×

Notice

One of the files that is needed for the correct operation of the System - CW Gears plugin appears to be missing! Please install a fresh copy of the latest version to fix this issue.

Majlis Anugerah Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017 Raikan Kemenjadian Generasi Musleh

Shah Alam - Telah berlangsung Majlis Anugerah Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017 di sini semalam dalam suatu majlis yang sederhana namun meriah. Majlis yang telah dirasmikan oleh Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia itu bertujuan untuk sama-sama memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar sekolah-sekolah rangkaian Musleh yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan aktiviti kemasyarakatan.

Sebanyak 11 anugerah diwujudkan dan seramai 25 orang pelajar tersenarai sebagai penerima anugerah. Antaranya adalah Anugerah Sa'ad Bin Abi Waqqash bagi kategori kokurikulum terbaik, Anugerah Mus'ab Bin Umayr bagi kategori tahfiz terbaik, Anugerah Imam Al-Ghazali bagi kategori sahsiah terpuji dan Anugerah Umar Al-Khattab bagi kategori kepimpinan terserlah. Tidak ketinggalan juga anugerah untuk Tokoh Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) dan Tokoh Tunas Kadet Remaja Sekolah Musleh (TKRSM).

 

Bagi anugerah kemuncak iaitu Anugerah Tokoh Pelajar Unggul IKRAM Musleh 2017, Ahmad Mujahid Bin Abdul Rashid, 18, dan Nadhrah Mohammed, 18, kedua-duanya dari SMI Hidayah Johor Bahru telah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Unggul IKRAM Musleh bagi tahun 2017 untuk kategori banin dan banat oleh panel penilai. Selain cemerlang dalam SPM 2016 dan SPPIM 2016 yang diumumkan baru-baru ini, kedua-dua mereka juga turut memiliki sikap kepimpinan yang terserlah serta mempunyai sahsiah dan akhlak yang terpuji. Para penerima anugerah membawa pulang sebuah plak, cek beserta sijil. 

Tuan Presiden, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam ucapannnya turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan demi kejayaan yang diraih dan ketokohan demi ketokohan yang ditonjolkan oleh pemuda dan pemudi generasi Rabbani kelahiran Musleh dan menyatakan betapa besar harapan beliau agar generasi-generasi seperti ini terus bersinar dan menyumbang bukan sahaja untuk masyarakat setempat bahkan juga untuk ummah.

Sebanyak 4 buah sekolah juga terlibat dalam membuat pameran sepanjang majlis berlangsung. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SRI Al-Amin Gombak yang beraksi cemerlang di Jakarta dalam Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON'16), SMI Hira' Jeram yang menerima Anugerah Khas Robot Mind Cart di Rero ANnual Championship (RAC '16) KLESF National Level Robotic Competition dan turut beraksi mantap dalam Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON '16) di Jakarta, SRI Al-Amin Kuala Lumpur yang membawa pulang emas dalam acara 2ON2 Soccer di Kompetisi Robot Nasional 2016 (KRON'16) di Jakarta dan SMI Hidayah Johor Bahru yang telah mewakili Malaysia ke Jepun dalam Science Student Fair atas kejayaan mereka memenangi pingat emas dalam Pertandingan Aplikasi STEM.

Ust Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad melihat pameran SRI Al-Amin Kuala Lumpur bersama ciptaan mereka
yang menjuarai acara 2ON2 Soccer di Kompetisi Robot Nasional (KRON'16) di Jakarta 

 

Turut hadir bersama dalam majlis tersebut, Prof Dr Omar Yaakob selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM. Menurut beliau dalam ucapan alu-aluannya, "Untuk memastikan kecemerlangan ummah, kita bukan sahaja memerlukan takungan pemuda-pemudi Islam yang cemerlang dan kompeten dengan keupayaan intelek dan ketrampilan tetapi juga yang mampu menyumbang kepada pembangunan umat Islam melalui sahsiah, akhlak dan sikap yang betul." 

Majlis ini ditaja oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd, Awfatech, Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB), Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah-sekolah rangkaian manakala buku program pula ditaja sepenuhnya oleh Risalah Harmoni. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Semoga lebih ramai lagi generasi berketrampilan, berwibawa dan berwawasan yang dapat dilahirkan untuk kesinambungan dakwah serta mencapai kegemilangan dunia dan akhirat.

Pelajar Sekolah IKRAM Musleh Bina Kematangan Melalui Pengalaman Silang Budaya

[Peserta pelbagai bangsa dalam satu kumpulan.]

Kuala Lumpur- Semalam telah berlangsung Pertandingan Seni Kolase Pendidikan Berbilang Bangsa sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang bakal disambut pada 21 Februari nanti. Pertandingan ini melibat 4 kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal. Pertandingan anjuran Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Tamil Foundation, Jaringan Orang Asal SeMalaysia dan IKRAM ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah khususnya di kawasan Selangor.

Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan ineraksi antara kaum serta memupuk nilai hormat-menghormati antara individu dan kaum. Selain untuk menyebarkan falsafah "Hidup Berbilang, Makmur Bersama", pertandingan ini juga diharapkan dapat mengetengahkan kepentingan bahasa ibunda dan pendidikan berbilang bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Para peserta juga akan terdedah dengan kepelbagaian bahasa dan cara berkomunikasi yang berbeza antara masyarakat berbilang kaum yang ada di negara kita.

