KUALA LUMPUR – Gandingan pelajar Sekolah Menengah Islam Hidayah Pasirris, Batu Pahat, bersama bapanya berjaya mengharumkan nama sekolah apabila dinobatkan sebagai Johan dalam pertandingan National Digital Family Coding Challenge 2026 yang berlangsung di Akademi Kenegaraan Malaysia, Bukit Petaling, di sini pada Sabtu, 31 Oktober lalu.
Kejayaan tersebut diraih oleh Encik Khairul Izwan Hashim bersama anakanda beliau, Khairul Hadif Khairul Izwan, yang mewakili sekolah berkenaan dalam pertandingan berteraskan kemahiran pengekodan dan teknologi digital itu.
Pertandingan anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ini merupakan inisiatif yang menggabungkan kemahiran pengaturcaraan, kreativiti digital dan pembelajaran berasaskan keluarga.
Terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah bersama ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga dewasa, pertandingan ini menggunakan aplikasi Scratch sebagai platform untuk menghasilkan projek digital bertemakan Malaysia, kemerdekaan, perpaduan dan kenegaraan.
Berlangsung melalui fasa kelayakan secara dalam talian dari 11 September hingga 14 Oktober 2026, pertandingan ini kemudiannya menghimpunkan peserta terpilih ke peringkat Grand Final pada 31 Oktober 2026 di Akademi Kenegaraan Malaysia di ibu negara.
Selain menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM2650, pertandingan ini turut menyediakan medal dan pengiktirafan kepada para pemenang.
Program ini juga mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan pengiktirafan PAJSK, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Pihak Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Khairul Izwan dan Khairul Hadif atas kejayaan membanggakan ini.
Pencapaian ini mencerminkan penguasaan kemahiran teknologi dan kreativiti, selain mengangkat nilai kerjasama, sokongan serta pembelajaran bersama antara ibu bapa dan anak dalam mendepani perkembangan dunia digital.
Semoga menjadi inspirasi kepada semua untuk terus meneroka potensi dalam bidang teknologi dan inovasi digital, sekali gus membina generasi yang berilmu, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Sumber: Facebook Sekolah Menengah Islam Hidayah Pasirris Batu Pahat
