Murid SRI Hira’ Klang Raih Pingat Emas dalam Virtual Innovation Competition 2026

SHAH ALAM – Keupayaan murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang, sekolah rangkaian MUSLEH, menghasilkan inovasi bertaraf dunia sekali lagi terserlah apabila Hamzah Ayyash Hizamel, 11, dan Ahmad Zarif Azri, 12, berjaya merangkul Pingat Emas (Gold Medal) dalam Virtual Innovation Competition 2026 (VIC26) menerusi projek bertajuk VIBES: The Bio-Electrical “Mood Ring” Empowering STEM Education and Water Conservation.

Pertandingan inovasi antarabangsa anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama DIGIT360 itu menghimpunkan 1,817 projek daripada 9,009 peserta yang mewakili Malaysia, Arab Saudi, Cameroon, Thailand, Indonesia, Brunei dan Vietnam.

Dengan bimbingan guru pembimbing, Muhammad Fadhil Mahmud Fakhri, projek VIBES berjaya memikat panel penilai antarabangsa menerusi pendekatan inovatif yang menggabungkan konsep bioelektrik, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kesedaran terhadap pemuliharaan air melalui pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah.

Keunikan idea dan impak projek tersebut melayakkan pasukan SRI Hira’ Klang dinobatkan sebagai penerima Pingat Emas apabila keputusan pertandingan diumumkan pada 30 Jun lalu.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, pihak sekolah memaklumkan bahawa kejayaan itu merupakan hasil kerjasama erat antara murid, guru pembimbing dan ibu bapa yang sentiasa memberikan komitmen sepanjang proses penyelidikan, pembangunan prototaip serta penyediaan pembentangan projek.

Menurut kenyataan itu lagi, pengorbanan ibu bapa dalam menyediakan masa, tenaga dan sokongan moral menjadi antara faktor penting yang menyuntik semangat kepada murid untuk menghasilkan inovasi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen SRI Hira’ Klang dalam memperkasa pendidikan STEM, membudayakan inovasi dan melahirkan murid yang kreatif, berfikiran kritis serta berdaya saing di peringkat global.

Musleh Integrated Education Berhad merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Hamzah Ayyash Hizamel, Ahmad Zarif Azri, guru pembimbing Muhammad Fadhil Mahmud Fakhri, seluruh warga SRI Hira’ Klang serta ibu bapa atas kejayaan membanggakan ini.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah rangkaian MUSLEH untuk terus memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan STEM, sekali gus melahirkan lebih ramai generasi pencipta yang memberi manfaat kepada masyarakat dan dunia.

Orang ramai juga dijemput memberikan sokongan kepada pasukan SRI Hira’ dengan menonton serta menekan butang Like pada video pembentangan projek VIBES yang dimuat naik di platform YouTube.

BERITA

PUTRAJAYA – 10 sekolah rangkaian Musleh dan 1 sekolah rakan menerima pengiktirafan empat dan lima bintang menerusi penilaian Sistem Kualiti

BERITA

KUCHING – Tiga orang murid Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Kuching mencipta kejayaan membanggakan dalam Sarawak Forestry Corporation (SFC) Hornbill

BERITA

SERI KEMBANGAN – Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) menerima kunjungan akademik daripada wakil Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) dan institusi

BERITA

JOHOR BAHRU – Sekolah Menengah Islam (SMI) Hidayah, Johor Bahru melalui pasukan Hidayah Squad dinobatkan sebagai Johan Kategori Komik Pendidikan

BERITA

KUALA LUMPUR – Gandingan pelajar Sekolah Menengah Islam Hidayah Pasirris, Batu Pahat, bersama bapanya berjaya mengharumkan nama sekolah apabila dinobatkan

BERITA

CYBERJAYA – Dua orang murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’ Klang, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila terpilih sebagai 10 finalis