CYBERJAYA – Dua orang murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila terpilih sebagai 10 finalis terbaik (Top 10) kategori Pro (8–16 tahun) dalam pertandingan Game Jam Todak Digital Creators Competition 2026 (TDCC26) sempena Digital TVET Education Carnival 2026 yang berlangsung pada Sabtu, di sini.
Muhammad Irfan Hakimi Mohd Yusri, 10 dan Zaim Ahmad Sirajuddin, 8 turut mencuri perhatian sebagai antara peserta termuda dalam kategori tersebut.
Anjuran Todak Academy, TDCC26 merupakan platform untuk mencungkil bakat generasi muda dalam bidang pengekodan dan pembangunan permainan digital.
Kedua-dua finalis telah mengikuti sesi pembangunan dan penambahbaikan permainan selama dua hari di Todak Academy, Cyberjaya, pada 30 hingga 31 Oktober 2026, sebelum membentangkan hasil ciptaan masing-masing kepada barisan juri.
Pencapaian ini mencerminkan potensi murid sekolah rendah dalam meneroka bidang teknologi, kreativiti dan inovasi digital sejak usia muda.
Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua murid serta warga SRI Hira’ Klang atas pencapaian membanggakan ini.
Semoga kejayaan tersebut menjadi dorongan untuk terus mengembangkan potensi dan melahirkan generasi yang kreatif, berdaya saing serta bersedia menghadapi masa hadapan.
Sumber: Facebook Sekolah Rendah Islam Hira
