Pendidikan Berteraskan Nilai dalam Melahirkan Generasi Soleh dan Musleh

Konsultan Pendidikan IKRAM Musleh, Sheikh Mohamed Abdul Hamed Eliwa bersama penterjemah Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar.

Bangi – “Musleh adalah natijah daripada soleh itu sendiri. Mana mungkin seseorang itu menjadi musleh tanpa dia terlebih dahulu menjadi soleh,” ujar Konsultan Pendidikan IKRAM Musleh, Sheikh Mohamed Abdul Hamed Eliwa dengan terjemahan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dalam satu sesi perbincangan yang dihadiri kira-kira 60 orang yang terdiri daripada guru-guru, pihak pentadbiran sekolah dan IKRAM Musleh mengenai konsep pendidikan berteraskan nilai, sekolah rahmah dan integrasi Islam rahmatan lil ‘alamin dalam kurikulum pada 9 Mac yang lalu di sini.  

Sebelum itu, beliau memuji dan menyokong usaha IKRAM Musleh dalam melahirkan modal insan yang soleh dan musleh melalui pendidikan di sekolah. 

“Untuk menjadi musleh, sudah tentulah seseorang itu memerlukan pengetahuan dalam mindanya dan nilai yang baik dalam peribadi dan sahsiahnya. Persoalannya, di mana kita ingin bermula? Kita bermula dengan nilai kerana nilai inilah yang akan mendisiplinkan tingkah laku seseorang. Kelurusan dan keelokan tingkah laku seseorang itu akan dikaitkan dengan nilai yang ada dalam dirinya,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, para ulama pendidikan terdahulu telah membuat perumpamaan menanam nilai seperti menanam pokok.

“Petani diperlukan untuk menanam pokok, begitu juga dengan nilai. Nilai ini memerlukan orang untuk menanamnya atau dalam erti kata lain; guru. Jadi, apabila kita katakan tanam, kita bukan tabur tetapi memasukkannya ke dalam tanah. Nilai ini perlu ditanam dan dimasukkan ke dalam hati insan. Jika pokok tidak dimasukkan atau ditanam ke dalam tanah, maka ia tidak akan tumbuh. Begitu juga dengan nilai. Jika tidak ditanam di dalam hati insan, maka ia tidak akan hidup. Kemudian, selepas ditanam, pokok tidak boleh dibiarkan oleh para petani. Perlu dibaja dan dijaga dengan teliti supaya tidak diganggu oleh makhluk perosak atau perkara-perkara lain yang boleh merosakkannya. Samalah juga halnya dengan nilai. Apabila kita telah tanam nilai dalam diri anak-anak murid kita, maka kita perlu bersungguh-sungguh menjaganya.”

Beliau juga mengutarakan masalah utama pendidikan pada hari ini antaranya adalah guru-guru hanya menyampaikan ilmu tetapi tidak mendidik.

“Pendidikan sewaktu zaman tamadun Islam dahulu adalah bertujuan untuk membentuk akhlak melalui pendidikan nilai. Justeru, murid-murid apabila berguru, mereka akan belajar budi pekerti dan akhlak sebelum belajar tentang ilmu itu sendiri dan inilah mesej pendidikan dalam Islam dan mesej yang betul ini jugalah yang perlu difahami oleh para guru pada hari ini kerana mereka merupakan salah satu unsur penting dalam pendidikan. Selain itu, manhaj atau kurikulum juga amat penting dalam pendidikan berteraskan nilai ini. Untuk menanam nilai, silibus atau kurikulum juga perlu disusun dengan teliti agar terkandung di dalamnya ciri-ciri nilai yang ingin ditanam dalam diri pelajar dan dapat disampaikan dengan berkesan oleh para guru.”

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai peranan sekolah dalam mendidik dan mengislah masyarakat. 

“Sekolah bukan hanya tempat untuk menyampaikan ilmu tetapi sekolah mempunyai peranan yang besar dalam membangunkan masyarakat. Sekolah tidak boleh diasingkan daripada masyarakat dan merupakan satu bahagian terpenting di dalamnya. Maka, atas sebab itu, sekolah tidak seharusnya fokus hanya kepada murid-murid tetapi perlu berperanan dalam masyarakat termasuklah kakitangan sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekitar serta institusi-institusi yang berkaitan.”

“Ibu bapa merupakan golongan kedua selepas pelajar yang perlu diberikan tumpuan oleh pihak sekolah. Dalam pendidikan nilai, ibu bapalah yang akan membantu para guru untuk turut sama menjaga nilai yang telah ditanam dalam diri murid-murid. Jika di sekolah, guru-guru menanam nilai kebersihan dalam diri pelajar tetapi di rumah, nilai itu tidak dijaga oleh ibu bapa, maka sia-sialah nilai yang telah dibina tadi. Justeru, kerjasama yang baik perlu ada di antara pihak sekolah dan ibu bapa serta pihak-pihak yang lain. Semua orang perlu terlibat dalam menanam nilai ini dan membinanya. Jika terdapat satu sahaja pihak yang merobohkannya, maka ia menjadi sia-sia,” lanjut beliau.

Sebelum itu, sesi perbincangan berkenaan dimulakan dengan amanat dan taujihat daripada Pengerusi Pendidikan IKRAM Musleh, Prof. Dr. Omar Bin Yaakob. Beliau antaranya menyebut semua yang hadir perlu memiliki satu keazaman untuk menyampaikan fikrah yang baik kepada masyarakat khususnya fikrah Islamiyah. Beliau turut mengatakan bahawa terdapat banyak cabaran yang dihadapi dalam usaha ini tetapi semua pihak perlu mengambil peranan agar matlamat akhir berjaya dicapai.

Sesi perbincangan berkenaan diteruskan lagi dengan bengkel pada sebelah petang bagi membincangkan langkah-langkah strategik yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menjayakan objektif advokasi pendidikan di seluruh negara. Turut hadir bersama, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor. 

Kongsikan...

Bincangkan...