan Hushin.
Program Nadwah Kepemimpinan Pelajar ini merupakan salah satu program pelatihan kepimpinan bagi para pelajar sekolah-sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH dalam usaha untuk mempersiap dan menyediakan barisan kepimpinan pelajar di sekolah yang berketerampilan, amanah dan berdedikasi. Potensi yang ada dalam diri peserta akan dikembangkan sama ada daripada sudut minda, rohani, emosi dan fizikal.