Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam Musleh kepada seluruh warga pendidik yang saya kasihi.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama menyambut Hari Murabbi bagi tahun 2026, satu hari yang bukan sahaja meraikan jasa dan mujahadah, tetapi juga mengangkat kembali nilai, peranan dan amanah besar seorang murabbi Musleh dalam membina generasi ummah.
Saya mewakili Musleh Integrated Education Berhad ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih Jazakumullahu khairal jaza’ kepada seluruh murabbi dalam rangkaian pendidikan Musleh di seluruh negara. Sesungguhnya, setiap detik masa, setiap titik peluh dan setiap pengorbanan yang dicurahkan dalam mendidik anak-anak ummah adalah satu amal jariah yang tidak ternilai di sisi Allah SWT.
Para murabbi yang dikasihi sekalian,
Tema kita pada tahun ini, “Murabbi Bitara, Nadi Pembina Ummah Rabbani”, mengingatkan kita bahawa kekuatan sistem pendidikan tidak terletak pada struktur semata-mata, tetapi pada kualiti murabbi yang menghidupkannnya.
Firman Allah SWT:
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ
“…akan tetapi hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu mengajarkan Kitab dan kerana kamu mempelajarinya.”
(Surah Āli ‘Imrān, 3:79)
Konsep insan rabbani telah lama kita fahami- iaitu insan yang hidup berteraskan iman, ilmu, amal dan adab. Maka cabaran kita hari ini bukan lagi sekadar memahami konsep tersebut, tetapi bagaimana melahirkannya dalam realiti pendidikan yang semakin mencabar.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Dunia pendidikan hari ini berubah dengan sangat pantas. Murid kita berhadapan dengan ledakan maklumat tanpa sempadan, pengaruh teknologi dan kecerdasan buatan (AI), krisis identiti dan jati diri, serta cabaran emosi dan kesihatan mental.
Dalam keadaan ini, murabbi tidak lagi cukup dengan hanya menyampaikan ilmu. Murabbi seharusnya menjadi pembimbing arah, penapis nilai, dan pembina jiwa.
Justeru, apakah yang menjadikan seorang murabbi itu bitara?
Hadirin sekalian,
Untuk menjadi murabbi bitara, ada enam perkara penting yang perlu kita hayati.
Pertama: Ikhlas dan Rabbani dalam tujuan
وَمَآ اُمِرُوْٓا اِلَّا لِيَعْبُدُوا اللّٰهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”
(Al Baiyinah ayat 5)
Murabbi bitara sentiasa memperbaharui niat. Mereka mendidik bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, tetapi kerana amanah daripada Allah SWT.
Kedua: Menjadi qudwah, bukan sekadar penyampai
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Al-Ahzab ayat 21)
Anak didik hari ini lebih melihat daripada mendengar. Murabbi bitara adalah contoh hidup kepada penerapan disiplin, adab, integriti dan cara berinteraksi.
Ketiga: Mendidik dengan hikmah dan empati
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.
(An-Nahl ayat 125)
Dalam dunia yang penuh tekanan, murid tidak hanya perlukan guru yang pandai mengajar, tetapi murabbi yang memahami, mendengar dan membimbing tanpa menghukum.
Keempat: Teguh prinsip, anjal pendekatan
Murabbi bitara bukanlah mereka yang keras pada cara, tetapi teguh pada prinsip.
Tidak berganjak dalam soal kebenaran, tidak berkompromi dalam nilai dan akidah.
Namun dalam masa yang sama, mereka anjal dalam pendekatan iaitu bijak membaca zaman, memahami jiwa murid, dan menyesuaikan cara tanpa mengorbankan prinsip.
Sepertimana firman Allah SWT:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ
“Maka tetaplah engkau di jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan.”
(Surah Hud: 112)
Dan dalam masa yang sama, Allah mengingatkan:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah.”
(Surah An-Nahl: 125)
Inilah keseimbangan seorang murabbi, prinsipnya kukuh seperti akar dan pendekatannya lembut seperti air yang mengalir.
Murabbi bitara perlu kekal dengan prinsip Islam, namun bijak menyesuaikan pendekatan dengan zaman.
Kelima: Menguasai ilmu dan kemahiran masa hadapan
Murabbi bitara tidak berhenti belajar. Mereka sentiasa memperkasa diri dengan ilmu, memahami perubahan zaman, dan bersedia menghadapi masa hadapan dengan hikmah dan kebijaksanaan.
Sebagaimana doa yang diajarkan oleh Allah SWT:
وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahkanlah aku ilmu.”
(Surah Taha: 114)
Dan Allah SWT mengingatkan:
هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
“Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”
(Surah Az-Zumar: 9)
Justeru, murabbi perlu sentiasa bersedia, memperlengkapkan diri dengan segala bentuk kekuatan sama ada ilmu, kemahiran mahupun kefahaman zaman.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
“Sediakanlah segala kekuatan yang kamu mampu.”
(Surah Al-Anfal: 60)
Murabbi bitara adalah mereka yang celik teknologi, memahami dunia digital dan mampu membimbing murid menilai maklumat dengan neraca iman dan adab.
Keenam: Membina hubungan dan ekosistem tarbiah
Murabbi bitara tidak bergerak bersendirian. Mereka membina hubungan dengan murid, rakan sejawat, ibu bapa dan komuniti kerana mereka memahami bahawa pendidikan adalah usaha berjamaah, bukan bersendirian.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu saling bekerjasama dalam kebaikan dan ketakwaan.”
(Surah Al-Ma’idah: 2)
Hubungan ini bukan sekadar struktur, tetapi ukhuwah yang menghidupkan tarbiah,
sebagaimana firman-Nya:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.”
(Surah Al-Hujurat: 10)
Dan dalam ekosistem inilah, kita saling menguatkan. Allah SWT ada menyebutkan:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.”
(Surah Al-‘Asr: 3)
Kerana hakikatnya, membina insan tidak mampu dilakukan seorang murabbi sahaja, tetapi memerlukan satu ekosistem yang hidup dan saling menyokong.
Para murabbi sekalian,
Sejarah telah membuktikan bahawa perubahan besar bermula dengan pembinaan manusia. Allah SWT menggambarkan peranan Rasulullah SAW:
يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
“Dia membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, dan menyucikan mereka, serta mengajarkan kepada mereka Kitab dan hikmah.”
(Al-Jumuah ayat 2)
Baginda bukan sekadar menyampaikan wahyu tetapi membina generasi yang akhirnya mampu mengubah dunia. Maka, peranan kita hari adalah kesinambungan kepada usaha tersebut. Setiap murid di hadapan kita bukan hanya sekadar pelajar, tetapi mereka adalah bakal pemimpin, bakal profesional dan bakal pembawa perubahan kepada ummah.
Akhirnya, saya ingin menyeru kepada semua murabbi agar terus memperbaharui niat, meningkatkan kompetensi diri, dan menghidupkan ruh tarbiah dalam setiap aspek pendidikan. Sesungguhnya perubahan ummah bermula dengan perubahan diri kita sebagai murabbi.
Semoga segala usaha kita diberkati dan menjadi asbab lahirnya generasi rabbani yang akan memimpin ummah dengan ilmu, iman dan akhlak.
Selamat Hari Murabbi.
Teruskan menjadi murabbi bitara, nadi kepada pembinaan ummah Rabbani.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
