PERNAS '16 Menuju PRINT '17

Hulu Selangor - Setelah lima hari berkampung di Kem PLKN Pelangi Hill Resort, Kerling, akhirnya selesailah sudah Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh 2016 atau lebih dikenali sebagai PERNAS '16 semalam.

 

Dengan penyertaan seramai 1, 154 orang anggota Tunas KRS Musleh (TKRSM) dan KRS Musleh (KRSM) dari seluruh Malaysia, pihak urus setia dan pembantu urus setia PERNAS '16 telah bertungkus lumus memperlihatkan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelaksanaan PERNAS '16 yang membawa tema "Ukhuwah, Iman dan Taqwa Teras Kekuatan generasi Rabbani". Para peserta didedahkan dengan pelbagai jenis pertandingan yang melibatkan kreativiti dan kemahiran hidup seperti pertandingan masakan kreatif, pertandingan nasyid fatayat, pertandingan reka cipta dan malah PERNAS '16 turut menjadi pencetus kepada acara Memanah Tradisional (METRA) yang buat pertama kalinya diadakan dan dipertandingkan.

 


Selain itu, isu ummat Islam yang sedang bergolak juga tidak dilupakan di mana pihak MyCARE turut dijemput dalam memberikan perkongsian tentang Women's Boat to Gaza. Persembahan pentomen tentang perjuangan rakyat Syria juga turut diadakan oleh anggota-anggota TKRSM dan KRSM. Hasil objektif utama program ini yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara para anggota KRSM serta untuk menyuburkan ciri-ciri keperibadian muslim dan kerja berpasukan dapat dilihat melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan seperti pertandingan kawad kaki, seni mempertahankan diri, orienteering dan banyak lagi apabila kesemua peserta memberikan sepenuh fokus dan perhatian terhadap kesemua acara yang dipertandingkan walaupun penat.

Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor di Majlis Penutup PERNAS '16

Majlis penutup PERNAS '16 telah disempurnakan oleh Tuan Noorulanuar b Baharudin, Penolong Pengarah Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia mewakili Pengarah Bahagian. Turut hadir dalam majlis tersebut Kem Komanden PLKN Pelangi Hill Resort, Kdr Ajit Singh a/l Sarjit Singh TLDM, Penaung KRS Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dan Pengerusi KRSM, Mejar Abd Rahaim Md Isa.


Diharapkan PERNAS '16 ini dapat mencapai keseluruhan objektif yang telah dirancangkan dan seterusnya sebagai pemangkin semangat juang para peserta untuk turut serta dengan hammasah yang kekal mantap di PRINT '17 yang akan berlangsung tahun hadapan.

[Salam Takziah] Pemergian Tokoh Pendidikan Tahfiz, Almarhum Ustaz Hj Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad al-Hafiz

SEREMBAN - Tokoh pendidikan tahfiz, Almarhum Ustaz Hj Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad al-Hafiz, abang kepada Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM, telah meninggal dunia pada Sabtu malam, 10 Disember 2016.  

Bekas Pengetua Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah, salah sebuah sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH sejak tahun 2000 ini pernah menerima anugerah sebagai Tokoh Hafiz Kebangsaan 2012 dan Tokoh Maal Hijrah 1435H Negeri Sembilan pada 2013.

Almarhum dilahirkan pada 31 Mei 1948 dalam keluarga ulama tersohor Sheikh Hj Mohd Said yang merupakan datuk almarhum. Bapa beliau, Sheikh Hj Ahmad ialah Mufti dan Yang DiPertua Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang pertama. Abang beliau Sheikh Hj Murtadza juga ialah mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Almarhum mendapat pendidikan awal daripada ayahanda bonda beliau sebelum belajar di Sekolah Kebangsaan Rasah serta pendidikan menengah di Sekolah Arab Al-Attas, Johor Bahru dan Sekolah Arab Al-Mashor, Pulau Pinang.

Pada tahun 1966, almarhum merupakan kumpulan pertama pelajar tahfiz seramai lapan orang di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Masjid Negara, yang kini dikenali sebagai Darul Quran JAKIM.

Beliau memperolehi ijazah dalam bidang Syariah dan al-Quran daripada Universiti Al-Azhar di Mesir sebelum memperolehi Sijil Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam pada tahun 1981.

