×

Notice

One of the files that is needed for the correct operation of the System - CW Gears plugin appears to be missing! Please install a fresh copy of the latest version to fix this issue.

11 Pemimpin Pelajar Sekolah Rangkaian IKRAM-MUSLEH Wakili Malaysia ke Nusantara Students Leadership Camp (NSLC) 2017

Universiti Malaya - Telah berlangsung semalam program Nusantara Students Leadership Camp (NSLC) 2017 di sini anjuran bersama Majlis Pemuda IKRAM (MPI) dan Institute of Leadership Development (ILEAD) Universitas Indonesia (UI) yang menghimpunkan kepimpinan pelajar dari Malaysia dan Indonesia khusus untuk membangun kepimpinan pelajar di peringkat Asean. Program yang membawa tema "Becoming Excellent Future Leaders" ini telah disertai oleh 11 orang pemimpin pelajar yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah rangkaian IKRAM-MUSLEH mewakili Malaysia manakala 50 orang peserta lagi dari Indonesia.

Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan sesi Out Bound bagi tujuan ice-breaking dan untuk membentuk karakter kepemimpinan dalam diri peserta melalui aktiviti dalam kumpulan sesuai dengan tugasan-tugasan yang diberikan. Semangat pemimpin berjiwa muda dan kesungguhan peserta dapat dilihat melalui aktiviti ini yang berlangsung sehingga waktu petang. Program ini diteruskan lagi dengan sesi konferens yang menampilkan ketokohan dan karisma para peserta melalui pembentangan dan ucapan bermula pada jam 5.00 petang hingga program berakhir sekitar jam 10.30 malam selepas sesi resolusi dan majlis penutupan rasmi program. 

Arif Fikri Bin Hamidi, Ketua Pelajar SMI Hidayah, Johor Bahru mewakili peserta dari Malaysia sedang menyampaikan ucapan dalam sesi konferens yang berlangsung semalam

Turut hadir bersama Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor selaku wakil rasmi IKRAM-MUSLEH dan Haji Shahrul Aman Bin Mohd Saari, wakil rasmi dari Pertubuhan IKRAM Malaysia yang turut sama berucap dalam sesi konferens tersebut malam tadi.

Semoga program ini berjaya mencapai objektif yang telah dirancang dan para peserta dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh untuk dipraktikkan dan dikongsikan bukan sahaja di sekolah masing-masing tetapi juga untuk seluruh masyarakat umumnya.

SRAZ Menang Tempat Ketiga dalam Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa bagi Kategori Sekolah Rendah

 

Bangi -  Salah sebuah sekolah yang berada di bawah rangkaian IKRAM Musleh, Sekolah Rendah Al-Azhar (SRAZ), Jitra, Kedah telah memenangi tempat ketiga bagi Kategori Sekolah Rendah dalam Pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa. 


Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia-KUIS ini telah mendapat penyertaan daripada 103 buah institusi yang dipecahkan kepada 3 kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi. SRAZ hanya menghantar satu penyertaan video yang bertajuk "Teknologi Merampas Masaku Bersama Ibuku" hasil karya para pelajar SRAZ sendiri dan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300.00, hamper dan sijil. Penyertaan bagi pertandingan tersebut yang perlu dibuat secara berkumpulan telah disertai oleh Suwaibatul Islamiyyah, Qurratul Ain, Aisyah Athirah, Nur Insyirah dan Nur Sabihah.




Pihak IKRAM Musleh mengucapkan syabas dan tahniah!

PERNAS '16 Menuju PRINT '17

Hulu Selangor - Setelah lima hari berkampung di Kem PLKN Pelangi Hill Resort, Kerling, akhirnya selesailah sudah Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh 2016 atau lebih dikenali sebagai PERNAS '16 semalam.

 

Dengan penyertaan seramai 1, 154 orang anggota Tunas KRS Musleh (TKRSM) dan KRS Musleh (KRSM) dari seluruh Malaysia, pihak urus setia dan pembantu urus setia PERNAS '16 telah bertungkus lumus memperlihatkan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelaksanaan PERNAS '16 yang membawa tema "Ukhuwah, Iman dan Taqwa Teras Kekuatan generasi Rabbani". Para peserta didedahkan dengan pelbagai jenis pertandingan yang melibatkan kreativiti dan kemahiran hidup seperti pertandingan masakan kreatif, pertandingan nasyid fatayat, pertandingan reka cipta dan malah PERNAS '16 turut menjadi pencetus kepada acara Memanah Tradisional (METRA) yang buat pertama kalinya diadakan dan dipertandingkan.

