Kuala Lumpur – Yayasan NAMA (NAMA Foundation) dan sebahagian rakan kongsinya yang terdiri daripada Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (IKRAM Musleh), Yayasan Salam Malaysia, Yayasan Sejahtera, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Education Development and Solutions Specialist Sdn Bhd (EDESS) dan Universiti Teknologi Malaysia akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa NAMA 2021 (NICX 2021) secara maya bermula 6 hingga 11 Disember depan.
“NICX 2021 bukan hanya tentang Yayasan NAMA, tetapi persidangan ini telah membawa semua rakan kongsi untuk turut serta menjayakannnya dengan komitmen cemerlang, jauh melebihi daripada apa yang kami jangkakan. Kami berterima kasih atas kerjasama semua pihak dalam usaha menjayakan NICX 2021.”
Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan NAMA, Dr Saleh Mubarak Bazead berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Tandatangan Kerjasama NICX 21 di sini pada 5 November lalu.
IKRAM Musleh yang diwakili oleh Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif, berkata, pihak IKRAM Musleh akan terus komited memberikan kerjasama khususnya dalam usaha memperkasa sektor pendidikan serta meneroka peluang dan ruang baru dengan pelbagai pihak.
“Semoga persidangan ini berjaya dilaksanakan dan membawa impak positif yang diharapkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Saleh turut berharap bahawa NICX 21 akan menjadi platform sehenti kepada para penggiat bidang dalam berkongsi amalan, pengetahuan dan pengalaman berkaitan topik yang diketengahkan bersama peserta acara itu. Antara tujuh topik yang akan diteroka termasuklah Daya Tahan Kepimpinan Dalam Sektor Pendidikan Dan Sektor Ketiga, Teknologi Dan Inovasi Sosial Melangkaui Pandemik, Pemetaan Semula Matlamat Pembangunan Yang Mampan, Kemampanan Kewangan Dalam Ruang Yang Semakin Mengecil, Guna Semula Dana Dan Pemberian Korporat, Strategik Dalam Kerjasama serta Tadbir Urus Dan Pematuhan.
“Dengan membawa tema ‘Memperkasa Semula Masyarakat Sivil dan Sektor Pendidikan’, NICX 2021 dijangka akan melibatkan dan mengumpulkan lebih 30 pakar global, pengamal, ahli akademik serta pembuat polisi dalam bidang pendidikan dan masyarakat sivil,” tambahnya lagi.
Dr. Saleh yang turut bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NICX 2021 berkata bahawa NICX 2021 merupakan persidangan yang sangat bermakna untuk dihadiri dalam masa terdekat oleh seluruh penggiat bidang yang berkaitan dan individu-individu yang berminat.
“Sebarang pertanyaan boleh hubungi Syahir di 013-2175792 atau e-melkan ke [email protected] atau hubungi Shaima di talian 017-6561256 atau e-melkan pertanyaan ke [email protected].”
Turut hadir, Pengerusi MyCARE, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pensyarah Kanan UTM, Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Salam Malaysia, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid.
NICX yang merupakan acara tahunan Yayasan NAMA pernah dianjurkan sebelum ini di Tanzania, Kyrgyzstan dan Indonesia namun berehat seketika pada 2019 dan 2020 akibat pandemik COVID-19 dan IKRAM Musleh pertama kalinya pada tahun ini terlibat sebagai rakan kongsi bagi menjayakan persidangan ini dalam usaha memperkasa sektor pendidikan selain turut terlibat dalam pelbagai usahasama lain bersama Yayasan NAMA sejak 2017.