JOHOR BAHRU – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah, Johor Bahru melalui pasukan Hidayah Squad dinobatkan sebagai Johan Kategori Komik Pendidikan dalam STEM-AI Youth Innovation Challenge 2026 yang telah berlangsung di New York Hotel, pada Isnin lalu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500.
Pertandingan berprestij peringkat negeri ini dianjurkan secara bersama oleh Fakulti Pendidikan Sains dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penganjuran program ini bertujuan untuk mencetuskan inovasi serta menggalakkan pengintegrasian elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan murid sekolah di seluruh Johor.
Kejayaan cemerlang Hidayah Squad dianggotai oleh Muhammad Salahuddin Johari, 15, Iyad Muhammad Nazri, 15 dan Asyraf Muzaffar, 15 di bawah bimbingan guru pengiring, Imran Omar.

Pasukan ini berjaya memikat hati barisan juri menerusi penghasilan komik AI bertajuk Saladin: Janji di Sebalik Abu, yang mengangkat mesej Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penceritaan visual yang kreatif dan berimpak tinggi.
Sebagai persediaan rapi sebelum ke peringkat akhir, para peserta telah menyertai dua siri bengkel pembangunan kandungan dan pascaproduksi pada 10 Oktober dan 24 Oktober 2026.
Menerusi siri bengkel berkenaan, para peserta menerima bimbingan intensif daripada fasilitator dalam kalangan pelajar UTM bagi memantapkan penghasilan serta mutu teknik Komik AI yang dipertandingkan.
Guru pengiring pasukan, Imran Omar, melahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut dan berharap kejayaan ini dapat memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus maju serta mengharumkan nama sekolah dan agama.
Di samping itu, penghasilan karya yang menggabungkan penceritaan visual dengan teknologi AI ini membuktikan keupayaan murid memanfaatkan teknologi secara beretika demi melahirkan generasi pewaris yang berfikiran kritis dan analitikal.
Pihak Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan seluruh warga SMI Hidayah Johor Bahru atas kejayaan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membudayakan kreativiti, inovasi dan penerokaan ilmu dalam kalangan murid.
Ihsan gambar: FEST, UTM. SMI Hidayah Johor Bahru
