KUALA KUBU BHARU – Lebih 3 ribu ahli kontinjen yang terdiri daripada anggota Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh dari Malaysia, Pramuka dari Indonesia dan Thailand hadir menyertai Perkhemahan Internasional Kadet Remaja Sekolah Musleh kali yang ke-5 atau singkatannya PRINT V yang telah berlangsung bermula Ahad, 24 Disember lalu sebelum berakhir hari ini di Kem Bina Semangat, di sini.
Pengarah Eksekutif Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dalam kenyataannya pada 23 Disember lalu berkata, PRINT V yang menjadi wadah pertemuan antara anggota KRS Musleh bersama jemputan dalam dan luar negara itu dianjurkan untuk menjalin ukhuwah, mengasah bakat, menampilkan jati diri anggota yang selalu menebar kebaikan dan menghayati akhlak Islamiah agar mampu membangun ummah dan manusia sejagat kelak.
Beliau yang juga merupakan Penaung KRS Musleh itu menjelaskan bahawa PRINT V kali ini memiliki keunikannya yang tersendiri.
“Semua peserta mempunyai ruang dan peluang yang cukup luas untuk mempromosi dan mengenali pelbagai budaya, tatasusila dan adat resam pelbagai kaum sekali gus menjadi duta kecil negara masing-masing melalui aktiviti yang dirancang,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi PRINT V merangkap Pengerusi KRS Musleh, Mejar KRSM Abd Rahaim Md Isa turut menyatakan penghargaan dalam kenyataannya pada hari sama kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM atas sokongan dan kerjasama yang tidak pernah luntur terhadap pihak penganjur untuk mengadakan program berskala besar seperti ini.
“Adalah diharapkan agar program high impact seperti ini menjadi pencetus kepada perhubungan yang lebih erat antara sekolah-sekolah rangkaian Musleh dengan sekolah-sekolah arus perdana di Malaysia dan negara-negara jiran.
Pendedahan terhadap bidang kerjaya, lawatan yang membuka minda dan pertandingan secara sihat membolehkan para peserta mendapat pengalaman berukhuwah yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan tema, Silang Budaya Wadah Perpaduan Masyarakat Rahmah, PRINT V fokus kepada menjalin silaturahim dan persaudaraan, mengukuhkan persatuan dan kesatuan sebagai jati diri ummah sejagat melalui pelbagai aktiviti kerohanian dan aktiviti silang budaya yang diadakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perasmian Penutup telah berlangsung hari ini bermula jam 9 pagi tadi dan telah dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Tuan Haji Badlishah Sham Baharin.
Beliau yang berkongsi inspirasi tentang keteguhan dan kecekalan saudara-saudara Islam di Gaza yang sedang berjuang turut menyatakan harapannya agar PRINT V ini mampu membina generasi yang mampu menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.
Majlis penutup tersebut turut menyaksikan pelbagai persembahan daripada wakil jemputan dari dalam dan luar negara sebelum diakhiri dengan persembahan istimewa; seni mempertahankan diri daripada wakil ketiga-tiga buah negara yang terlibat.
Terdahulu, Majlis Perasmian Pembukaan PRINT V telah disempurnakan oleh wakil YB Menteri Pendidikan Malaysia, Tuan Nazar Mamat, Ketua Penolong Pengarah, Unit Kejurulatihan Sektor Kurikulum, Kejurulatihan dan Penggalakan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian diiringi oleh Prof. Dr. Omar Yaakob, Pengerusi MIEB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Institusi IKRAM.
PRINT V kali ini mengetengahkan pelbagai acara dan aktiviti menarik untuk para peserta seperti aktiviti berbentuk inovasi melibatkan acara robotik dan drone serta aktiviti berbentuk integrasi silang budaya melibatkan makanan tradisional, bahasa, pakaian, permainan yang dilakukan secara dalam kumpulan, ziarah mahabbah, rekreasi tali dan orienteering.
Selain itu, bagi aktiviti yang berbentuk persembahan dan perkongsian, konsert mega turut diadakan malam semalam bersama bicara tokoh, persembahan Basic Self Defense (BaSeD), persembahan tarian dan muzik tradisional serta malam kebudayaan.