PENDIDIKAN BERSEMUKA PERLU DIUSAHAKAN DEMI GENERASI TERSISIH

Keberkesanan PdPR  tidak terjamin bagi kumpulan  murid yang tidak menghadapi masalah gajet dan internet juga sebenarnya.  Apa lagi bagi kumpuln yang menghadapi masalah ketiadaan gajet dan internet?  

Pengajaran dan pembelajaran melalui atas talian dan juga melalui TV tidak  boleh mengganti kaedah interaksi bersemuka antara guru dan murid, terutama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.  
 
Saya   mengambil maklum laporan yang menyebutkan kaji selidik NUTP mendapati 93 peratus guru memilih kaedah proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Oleh itu, saya mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menggunakan pendekatan menggalakkan seboleh-bolehnya  PdP secara bersemuka.  Langkah-langkah inovatif berikut untuk memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tetap dapat dilaksanakan kepada sebanyak mungkin murid  dengan selamat.

1. PDP  bersemuka dilaksanakan bukan hanya untuk kelas peperiksaan tetapi juga untuk semua kelas dengan kaedah bergilir-gilir  (staggered schooling)  di mana murid dibenarkan hadir ke sekolah secara bergilir. Misalnya Tahun 5 dan 6 pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat manakala Tahun 1, 2, 3 pada hari Selasa dan Khamis sehingga keadaan benar-benar pulih.  Giliran juga boleh dibuat mengikut minggu.

2. Lokasi dan keadaan setiap sekolah adalah berbeza, contohnya ada sekolah yang berada di kawasan zon merah sewaktu PKP, dan ada yang berada di kampung yang tiada kes jangkitan Covid-19. Oleh itu, pendekatan berbeza perlu diusahakan bagi kawsan yang berbeza. Autonomi  wajar diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)  dan sekolah, dengan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah  untuk membuat pengubahsuaian proses Pendidikan, pengurusan kurikulum dan PdP. Dengan ini sekolah dapat diuruskan dengan lebih optimum, dengan mengambil pendekatan yang sesuai berdasarkan keadaan setempat.

3. Keadaan PKP telah mengubah serta memendekkan waktu pengajaran dan pembelajaran atau instruction time bagi setiap subjek. Hal ini membawa kesan berbeza antara individu murid. Untuk membantu guru menguruskan pembelajaran setiap murid secara optimum, flexible teaching perlulah dilaksanakan. Ini bermaksud sukatan pelajaran dilaksanakan mengikut kemampuan murid tanpa perlu menghabiskannya mengikut tahun. Maka learning pathway setiap murid dapat dirangka dengan mengadaptasikan kadar pelaksanaan sukatan mengikut kemampuan murid berkenaan. Project Based Learning dan Jadual Anjal juga harus terus dilaksanakan dengan lebih berkesan.

4. Dijangkakan pandemic Covid-19 akan berlarutan dan sesi persekolahan akan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala. Dicadangkan pihak KPM mengubah-suai  masa instruksional untuk memenuhi keperluan pembelajaran. Hal ini adalah kerana sukar bagi sekolah-sekolah menyusun kembali hari persekolahan untuk mengganti sepenuhnya hari sekolah ditutup sewaktu PKP.

5. KPM mengambil langkah meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa serta menggalakkan mereka untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam aktiviti pembelajaran anak- anak.

Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia