Perutusan : Sempena Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
16hb Mei 2017
GURU PEMBINA NEGARA RAHMAH
بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد ،
Segala puji dan syukur kita rafaqkan ke hadrat Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita khususnya nikmat Islam dan Iman yang akan menjadi bekalan utama apabila kembali. Moga-moga keberadaan kita di dalam majlis ini akan mendapat limpahan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. – amiin.
Para Murabbi yang dikasihi,
Sesungguhnya kita beriman bahawa tugas Rasulullah s.a.w. bukan setakat menyampaikan ilmu dan kemahiran, malah yang terlebih utama ialah membina keperibadian dan akhlaq diri sebagai seorang hamba dan khalifah Allah s.w.t. Ar-Rasul s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia.”
Maka kita sebagai murabbi tidak boleh lari dari tanggungjawab ‘membina’, bukan hanya sebagai perantara bagi anak didik kita mendapat ilmu. Kita harus membina generasi dengan didikan yang kita sampaikan kepada mereka.
Maka, bertepatan sekalilah tema Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2017 iaitu “Guru Pembina Negara Rahmah”
Dalam tema ini terangkum jawapan kepada soalan ‘siapa’, tugasan ‘apa’ dan hasil atau ‘outcome’ yang diharapkan. Siapa itu ialah para murabbi, menggalas tanggungjawab peranan sebagai pembina bagi mengusahakan sebuah negara Rahmah.
Negara Rahmah adalah negara yang mendapat keampunan Allah s.w.t sepertimana firman Allah, “Baldatun toiyibatun warabbun ghaffur”. Maka usaha untuk membangunkan sebuah negara yang baik adalah satu tuntutan bagi memastikan penduduk atau rakyatnya sentiasa mendapat Rahmat dan Keampunan Allah s.w.t. Di antara ciri-ciri sebuah negara Rahmah itu ialah :
- Kepemimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti
- Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan
- Tadbir Urus yang Baik
- Undang-undang yang Adil
- Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak dan Penyayang
- Institusi Keluarga yang Utuh
- Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni
- Ekonomi yang Mampan
- Agihan Kekayaan yang Saksama
- Pembangunan yang Lestari
- Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara
- Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat
Tugas yang besar ini perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan kesungguhan. Bak kata pepatah, “yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek” dikuatkan dengan ungkapan “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.
Tugas kita sebagai pembina membawa maksud mengasuh, mendidik, membangun dan menyuburkan segala potensi yang ada dalam diri setiap pelajar supaya semuanya itu dimanfaatkan untuk menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dan membina sifat-sifat yang mulia. Kesemua usaha tersebut harus disinergikan bagi tujuan menyediakan diri pelajar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak, pelajar, pekerja dan ahli masyarakat yang berilmu, beriman dan berakhlaq mulia.
Apabila masyarakat sudah terbina dengan ciri-ciri masyarakat rahmah, maka ia akan memungkinkan mereka berperanan menjadi pemangkin Rahmatan lil a’lamiin, memberi kebaikan kepada seluruh makhluq di langit dan di bumi. Ini adalah selaras dengan perutusan Ar-Rasul s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan tidaklah kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai Rahmat kepada seluruh alam.”
Negara yang didiami oleh penduduknya yang bersifat Rabbani dan Rahmatan lil a’lamiin pasti akan membawa kemakmuran dan keamanan pada setiap zaman. Maka akan lahirlah negara yang mempunyai 12 ciri yang kita sebutkan di awal ucapan tadi.
Masyarakat yang terbina dengan ciri-ciri negara rahmah ini sudah tentu bukan datang begitu sahaja, tetapi adalah hasil daripada terbentuk dan terbinanya individu-individu, keluarga-keluarga dan komuniti yang komited dengan nilai-nilai sejagat. Tegasnya, kemakmuran sesebuah negara bermula dengan terhasil dan terbinanya seorang individu yang mempunyai jatidiri dan keperibadian yang tinggi.
Para murabbi yang mulia,
Dalam konteks pembinaan negara rahmah inilah, kita telah melaksanakan satu transformasi dalam dasar-dasar dan kurikulum IKRAM Musleh. Transformasi ini telah kita sama-sama laksanakan di sekolah masing-masing bermula 2017. Antara perubahan-perubahan yang telah kita persetujui bersama ialah memfokuskan pengajian Sirah kepada mencintai Rasulullah saw, bukan hanya setakat mengetahui atau memahami. Pengajian Al-Quran pula difokuskan kepada pembinaan hubungan dengan Al-Quran, bukan setakat pandai membaca dengan tartil dan menghafaz. Di samping itu elemen Akidah Merentas Kurikulum(AMK) hendaklah di teruskan dan dimantapkan. Perkara-perkara ini merupakan asas kepada pembinaan individu yang bakal mendokong negara Rahmah.