Beliau telah berkhidmat dengan pelbagai institusi kerajaan dan swasta sejak tamat pengajian, antaranya sebagai guru di Sekolah Menengah Sains Selangor, Penolong Pendaftar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), guru dan penyelaras Unit Tilawah Al-Quran UIAM dan pensyarah tahfiz di Institut Tahfiz Al Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Brunei Darussalam.

Setelah tamat kontrak di Brunei, almarhum pulang ke Seremban dan menjadi pengasas bersama menubuhkan Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah pada tahun 2000 sekaligus menjadi Mudir (Pengetua) yang pertama.

Almarhum juga terpilih sebagai Jawatankuasa Pentashih al-Quran JAKIM dan turut menerbitkan beberapa buah buku serta puluhan kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, antaranya buku Pembudayaan al-Quran Di Usia Emas dan Peranan Guru J-QAF Dalam Membentuk Generasi Budaya Membaca al-Quran di Malaysia.

Sebagai pakar bidang al-Quran dan Tahfiz, almarhum banyak memberikan sumbangan di seluruh negara sehingga dilantik menjadi hakim pertandingan tahfiz peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jenazah almarhum telah disolatkan di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi dan selamat disemadikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban.

Pendidikan IKRAM Musleh Berhad mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga almarhum. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan digolongkan dalam kalangan amilin dan solihin di syurga, insya-Allah.

Kenyataan Media: IKRAM SOKONG MANSUHKAN UPSR

dr-omar3

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan sistem pentaksiran pendidikan yang holistik.

IKRAM berpandangan sistem peperiksaan UPSR kini terlalu bersifat 'high stake examination' berorientasikan ranking dan ini telah menimbulkan gejala tidak sihat dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan sekolah.

IKRAM menyokong agar pentaksiran UPSR yang kini berbentuk sumatif yang hanya menekankan pencapaian akhir pelajar digantikan dengan pentaksiran formatif yang berbentuk 'developmental' secara berterusan.

Hasil pentaksiran formatif dapat memberi maklum balas mengenai perkembangan pelajar sekaligus membolehkan tanda aras pencapaian dan prestasi pelajar diperolehi untuk memperbaiki kurikulum dan pedagogi yang diguna pakai oleh pendidik dalam proses PdP (Pengajaran dan Pembelajaran).

IKRAM juga mengalu-alukan cadangan KPM untuk menetapkan pelajar hanya dinilai 50 peratus dalam akademik dan 50 peratus lagi dinilai oleh pihak sekolah seperti kedatangan, kokurikulum dan sikap pelajar.

IKRAM ingin mengesyorkan agar sistem pentaksiran kebangsaan mengambil kira perkara-perkara berikut:

1. Sistem pentaksiran yang holistik perlu dijadikan teras kepada sistem pendidikan kebangsaan sehingga terlahir insan seimbang dan harmonis seperti mana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2. Kepimpinan sekolah, pendidik dan ibu bapa sebagai komponen kritikal dalam kejayaan sistem pendidikan hendaklah memahami, menghayati dan melaksanakan falsafah pentaksiran holistik. Komitmen daripada pihak sekolah untuk melaksanakannya secara serius adalah amat penting bagi menjamin kejayaannya.

3. Prasarana dan sistem sokongan yang padu perlu disediakan bagi memberi kemudahan kepada guru-guru untuk melaksanakan pentaksiran ini.

Prof Dr Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Lawatan Mahabbah KUIS ke IKRAM MUSLEH

KUIS

Pada 18 Oktober yang lalu, IKRAM-MUSLEH telah menerima kunjungan mahabbah daripada KUIS. Rombongan KUIS diketuai oleh Timbalan Rektor nya Prof Dr Zulkifli Abdul Hamid. 10 orang telah hadir dari KUIS mewakili Dekan-Dekan Fakulti, Pendaftar dan Sektor Pemasaran.
IKRAM-MUSLEH diketuai oleh Pn Hjh Kamaliah Noordin. Setelah pengenalan mengenai institusi masing-masing dan perbincangan dengan penuh mesra dan rahmah, KUIS telah mengesyor satu MOA di adakan antara kedua-dua institusi. KUIS menawarkan pengajian percuma bagi program asasi, pakej latihan perguruan, penggunaan fasiliti KUIS, pelajar KUIS melaksanakan praktikum di SRI-SMI dan Pengkaijan GERKO oleh pelajar KUIS di SRI-SMI.
Moga-moga Allah swt memberkati dan meredhoi soilihul a'mal ini - amiin ya Rabb