SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru agar perbincangan mengenai keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut melihat aspek kemenjadian insan, sikap, motivasi serta suasana pembelajaran pelajar.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, IKRAM mengakui kemerosotan pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik, Sains dan literasi membaca sebagai isu serius yang memerlukan tindakan pemulihan secara bersepadu.
IKRAM pada masa sama menyambut baik langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Namun demikian, IKRAM turut menarik perhatian kepada dapatan PISA 2025 berkaitan aspek bukan akademik yang kurang mendapat liputan, khususnya berkaitan kemenjadian Insan Sejahtera, sikap, motivasi dan suasana pembelajaran pelajar.
Antara dapatan positif yang diketengahkan ialah 80 peratus pelajar Malaysia melaporkan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, berbanding purata Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) sebanyak 73 peratus.
Sebanyak 79 peratus pelajar pula menyatakan mereka berusaha lebih gigih apabila tugasan sekolah menjadi sukar, berbanding purata OECD sebanyak 60 peratus.
Pada masa sama, beberapa aspek yang memerlukan perhatian turut dikenal pasti. Antaranya, hanya 37 peratus pelajar Malaysia memiliki growth mindset, berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.
Kadar buli juga meningkat kepada 27 peratus berbanding purata OECD sebanyak 20 peratus, selain isu jurang pencapaian yang berkait dengan latar belakang sosioekonomi serta kemerosotan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak.
Sehubungan itu, IKRAM menggesa agar growth mindset dijadikan sebahagian daripada pedagogi dan budaya sekolah, di samping memperkukuh usaha menangani buli termasuk buli siber, menyediakan sokongan akademik kepada pelajar daripada latar belakang sosioekonomi rendah serta memperkasa penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan dalam pendidikan.
Kenyataan media tersebut disampaikan oleh Dr. Omar Yaakob, Ketua Kumpulan Fokus Pendidikan, Pertubuhan IKRAM Malaysia, yang turut merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Musleh Integrated Education Berhad (MIEB).
Dalam konteks pendidikan Musleh, penekanan terhadap aspek akademik dan bukan akademik ini selari dengan kepentingan membangunkan murid secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi pencapaian ilmu, tetapi juga pembentukan sikap, akhlak, keyakinan diri dan kesejahteraan.
IKRAM turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan KPM, pertubuhan masyarakat sivil dan ibu bapa dalam memperkasakan aspek bukan akademik pendidikan, selari dengan hasrat membina Insan Sejahtera yang seimbang dari segi ilmu, sikap dan akhlak.
Ihsan foto: www.ikram.org.my
Baca kenyataan media penuh IKRAM:
Keputusan PISA 2025: Lihat Aspek Kemenjadian Insan Sejahtera, Sikap dan Suasana Sekolah