 


Selain itu, isu ummat Islam yang sedang bergolak juga tidak dilupakan di mana pihak MyCARE turut dijemput dalam memberikan perkongsian tentang Women's Boat to Gaza. Persembahan pentomen tentang perjuangan rakyat Syria juga turut diadakan oleh anggota-anggota TKRSM dan KRSM. Hasil objektif utama program ini yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara para anggota KRSM serta untuk menyuburkan ciri-ciri keperibadian muslim dan kerja berpasukan dapat dilihat melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan seperti pertandingan kawad kaki, seni mempertahankan diri, orienteering dan banyak lagi apabila kesemua peserta memberikan sepenuh fokus dan perhatian terhadap kesemua acara yang dipertandingkan walaupun penat.

Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor di Majlis Penutup PERNAS '16

Majlis penutup PERNAS '16 telah disempurnakan oleh Tuan Noorulanuar b Baharudin, Penolong Pengarah Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia mewakili Pengarah Bahagian. Turut hadir dalam majlis tersebut Kem Komanden PLKN Pelangi Hill Resort, Kdr Ajit Singh a/l Sarjit Singh TLDM, Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dan Pengerusi KRSM, Mejar Abd Rahaim Md Isa.


Diharapkan PERNAS '16 ini dapat mencapai keseluruhan objektif yang telah dirancangkan dan seterusnya sebagai pemangkin semangat juang para peserta untuk turut serta dengan hammasah yang kekal mantap di PRINT '17 yang akan berlangsung tahun hadapan.

[Salam Takziah] Pemergian Tokoh Pendidikan Tahfiz, Almarhum Ustaz Hj Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad al-Hafiz

SEREMBAN - Tokoh pendidikan tahfiz, Almarhum Ustaz Hj Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad al-Hafiz, abang kepada Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM, telah meninggal dunia pada Sabtu malam, 10 Disember 2016.  

Bekas Pengetua Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah, salah sebuah sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH sejak tahun 2000 ini pernah menerima anugerah sebagai Tokoh Hafiz Kebangsaan 2012 dan Tokoh Maal Hijrah 1435H Negeri Sembilan pada 2013.

Almarhum dilahirkan pada 31 Mei 1948 dalam keluarga ulama tersohor Sheikh Hj Mohd Said yang merupakan datuk almarhum. Bapa beliau, Sheikh Hj Ahmad ialah Mufti dan Yang DiPertua Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang pertama. Abang beliau Sheikh Hj Murtadza juga ialah mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Almarhum mendapat pendidikan awal daripada ayahanda bonda beliau sebelum belajar di Sekolah Kebangsaan Rasah serta pendidikan menengah di Sekolah Arab Al-Attas, Johor Bahru dan Sekolah Arab Al-Mashor, Pulau Pinang.

Pada tahun 1966, almarhum merupakan kumpulan pertama pelajar tahfiz seramai lapan orang di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Masjid Negara, yang kini dikenali sebagai Darul Quran JAKIM.

Beliau memperolehi ijazah dalam bidang Syariah dan al-Quran daripada Universiti Al-Azhar di Mesir sebelum memperolehi Sijil Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam pada tahun 1981.

Beliau telah berkhidmat dengan pelbagai institusi kerajaan dan swasta sejak tamat pengajian, antaranya sebagai guru di Sekolah Menengah Sains Selangor, Penolong Pendaftar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), guru dan penyelaras Unit Tilawah Al-Quran UIAM dan pensyarah tahfiz di Institut Tahfiz Al Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Brunei Darussalam.

Setelah tamat kontrak di Brunei, almarhum pulang ke Seremban dan menjadi pengasas bersama menubuhkan Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah pada tahun 2000 sekaligus menjadi Mudir (Pengetua) yang pertama.

Almarhum juga terpilih sebagai Jawatankuasa Pentashih al-Quran JAKIM dan turut menerbitkan beberapa buah buku serta puluhan kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, antaranya buku Pembudayaan al-Quran Di Usia Emas dan Peranan Guru J-QAF Dalam Membentuk Generasi Budaya Membaca al-Quran di Malaysia.

Sebagai pakar bidang al-Quran dan Tahfiz, almarhum banyak memberikan sumbangan di seluruh negara sehingga dilantik menjadi hakim pertandingan tahfiz peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jenazah almarhum telah disolatkan di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi dan selamat disemadikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban.

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga almarhum. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan digolongkan dalam kalangan amilin dan solihin di syurga, insya-Allah.