Khawlah Nusaybah Binti Ahmad Jamali (dua dari kiri) bersama ibunya, Rohida Jamaludin (tiga dari kiri) sebelum berangkat ke Singapura pada 5 November lalu.
Seri Kembangan – Berpeluang menjadi satu-satunya pelajar dan pembentang termuda dalam EduTECH Asia 2019 yang berlangsung pada 5-6 November lalu di Suntec Convention & Exhibition Centre, Singapura merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat Khawlah Nusaybah Binti Ahmad Jamali, 14, dari Sekolah Menengah Islam Sri Al-Amin, Bangi. Dengan tajuk pembentangan “School Disciplinary Problem and Its Preventive Measure”, beliau terpilih mewakili sekolah dan juga pihak MyFuturity (StudentQR) apabila memperoleh skor atau markah terbanyak dalam program merit menggunakan QR Code yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Sewaktu menerima surat tawaran untuk menyertai EduTECH Asia 2019 ini dan membuat pembentangan pada awal Oktober lalu, Khawlah mengakui yang beliau begitu berdebar dan tidak yakin. Namun begitu, perasaan tersebut sedikit sebanyak dapat diatasi apabila semua pihak termasuk para guru, kakitangan dari StudentQR dan sahabat-sahabat beliau banyak memberikan sokongan serta membantu beliau membuat persediaan.
“Sesi persediaan di sekolah berjalan lancar dengan dibantu guru-guru dan adakalanya saya berlatih sendiri bersama kawan-kawan. Turut terlibat membantu saya dalam persediaan ke sana adalah Ustazah Fauziah Salam yang dlantik oleh StudentQR untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar,” kata Khawlah.
Khawlah semasa memberikan ucapannya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Rohida Jamaludin, ibu kepada Khawlah turut melahirkan rasa gembira dan syukur kerana Khawlah terpilih untuk ke sana.
“Kami juga sebenarnya tidak sangka yang Khawlah terpilih ke sana tapi ini bukan pertama kali Khawlah memberi kejutan kepada keluarga. Khawlah pernah menjadi johan hafazan peringkat negeri dalam Pertandingan Hafazan Telekom Malaysia dan sewaktu di Tahun 6, Khawlah pernah menerima Anugerah Tokoh Muhammad Al-Fateh,” ujar Rohida sambil tersenyum.
“Sekiranya ada lagi peluang-peluang sebegini buat Khawlah pada masa akan datang, kami sentiasa akan menyokong apa jua aktiviti sekolah. Bahkan kami sangat berterima kasih kerana pihak StudentQR dan pihak sekolah khususnya, yang telah berjaya melihat potensi yang ada pada anak-anak muda dan mengasah potensi itu. Sebab potensi anak-anak ini adakalanya kurang tertonjol di rumah,” sambung beliau lagi.
Sementara itu, Khawlah dalam ucapannya menjelaskan mengenai program Student QR Point yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Islam Sri Al-Amin, Bangi. Jelas beliau, setiap pelajar di sekolah akan memperoleh kod QR masing-masing yang unik dan tersendiri. Kod QR ini akan diimbas menggunakan aplikasi yang ada dalam telefon bimbit para guru setiap kali para pelajar melakukan perbuatan yang baik dan mata ganjaran akan diperoleh serta ibu bapa di rumah juga akan menerima laporan langsung mengenai merit perbuatan baik yang diterima oleh anak-anak mereka.
“Kesan program ini di sekolah sangat mengujakan di mana para pelajar berlumba-lumba untuk melakukan perbuatan yang baik,” kata beliau.
Sebelum itu, ketika ditanya mengenai tips-tips yang boleh dikongsikan dalam mendidik generasi hari ini, Rohida mengatakan bahawa setiap potensi yang ditonjolkan oleh anak-anak haruslah digilap dengan kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan keluarga.
“Anak-anak harus didorong mengikut minat dan potensi mereka dan bukannya minat ibu bapa atau keluarganya. Atas sebab itu, anak-anak kita harus jelas dan dijelaskan hala tuju mereka dalam hidup,” ujar Rohida mengakhiri perbualan.
EduTECH Asia 2019 merupakan acara Ekspo dan Pameran Pendidikan terbesar Asia yang melibatkan 5000 orang hadirin, 350 pembentang, 120 pameran, 10 persidangan, 28 bengkel, 2 sesi kelas induk, 2 trip pelancongan dan 1 sidang kemuncak. Ekspo ini membawakan konferens dan pameran bertaraf antarabangsa kepada semua yang hadir dan menjadi platform untuk mereka yang terlibat dengan pendidikan berkongsi idea dan inovasi teknologi berkaitan pendidikan.