DEC4IR 2022 Buka Peluang Pelajar Teroka Teknologi Dron

Seri Kembangan – Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Hidayah, Ipoh dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Gombak, masing-masing diumumkan sebagai juara bagi kategori Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah untuk kluster IKRAM Musleh Malaysia dalam Pertandingan Drone Edu Challenge IR 4.0 2022 (DEC4IR) yang telah berlangsung sejak Julai hingga November lalu selepas berjaya melepasi saringan awal DEC4IR dan tersenarai sebagai finalis di peringkat kebangsaan.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sebagai tuan rumah. DEC4IR yang menyaksikan penyertaan dari sekolah-sekolah KPM di Semenanjung dan Sabah Sarawak, sekolah-sekolah rangkaian IKRAM Musleh serta sekolah-sekolah swasta yang lain telah melabuhkan tirainya pada 1 Disember lalu selepas keputusan saringan akhir pertandingan dimuktamadkan dan diumumkan melalui laman rasmi youtube Drone Edu Challenge IR 4.0.

Pertandingan yang telah dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya tanpa perjumpaan fizikal tersebut merangkumi program pembelajaran dan pertandingan mengenai teknologi dron dan teknologi revolusi ke-4. Melalui pertandingan ini juga, pelbagai aktiviti telah disusun dan dilaksanakan seperti pembelajaran mengenai anatomi dron, penyelesaian masalah menggunakan dron, pengendalian dan juga penerbangan automasi hasil kod yang dibina sendiri.

Selain itu, siri penilaian berbentuk aktiviti kuiz atau tugasan dan sesi temu bual bersama panel pakar dari industri dan akademik turut diadakan secara bersiri sepanjang pertandingan berlangsung.

Wakil dari SRI Al-Amin Gombak.
Sumber: FB SRIAAG

SMI Al-Hidayah Ipoh diwakili oleh Muhammad Aqil Zaizarul Shawari dan Muhammad Aaqil Mohd Zaffri daripada kumpulan Ace Intelligence manakala SRI Al-Amin Gombak pula diwakili oleh Abdul Hazim Abdul Hanif dan Eyad Ilyas dan Ery Idzwan daripada kumpulan SAS_01. Masing-masing berjaya memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM1000 dan set lengkap dron.

Dalam perkembangan sama, tempat kedua bagi kategori Sekolah Menengah untuk kluster IKRAM Musleh Malaysia telah dimenangi oleh SMI Hira’ Jeram manakala SMI Hidayah Johor Bahru menduduki tempat ketiga. Bagi kategori Sekolah Rendah, tempat kedua dimenangi oleh SRI i-Musleh Melaka diikuti oleh SRI Hidayah Johor Bahru di tempat ketiga dan para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dan set lengkap dron.

Sementara itu, untuk kluster KPM, SMK St. Joseph Papar dinobatkan sebagai juara bagi kategori Menengah Atas manakala Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu pula menjuarai kategori Menengah Rendah. Bagi kategori Sekolah Rendah Tahap 2, SK Jengka Pusat 2 muncul sebagai juara manakala SK Taman Megah Ria Johor pula memenangi tempat pertama bagi kategori Sekolah Rendah Tahap 1.

Tidak ketinggalan juga, DEC4IR turut menyediakan penyertaan bagi kategori Pendidikan Khas untuk kluster KPM yang telah dimenangi oleh pasukan dari SMK Kangkar Pulai Johor (kategori Sekolah Menengah) dan SK Taman Perling, Johor (kategori Sekolah Rendah) serta kategori Home School untuk kluster Swasta (Menengah dan Rendah) yang telah dijuarai oleh pasangan adik beradik Aisyah Sumayyah Fauzan Khairi dan Muhammad Haris Zafran Fauzan Khairi.

Terdahulu, untuk kluster IKRAM Musleh Malaysia, bagi kategori Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah, enam pasukan dari SMI Hidayah Johor Bahru, dua pasukan dari SMI Hira’ Jeram, satu pasukan dari SMI Al-Hidayah, Ipoh dan SMI Al-Azhar Jitra manakala tiga pasukan dari SRI Al-Azhar Jitra, dua pasukan dari SRI Al-Amin Gombak dan SRI Al-Amin Nilai, satu pasukan dari SRI Al-Amin Kuala Terengganu, SRI i-Musleh Melaka dan SRI Hidayah Johor Bahru telah berjaya melepasi saringan awal DEC4IR yang diumumkan pada 6 September lalu sebelum melayakkan diri ke peringkat kebangsaan untuk saringan akhir.

Tahniah kepada semua peserta DEC4IR tahun 2022.

Kongsikan...

Bincangkan...