Di samping itu dalam transformasi kurikulum kita, kita juga telah memasukkan elemen-elemen kekeluargaan, kewarganegaraan, kehidupan lestari, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan, menghormati dan meraikan kepelbagaian. Perkara-perkara ini semuanya bertujuan memupuk sikap dan keperibadian rahmatan lil-alamiin. Dan bagi memastikan anak didik kita kekal relevan membawa mesej rahmatan lil alamiin pada abad ke 21, kita juga harus mewujudkan peluang untuk mereka mendapat kemahiran 4C- Communication, Creativity, Critical Thinking dan Collaboration.
Saudara saudari rakan pendidik yang dikasihi,
Sekiranya ada dalam kalangan kita yang merasa berat untuk melakukan transformasi ini, maka ingatlah pahala yang diberi Allah adalah berdasarkan usaha kita. Lagi susah sesuatu perkara itu hendak disempurnakan, lagi banyak usaha dan azam yang diperlukan bagi menjayakannya. Maka dengan itu lagi banyak pahala yang bakal diterima oleh sesorang individu tersebut. Tambahan pula, kita dikehendaki sentiasa memperelokkan amal kita, ‘áhsanul amala’. Dalam konteks ini, tidak dapat tidak, kita perlu mentransformasi amal-amal dan tanggung jawab kita. Ingatlah, kita membentuk pelajar yang bakal berperanan dalam masyarakat 10 atau 20 tahun lagi. Ianya benar-benar seperti menanam benih hari ini, tapi hasil tuaiannya akan kita lihat bertahun-tahun akan datang. Di saat itu, pasti hilang penat lelah yang saudara saudari rasai ketika ini.
Pendidik yang soleh adalah mereka yang bersedia untuk berubah dan membuat perubahan serta anjakan paradigma dalam mendidik para pelajar yang kini hidup dalam suasana yang penuh cabaran dan pancaroba. Persediaan pendidik dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Abad ke-21 adalah sesuatu yang sangat kritikal. Justru, para pendidik harus bersedia untuk belajar dan terus belajar demi mempertingkatkan kewibawaan dan ketrampilan diri sebagai seorang “Guru Pembina Negara Rahmah
Para Murabbi yang dirahmati Allah,
Dalam konteks pembina negara rahmah, kita bukan hanya membentuk dan membina generasi muda, akan tetapi kita juga kita adalah agen perubah masyarakat. Peranan ini terangkum dalam tanggung jawab kita sebagai khalifah Allah. Kita harus perihatin terhadap perkembangan dan pergolakan dalam masyarakat. Ciri-ciri dan amalan negatif yang menjejas masa depan masyarakat dan negara harus kita sama-sama cuba hentikan, malahan benteras, mengikut kemampuan masing-masing. Perbetulkan dengan tangan atau dengan lisan. Namun jika tidak mampu juga, bencilah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman. Berilah pencerahan dan kefahaman kepada sanak saudara dan rakan taulan akan fenomena maksiat, tidak adilan dan kezaliman yang sedang berlaku dalam negara. Dengan ini, kita berharap dan berdoa agar Allah selamatkan kita dari azab yang Allah turunkan secara melata ke atas umat manusia.
Saudara saudari Murabbi yang di raikan,
Dari Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda “Apabila manusia meninggal, terputuslah segala amalannya, kecuali dari 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakanya.”(HRI Muslim)
Maka bergembiralah saudara saudari sekelian kerana tidak perlu lagi memikirkan atau berusaha mencari peluang untuk mendapat amal yang bakal pahalanya tidak putus, walaupun roh sudah meninggalkan jasad. Semuanya sudah tersedia dalam kerja-kerja harian anda sebagai seorang pendidik. Tingkatkanlah keazaman, kegigihan dan kesabaran dalam melaksanakan tugas. Ingatlah kepada ganjaran yang sangat besar disediakan oleh Allah swt untuk saudara saudari.
IKRAM Musleh sentiasa komited memberi sokongan dan dokongan kepada sekolah dan murabbi di SRI-SMI melalui beberapa inisiatif seperti kursus-kursus dan latihan profesionalisme keguruan dalam pelbagai jenis dan kategori, membantu dalam mencapai tahap jaminan kualiti yang memuaskan, pelaksanaan manhaj tarbiah di SRI-SMI, memantapkan Good Governance dan Best Practices serta pelaksanaan Tabung Kebajikan IKRAM-Musleh (TAKIM).
Semoga Allah swt memberkati usaha-usaha para pendidik semua, baik di sekolah atau dalam masyarakat, dan seterusnya, impian kita untuk membina sebuah negara rahmah akan tercapai.
Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2017.
“Guru Pembina Negara Rahmah”
Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia
16 Mei 2017