Setiap peserta yang mendaftar untuk pertandingan ini dibahagikan kepada 5 kumpulan yang terdiri daripada 8 orang dan setiap kumpulan mestilah terdiri daripada keempat-empat bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal. Terdapat 3 buah sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH yang menyertai pertandingan ini iaitu SMI Al-Amin Bangi, Maahad Tahfiz As-Saidiyyah dan SMI Al-Amin Usahawan Bangi. Dengan menggunakan kreativiti dan idea masing-masing, mereka menggunakan bahan-bahan terpakai seperti botol air, surat khabar, ranting-ranting dan pelbagai lagi bahan kitar semula dan bahan semula jadi untuk menghasilkan karya mereka.

Semoga setiap peserta dapat memperoleh manfaatnya dan akan membuat persembahan mengenai karya mereka dengan mantap pada hari esok nanti!

[Para peserta bersama hasil karya masing-masing.]

Projek Silang Budaya Jadi 'Trend'

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba tidak lama lagi, beberapa sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH telah mengambil inisiatif dengan mengadakan lawatan dan kunjungan mahabbah ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina dan bahkan ada yang mengadakan kunjungan ke kawasan kejiranan untuk menyantuni masyarakat cina. 

Wakil SMI Al-Amin Kemaman dan juga SRI Al-Amin Dungun umpamanya, baru-baru ini telah berkunjung ke SJK (C) Chukai dan menyampaikan hamper kepada Guru Besar SJK (C) Chukai sambil bertanya khabar dan bertukar-tukar pendapat tentang suasana pendidikan di sekolah masing-masing. Usaha ini dilihat sebagai suatu perkara yang baik dan patut diteruskan. 


Memetik kata-kata Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor, Pengarah Eksekutif Pendidikan IKRAM Musleh Berhad, "Kunjungan silang budaya antara sekolah-sekolah MUSLEH dan sekolah-sekolah non-muslim terutamanya sekolah-sekolah cina dilihat sebagai satu usaha yang baik untuk mengadakan engagement dengan sekolah-sekolah non-muslim ini yang kita lihat akan menjadi prospek dakwah, insya Allah." 

Selain itu, para pelajar SRI Al-Amin Tropicana turut menyantuni masyarakat cina setempat dengan menyediakan pek-pek kecil berisi buah limau mandarin dan membuat kad-kad ucapan tahun baru yang comel untuk diserahkan kepada masyarakat cina yang mereka temui. Inisiatif ini dilihat sebagai suatu usaha yang baik kerana anak-anak kecil ini telah diberi pendedahan bagaimana untuk berinteraksi dengan masyarakat yang berlainan agama dan pegangannya tanpa menanamkan sedikit pun rasa prejudis terhadap orang lain yang berlainan budaya dan gaya hidup.



Selain itu, SMI Al-Islah Sg Petani juga tidak ketinggalan meneruskan hubungan baik dengan SMJK (C) Sin Min Sg Petani yang sudah terjalin lama dengan mengadakan kunjungan mahabbah ke sekolah itu kelmarin. Kunjungan tersebut disambut dengan meriah dan mesra di mana para guru dan murid turut diberi peluang menggunakan berus cina dan dakwat kaligrafi untuk menulis tulisan cina di atas kertas merah yang disediakan di Dewan Sekolah SMJK (C) Sin Min. 


Semoga usaha ini dan projek silang budaya ini akan terus menjadi inspirasi kepada institusi-institusi pendidikan MUSLEH yang lain dalam membina hubungan dan engagement dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyebarkan dakwah dan kebaikan.




11 Pemimpin Pelajar Sekolah Rangkaian IKRAM-MUSLEH Wakili Malaysia ke Nusantara Students Leadership Camp (NSLC) 2017

Universiti Malaya - Telah berlangsung semalam program Nusantara Students Leadership Camp (NSLC) 2017 di sini anjuran bersama Majlis Pemuda IKRAM (MPI) dan Institute of Leadership Development (ILEAD) Universitas Indonesia (UI) yang menghimpunkan kepimpinan pelajar dari Malaysia dan Indonesia khusus untuk membangun kepimpinan pelajar di peringkat Asean. Program yang membawa tema "Becoming Excellent Future Leaders" ini telah disertai oleh 11 orang pemimpin pelajar yang terpilih dari sekolah-sekolah menengah rangkaian IKRAM-MUSLEH mewakili Malaysia manakala 50 orang peserta lagi dari Indonesia.

Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan sesi Out Bound bagi tujuan ice-breaking dan untuk membentuk karakter kepemimpinan dalam diri peserta melalui aktiviti dalam kumpulan sesuai dengan tugasan-tugasan yang diberikan. Semangat pemimpin berjiwa muda dan kesungguhan peserta dapat dilihat melalui aktiviti ini yang berlangsung sehingga waktu petang. Program ini diteruskan lagi dengan sesi konferens yang menampilkan ketokohan dan karisma para peserta melalui pembentangan dan ucapan bermula pada jam 5.00 petang hingga program berakhir sekitar jam 10.30 malam selepas sesi resolusi dan majlis penutupan rasmi program. 

Arif Fikri Bin Hamidi, Ketua Pelajar SMI Hidayah, Johor Bahru mewakili peserta dari Malaysia sedang menyampaikan ucapan dalam sesi konferens yang berlangsung semalam

Turut hadir bersama Ustaz Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohamed Nor selaku wakil rasmi IKRAM-MUSLEH dan Haji Shahrul Aman Bin Mohd Saari, wakil rasmi dari Pertubuhan IKRAM Malaysia yang turut sama berucap dalam sesi konferens tersebut malam tadi.

Semoga program ini berjaya mencapai objektif yang telah dirancang dan para peserta dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh untuk dipraktikkan dan dikongsikan bukan sahaja di sekolah masing-masing tetapi juga untuk seluruh masyarakat umumnya.