PENARA ’18 Perkenal Kemahiran Radio Amatur, Orienteering

AYER KEROH – “Gunakan segala ilmu yang diperoleh semasa mengikuti perkhemahan ini dalam kehidupan dan jangan lupa sebarkan kepada kawan-kawan yang lain,” Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurilulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Tn. Haji Mohd Rashid bin Mean berkata demikian dalam majlis perasmian penutup Perkhemahan Nasional Di Udara 2018 (PENARA ’18) di Taman Mini Malaysia dan Kebudayaan Asean, Ayer Keroh, Melaka kepada 1066 orang anggota Kadet Remaja Sekolah termasuk 46 orang pegawai dan 42 orang guru pengiring yang hadir hari ini.

Dalam sidang media yang diadakan, beliau turut berkata, “Kelebihan program-program sebegini khususnya PENARA ’18 dalam konteks Malaysia baru sekarang ini adalah kita ingin melahirkan murid-murid yang boleh menguasai pelbagai kemahiran lain dan tidak hanya tertumpu kepada akademik atau peperiksaan sahaja. Kita ingin sediakan generasi yang mantap dalam semua segi dan kemahiran yang diajar akan digunakan oleh anak-anak ini untuk memenuhi keperluan hidup.”

Antara objektif utama perkhemahan yang dianjurkan bersama antara Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini adalah untuk memperkenal kemahiran radio amatur, memanah tradisional dan orienteering mengikut format kebangsaan kepada para peserta. 

“Kita lihat hari ini, banyak bencana berlaku di sekeliling kita dan di antara sistem komunikasi yang paling berkesan semasa bencana ialah sistem komunikasi yang menggunakan radio amatur. Malaysia hari ini juga telah banyak memberikan khidmat radio amatur termasuklah sebagai transit apabila berlaku gempa bumi di mana-mana tempat di Indonesia walaupun tidak berada di sana dan bertindak sebagai perantara kepada tempat bencana dan tempat untuk menyalurkan sumbangan,” ujar Pengerusi Kadet Remaja Sekolah Musleh, Mejar Abdul Rahaim Md Isa dalam ucapannya semasa majlis penutup.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang perkhemahan berlangsung sejak 17 Disember yang lalu. Antaranya pertandingan masakan rimba, pertandingan Basic Self Defence (BaSED), pertandingan kawad kaki, pertandingan membina gajet, lumba berhalangan, Quran Hour, persembahan malam kebudayaan dan berkenalan dengan tokoh nusantara. 

Di samping itu, penerapan nilai-nilai yang positif seperti kasih sayang, saling menghormati dan kebahagiaan juga harus diberi penekanan sepanjang perkhemahan berlangsung, ujar Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh merangkap Penaung Kadet Remaja Sekolah Musleh dalam menyahut kempen Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

“Nilai-nilai ini perlu dijadikan tabiat dan apabila tabiat yang baik ini diamalkan, ia akan menjadi budaya dalam masyarakat dan seterusnya menjadi satu kebudayaan dalam negara kita,” lanjut beliau lagi.

Turut hadir bersama ialah Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Encik Zairi Bin Suboh yang turut menyatakan rasa sukacita beliau kerana Melaka dipilih sebagai destinasi perkhemahan dan secara tidak langsung dapat menaikkan lagi ekonomi negeri dan meningkatkan aktiviti-aktiviti pelancongan di negeri Melaka. 

 

Dari kiri: Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kokurilulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Tn. Haji Mohd Rashid bin Mean dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Encik Zairi Bin Suboh

Perkhemahan Nasional Di Udara atau lebih dikenali sebagai PENARA ini diadakan 3 tahun sekali dan kali ini membawa tema Ukhuwah Mahabbah Teras Kekuatan Ummah. 

Kongsikan...

Bincangkan...