Majlis Anugerah Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017 Raikan Kemenjadian Generasi Musleh

Shah Alam – Telah berlangsung Majlis Anugerah Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017 di sini semalam dalam suatu majlis yang sederhana namun meriah. Majlis yang telah dirasmikan oleh Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia itu bertujuan untuk sama-sama memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar sekolah-sekolah rangkaian Musleh yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan aktiviti kemasyarakatan.

Sebanyak 11 anugerah diwujudkan dan seramai 25 orang pelajar tersenarai sebagai penerima anugerah. Antaranya adalah Anugerah Sa’ad Bin Abi Waqqash bagi kategori kokurikulum terbaik, Anugerah Mus’ab Bin Umayr bagi kategori tahfiz terbaik, Anugerah Imam Al-Ghazali bagi kategori sahsiah terpuji dan Anugerah Umar Al-Khattab bagi kategori kepimpinan terserlah. Tidak ketinggalan juga anugerah untuk Tokoh Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) dan Tokoh Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM).

 

Bagi anugerah kemuncak iaitu Anugerah Tokoh Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017, Ahmad Mujahid Bin Abdul Rashid, 18, dan Nadhrah Mohammed, 18, kedua-duanya dari SMI Hidayah Johor Bahru telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Unggul IKRAM Musleh bagi tahun 2017 untuk kategori banin dan banat oleh panel penilai. Selain cemerlang dalam SPM 2016 dan SPPIM 2016 yang diumumkan baru-baru ini, kedua-dua mereka juga turut memiliki sikap kepimpinan yang terserlah serta mempunyai sahsiah dan akhlak yang terpuji. Para penerima anugerah membawa pulang sebuah plak, cek beserta sijil. 

Tuan Presiden, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam ucapannnya turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan demi kejayaan yang diraih dan ketokohan demi ketokohan yang ditonjolkan oleh pemuda dan pemudi generasi Rabbani kelahiran Musleh dan menyatakan betapa besar harapan beliau agar generasi-generasi seperti ini terus bersinar dan menyumbang bukan sahaja untuk masyarakat setempat bahkan juga untuk ummah.

Sebanyak 4 buah sekolah juga terlibat dalam membuat pameran sepanjang majlis berlangsung. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SRI Al-Amin Gombak yang beraksi cemerlang di Jakarta dalam Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON’16), SMI Hira’ Jeram yang menerima Anugerah Khas Robot Mind Cart di Rero ANnual Championship (RAC ’16) KLESF National Level Robotic Competition dan turut beraksi mantap dalam Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON ’16) di Jakarta, SRI Al-Amin Kuala Lumpur yang membawa pulang emas dalam acara 2ON2 Soccer di Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON’16) di Jakarta dan SMI Hidayah Johor Bahru yang telah mewakili Malaysia ke Jepun dalam Science Student Fair atas kejayaan mereka memenangi pingat emas dalam Pertandingan Aplikasi STEM.

Ust Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad melihat pameran SRI Al-Amin Kuala Lumpur bersama ciptaan mereka
yang menjuarai acara 2ON2 Soccer di Kompetisi Robot Nasional (KRON’16) di Jakarta 

 

Turut hadir bersama dalam majlis tersebut, Prof Dr Omar Yaakob selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM. Menurut beliau dalam ucapan alu-aluannya, “Untuk memastikan kecemerlangan ummah, kita bukan sahaja memerlukan takungan pemuda-pemudi Islam yang cemerlang dan kompeten dengan keupayaan intelek dan ketrampilan tetapi juga yang mampu menyumbang kepada pembangunan umat Islam melalui sahsiah, akhlak dan sikap yang betul.” 

Majlis ini ditaja oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd, Awfatech, Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB), Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah-sekolah rangkaian manakala buku program pula ditaja sepenuhnya oleh Risalah Harmoni. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Semoga lebih ramai lagi generasi berketrampilan, berwibawa dan berwawasan yang dapat dilahirkan untuk kesinambungan dakwah serta mencapai kegemilangan dunia dan akhirat.

Kongsikan...

Bincangkan...