KUALA LUMPUR – Sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) yang disambut pada 21 Februari setiap tahun di seluruh dunia, telah diadakan Majlis Peluncuran Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini pada Jumaat.
Penganjur utama sambutan pada tahun ini terdiri daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia (Tamil Foundation), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).
Dalam ucapan aluannya, Pengerusi Jawatankuasa HBIA 2025, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berkata, sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini bukan sahaja memperlihatkan kepentingan melindungi dan memelihara bahasa ibunda bahkan juga turut mengangkat nilai kasih mengasihi dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Turut berucap dalam majlis sama, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Tuan Haji Badlishah Sham Baharin yang menekankan bahawa pendidikan pelbagai bahasa memainkan peranan penting dalam mengekalkan nilai budaya dan sejarah sesuatu bangsa.
Dengan tema Pendidikan Pelbagai Bahasa adalah Tonggak Pembelajaran Antara Generasi, beliau juga menekankan tentang peranan bahasa ibunda sebagai alat komunikasi dan perantara untuk mengekalkan nilai-nilai warisan nenek moyang dan peranan setiap individu untuk memastikan bahasa ibunda ini terus hidup dan berkembang sebagai cerminan identiti diri dalam komuniti khususnya dalam sistem pendidikan negara yang mendukung kepelbagaian linguistik.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari telah hadir merasmikan Majlis Peluncuran Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa.
Beliau dalam ucapan perasmiannya, turut menegaskan peri pentingnya penguasaan dan pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan tanpa mengetepikan kepentingan bahasa ibunda pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia.
“Pendidikan pelbagai bahasa adalah tonggak pembelajaran antara generasi merupakan tema yang perlu ditafsir dengan sebaik-baiknya dengan nilai ‘sedar ruang’ dan ‘faham nilai’ agar usaha murni ini membantu dalam pembinaan kata bahasa Melayu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, istilah ‘ruai’ daripada bahasa Iban menjadi padanan terbaik kepada istilah ‘booth’ iaitu reruai dalam bahasa kebangsaan.
“Begitu juga dengan merarau, asal kata Iban yang diangkat sebagai istilah kepada ‘lunch’ iaitu makan tengah hari. Begitu juga dengan perkataan camca, sampan, cakra, kala, agama, dahaga, angkasa dan banyak lagi. Bahasa Cina, Tamil dan suku kaum serta etnik lain amat diperlukan dalam proses pengayaan dan peluasan kata bahasa Melayu.”

Dalam perkembangan berkaitan, satu sesi forum turut diadakan serta menampilkan moderator dan tiga ahli panel yang terdiri daripada Guru Besar dan Pengetua yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan. Antaranya, Pengetua Sekolah Menengah Hira’ Jeram, Ustaz Isharudin Ismail, Pengetua SMJKC Yu Hua, Kajang, Lean Kee Fong, Guru Besar SJKT Jenjarom, Ramasamy Nadesan dan Guru Besar SK Kampong Busut Asli, Bukit Cheding, Banting, Maswadi Mohd Milatusamsi.
Antara aktiviti yang akan dijalankan dalam Karnival HBIA yang dijadualkan akan berlangsung pada 13 Jun depan ialah aktiviti menulis khat jawi (Melayu), menulis kaligrafi (Cina dan India), membuat kolam Rangoli (India) dan membuat seni anyaman (Melayu dan Orang Asli).
Selain itu, terdapat juga aktiviti permainan tradisional seperti congkak atau palanguli (Melayu dan India), permainan Batu Seremban (Melayu), gunting kertas (Cina), Jak Renoi (Orang Asli), mehendi (India) serta catur Cina dan Tangram (Cina).
Pada masa sama, pelbagai pameran dan gerai akan diadakan seperti pameran lagu, peribahasa dan perayaan semua kaum, pameran bahasa dan budaya semua kaum serta pertandingan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.
Antaranya, Pertandingan Menulis Esei dan Lukisan bagi murid-murid sekolah rendah dan Perlumbaan Mencari Harta Karun (Treasure Hunt) bagi pelajar sekolah menengah.
Majlis sambutan ini turut mendapat kerjasama daripada KLSCAH, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Majlis Pengetua dan Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM), Merdeka University dan Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia (FAATUM).
Ia juga dijayakan oleh rakan strategik sambutan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN), The Malaysia National Commission of UNESCO (NATCOM Malaysia) dan Bangladesh High Commission in Malaysia.
Turut hadir dalam majlis pelancaran, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Tuan Yang Terutama Md Shameem Hassan, yang didatangkan khas dari pihak kedutaan. Majlis tamat kira-kira jam 12.15 tengah hari.
