Lawatan Kerja Pendidikan Ke Cape Town

 
Cape Town – Seramai 13 orang delegasi dari IKRAM Musleh telah mengadakan lawatan kerja pendidikan ke Cape Town, Afrika Selatan. Lawatan selama 8 hari bermula pada 3 Februari 2019 yang lalu itu adalah sebagai lawatan penanda aras dan bertujuan untuk bertukar-tukar ‘best practices’ antara IKRAM Musleh dan institusi-institusi pendidikan di sana serta bagi mengadakan perbincangan-perbincangan yang berkaitan.
 
Rombongan berkenaan telah berpeluang menganjurkan seminar untuk berkongsi ‘best practices’ sistem kurikulum dan pentaksiran pelajar IKRAM Musleh, membentangkan projek International Quality Range Assessment (IQRA) dan berkongsi mengenai peranan dan fungsi International Centre for Educational Excellence (ICEE) selain mendapat input lain daripada para peserta seminar yang hadir seramai lebih daripada 30 orang.
 
Antara perkara yang menarik perhatian delegasi rombongan adalah mengenai nilai moral yang ditanam dan dididik dalam diri anak-anak sepanjang sesi persekolahan.
 
 
“Sekolah-sekolah di sana mengenal pasti lima hingga sepuluh nilai untuk diterapkan di dalam dan di luar bilik darjah. Dari situ, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh murid akan ditaksir berdasarkan nilai-nilai tersebut. Praktis ini merupakan sesuatu yang boleh kita contohi dan perhalusi di sekolah-sekolah kita agar pentaksiran pelajar-pelajar kita boleh dilakukan dengan lebih berfokus dan tidak terlalu mencapah,” ujar Timbalan Pengerusi IKRAM Musleh, Puan Hajah Kamaliah Binti Noordin merangkap ketua rombongan lawatan kerja berkenaan.
 
“Ada sekolah-sekolah di sini yang yurannya percuma tetapi kemudahan dan fasiliti yang ada sangat berkualiti. Ada antaranya yang berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membantu komuniti setempat untuk mendapatkan pendidikan terutamanya sekolah-sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan yang majoritinya golongan kurang berkemampuan,” ujar beliau menzahirkan rasa kagum dengan kemudahan persekolahan dan pendidikan di sana.
 
“Selain itu, ada juga sekolah yang tinggi kos pengajiannya tetapi fasiliti dan kemudahan di sekolah sangat bagus dan terjaga. Malahan, ada sekolah-sekolah agama di sana yang memiliki hampir 80% pelajar bukan Islam. Ibu bapa bukan Islam ini sangat yakin dengan pendekatan pendidikan Islam yang diguna pakai di sekolah-sekolah agama ini dan menghantar anak-anak mereka ke sana supaya anak-anak mereka juga boleh menghayati akhlak Islami yang diterapkan,” tambah beliau.
 
Rombongan tersebut turut berpeluang melawat sebuah sekolah tahfiz, Jam’eyyatul Qurra dan melihat sendiri suasana pembelajaran di sana.
 
 
“Banyak program dan inisiatif bersama yang boleh dianjurkan dan diusulkan dengan sekolah-sekolah yang dilawati ini memandangkan bahasa perantara yang digunakan di sana kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris seperti program pertukaran pelajar tahfiz, kelas tanpa sempadan antara pelajar, perbincangan atas talian antara guru dan pelbagai aktiviti lagi agar boleh bertukar-tukar pandangan dan idea,” cadang beliau. 
 
 
Turut hadir bersama rombongan ini adalah Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali, selaku wakil dari ICEE merangkap timbalan ketua rombongan yang turut mengadakan perbincangan sehari selepas seminar mengenai Thematic Learning Quranic Based, Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh yang membentangkan mengenai projek IQRA dan lain-lain termasuklah Dr. Azma Mahmood, Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak IKRAM Musleh (PEDA) dan Rohida Jamaludin, Eksekutif Pendidikan IKRAM Musleh.
 
Rombongan tersebut telah selamat tiba ke tanah air pada jam 10.00 pagi semalam. 

Kongsikan...

Bincangkan...